Thursday, May 26, 2011

[CPoA] 3 : The union


Wing tersenyum manis, Vince tiada reaksi manakala Shun pula mencebik sedikit apabila pekerja baru bernama Hero Bladel diperkenalkan kepada mereka pada pagi itu. Hero merenung mereka seorang demi seorang. Sekarang, barulah dia mengerti mengapa Zarique memerlukan seseorang yang 'ada rupa' untuk bekerja di bawahnya. Kesemua pekerja di Parfee Cafe sememangnya kacak-kacak belaka. Patutlah kawan-kawan perempuan sekuliahnya begitu gilakan kafe itu. 

Hero agak menyenangi Wing kerana dia kelihatan baik dan tenang. Wajahnya sentiasa manis kerana senyuman sentiasa melingkari bibirnya. Seorang lelaki kacukan Inggeris dan Asia yang tinggi dan berkulit cerah. Rambutnya sedikit menyacak menyerlahkan dahinya yang agak luas itu. Hero membalas senyuman Wing dengan tenang.

Dia mengalihkan pandangannya ke arah Shun pula. Lelaki itu sememangnya berwajah 'jambu' dan yang paling comel di antara mereka. Namun, lelaki bernama Shun itu asyik menjeling-jeling ke arahnya menyebabkan dia berasa Shun agak menjengkelkan. "Nama kau Hero ya? Hemmm... muka boleh tahan walaupun pendek sikit."

Mahu saja dia ingin membuka mulut membalas sindiran Shun, Vince berjalan menghampirinya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Tangan Vince bersambut. Lelaki yang paling tinggi dengan tubuh yang paling sasa itu kelihatan pendiam dan serius. Rambut Vince panjang hingga ke paras bahu dan mencacak tinggi. Kulitnya sedikit tan seperti seorang yang lasak dan aktif. Sekali pandang, Vince kelihatan seperti seorang samseng yang bergaya. Wajahnya memang tampan, namun senyuman begitu jarang kelihatan di bibirnya.

Hero kumudian memandang ke arah Zarique yang sedang tekun membelek sebuah buku kira-kira sambil menekan-nekan kalkulator. Wajahnya sedikit berkerut menandakan dia sedang berfikir sesuatu. Zarique, pemuda berambut hitam pekat dengan rambutnya yang kelihatan sedikit serabai itu memang nampak serius sentiasa. Seorang yang bermulut bisa dan berani mengeluarkan kata-kata sindiran tanpa mempedulikan perasaan orang lain di sekelilingnya. Seorang lelaki yang cukup menyakitkan hati Hero, namun dia tahu yang dia sememangnya terhutang budi pada lelaki itu.

Zarique mengangkat kepala memandang ke arah keempat-empat pekerjanya yang sedang melakukan sesi suai kenal itu. "Kalau dah habis berkenalan, cepat buat kerja. Kafe akan dibuka dalam masa setengah jam lagi. Shun, aku nak kau ajar Hero apa yang patut sebagai seorang pelayan. Vince, kau mari tolong aku alihkan kotak-kotak yang menghalang pintu belakang tu." Dia memberi arahan mutlak yang tiada sesiapa pun berani menyangkal.

Shun mengerutkan keningnya. "Apahal aku pula kena jadi baby-sitter?" Dia merungut dengan suara perlahan supaya tidak didengari Zarique yang telah mula berjalan ke belakang kafe bersama-sama Vince. 

Wing tertawa. "Kau kan pandai Shun. Mestilah Zarique akan suruh kau handle budak baru. Anggap je kau ni mentor Hero." Wing begitu pandai menggunakan ayat yang membuatkan Shun berbangga. Shun mulai tersengih lebar.

"Ringkasnya fikiran dia. Senang dipengaruhi." Hero memberi komen.

Wing tersenyum. "Hero, kami suka terima kau bekerja di sini. Zarique dah ceritakan pada aku pasal laptop kau tu. Aku harap emak kau sihat."

Hero mengangguk. "Hari ni dia keluar hospital. Aku takkan benarkan dia buat kerja berat lagi lepas ni." Hero mengeluh sedikit.

"Kau memang sayangkan emak kau, kan? Mesti keluarga kau bahagia walaupun tak sekaya mana." Kata Wing. Suaranya kedengaran sedikit muram seolah-olah dia menyimpan sesuatu yang terpendam. Hero perasan, namun dia tidak pula ingin bertanya. Baginya, mereka masih belum begitu rapat untuk berkongsi perkara peribadi.


"Se..selamat datang ke Parfee Cafe." Muka dan suara Hero nampak begitu tegang apabila menuturkan ucapan selamat itu. Shun merenungnya tajam. Mahu saja dia ingin mengetuk kepala Hero namun dia hanya tersenyum manis kepada dua orang gadis yang baru saja melepasi pintu kafe. Shun segera membawakan mereka ke meja, manakala Vince pula mula mengambil pesanan.

"Nak ucap selamat datang pun muka macam orang tahan kencing ke?" Shun menyindir sinis. Hero yang agak panas baran itu mengerlingnya tajam. Mahu saja dia ingin menumbuk wajah tampan Shun itu, namun apabila terpandang wajah Wing yang kelihatan serius tanpa senyum itu, dia membatalkan niatnya segera. Hero mengerling ke arah Shun. Nampaknya, Shun agak takut dengan Wing versi serius tanpa senyum itu juga.

Hero berjaya menghantar sedulang minuman kepada empat orang gadis yang kelihatan berminat denganya. Dia cuba untuk tidak mengambil kisah dengan apa yang dibualkan gadis -gadis itu.

"Itu pelayan baru? Comelnya. Muka macam budak-budak."
"Aku nak minta nombor telefon dia lah."
"Hei, bukan kau minat Wing ke? Kenapa beralih arah pulak ni?"
"Tak kisahlah korang nak minat siapa pun, aku tetap minat Shun. Dia model tau."
"Agak-agaklah, diorang ada girlfriend ke belum, hah?"
"Aku dengar kononnya, kalau orang-orang handsome yang takde girlfriend tu gay."

Hampir terbatuk Hero mendengar perbualan mereka. Gay? Gila! 

Wing yang pada ketika itu sedang memerhatikan raut wajah Hero cuba menahan ketawa. Dia menghampiri Zarique. "Kau tengok si Hero tu. Terkejut dia bila kena mengurat macam tu. Nampaknya, dia perlu biasakan diri dengan perempuan kalau nak kerja di sini."

Zarique mengerling ke arah Hero yang kelihatan terkial-kial cuba menolak perlawaan seorang gadis yang agak berusia untuk minum bersama. "Dia entertainment kau sekarang. Bolehlah kau gelak-gelak selalu. Macamlah aku tak tahu hobi keji kau tu."

Wing tersengih. "Zarique, kenapa kau ambil budak tu kerja di sini?"

"Sebab dia handsome dan boleh menjana pendapatan Parfee Cafe. Macam korang semua." balas Zarique acuh tak acuh.

"Bukan sebab kau kesiankan dia?" Wing menyoal sambil mengangkat kening.

"Aku dah cakap kafe ni bukan rumah kebajikan." Zarique membalas.

"Ataupun bukan sebab kau rasa dia macam Zarfique?" Wing menyoal lagi. Namun, apabila Zarique mula menghadiahkannya pandangan membunuh yang mampu membuatkan aura kematian dapat dirasai sesiapa saja di sekeliling Zarique, Wing mengangkat tangan tanda mengalah. Dia tidak ingin menimbulkan rasa tidak senang Zarique sekaligus mencari penyakit.

"Aku bancuhkan latte ais kegemaran kau ya." Dia berkata dengan senyuman sebelum berundur ke kaunter minumannya. Matanya melirik pada Zarique yang mula menjeling ke arah Hero dengan pandangan mata yang suram.

"Kau tak boleh sembunyikan apa-apa dari aku, Zarique. Aku kawan baik kau." Wing bercakap sendiri.

****

Petang itu, Wing telah mendapat perlepasan untuk keluar awal di atas sesuatu sebab. Kereta mewah Ferrari merahnya meluncur laju keluar dari tempat parkir kereta yang dikhaskan untuknya membuatkan Hero terlopong. "Kereta dia kereta Ferrari? Siapa Wing ni sebenarnya?"

Shun mengerling ke arahnya. "Kau tak tahu? Dia ialah anak tunggal pengarah syarikat Thammesey Corporation, orang ketiga terkaya di negara ni."

Rahang Hero terbuka luas. "Biar betul? Kalau dia kaya, kenapa dia kerja di kafe ni? Kerja makan gaji pulak tu."

"Apa masalahnya kalau dia nak kerja di sini?" Zarique menyoal dingin dari belakangnya. 

"Err... tak ada apa-apa. Saja bertanya." Hero membalas, kurang berani bertentang mata dengan Zarique itu. Padanlah semua orang kat sini takut dengan dia. Memang seram.


Ferrari merah itu terparkir kemas di tempat meletak kenderaan di lapangan terbang antarabangsa. Wing keluar dari keretanya sambil menyarungkan jaket putihnya. Dia telah menukar uniform Parfee Cafe dengan sepasang baju kasual, sehelai seluar hitam dengan kemeja hijau zamrud. Wing berjalan sambil bersiul kecil dan masuk ke ruang menunggu. Matanya mencari-cari seseorang dari pintu ketibaan. Kelihatan dia sedikit resah apabila orang yang dinantinya masih belum tiba apabila penumpang semakin berkurangan.

"Ishh... aku tersilap masa ke?" Dia bermonolog sendirian.

Sepasang tangan memeluknya dari belakang membuatkan dia sedikit terperanjat. Dia pantas menoleh dan seorang gadis tinggi lampai berambut panjang yang sangat cantik sedang tersenyum manis kepadanya. "Wing, lama tak jumpa."

Wing terpaku sebelum mengukir senyuman. "Yuna." Matanya merenung wajah mulus gadis bernama Yuna yang pada pandangan matanya kelihatan begitu sempurna itu.

"Wing, jangan pandang aku macam tu lah." Yuna menegur lalu Wing tersengih dengan tersipu-sipu. Dicapainya bagasi Yuna.

"Tak apakah kau muncul di tempat awam macam ni? Kau nak cermin mata hitam?" Wing menyoal.

"Tak perlu. Dah lama aku tak balik ke sini. Rindunya. Cuaca di Paris, tak seindah di sini." Yuna membalas lalu mula berlari-lari anak mengekori Wing hingga ke kereta. Dia tersenyum melihat kereta Ferrari lelaki itu. "Oh.. baby kau ni masih sihat? Aku ingatkan kau dah tukar kereta."

"Kau suka Ferrari ni, takkanlah aku nak tukar pula."

"Wing memang sweet." Yuna berkata membuatkan jantung Wing berdetap laju. Melihat senyuman di wajah Yuna membuatkan Wing rasa bahagia. Dia memang telah lama menaruh hati terhadap gadis itu. Yuna ialah seorang penyanyi antarabangsa dan bekas model yang menetap dan bekerja di Perancis sejak tiga tahun lalu. Gadis itu dua tahun lebih tua darinya.

"Zarique apa khabar?" Yuna menyoal. Gadis itu ialah kawan sekelas Zarique ketika di sekolah dulu dan mereka bertiga menjadi rapat seperti belangkas. Pada ketika dulu, Yuna dianggap seperti seorang kakak yang baik hati, namun sekarang semuanya mulai berubah apabila Wing mulai sedar yang dia tidak lagi dapat melihat Yuna sebagai seorang kakak. Namun, lelaki itu masih tidak ada keberanian untuk meluahkan perasaannya. Ini kerana dia risau. Yuna kelihatan lebih cenderung terhadap Zarique. Lelaki berwajah serius itu nampaknya lebih membuatkan Yuna teruja. Namun, Wing masih sabar di sisinya.

"Dia okey. Macam biasa."

"Yakah? Rindunya." Kata Yuna tersenyum lebar. Hati Wing sedikit pedih, namun dia masih mampu tersenyum.

"Nak jumpa dia ke? Aku bawa singgah ke Parfee."

Yuna menggeleng. "Tak apa. Aku lama lagi di sini. Cuti panjang. Esok lusa pun aku boleh pergi. Thanks, Wing."


4 comments:

akira_bita said...

ah sudah! cinta tiga segi kah? jangan.. tak mo... hahahahah!

adeh yuna ni.. amik jelah wing tu! eden nak zarique!

nonorm said...

sgt tertarik dgn wing dan zarique...

OkiE a.k.a WitcH said...

wah...watak heroin Wing dah muncul..tak sabar nak tengok heroin Hero...hehe

Kana Sakura said...

kita plak tak sabar nk tunggu wtk heroin Shun! haha! suka dkat Shun! XD