Tuesday, April 26, 2011

[HD] 02 : The classmate


Iris bersandar pada kerusinya sambil menghisap gula-gula berperisa oren. Sekali-sekala matanya melirik ke arah permandangan di luar tingkap. Bibirnya membentuk senyum melihat seekor anak burung sedang terbang teragak-agak melintasi sebatang pokok. Pastilah anak burung itu baru mula belajar terbang.

Encik Paxton secara tiba-tiba mengetuk pintu kelas dan melangkah masuk ke dalam. Kali ini, dia meninggalkan rotan panjangnya di bilik guru. Di belakangnya berdiri seorang lelaki tinggi lengkap berseragam Akademi Hovelate, berambut gelap dan bermata biru. Iris merenung lelaki itu yang sedang memandang pelajar-pelajar kelasnya itu. Iris perasan hampir kesemua pelajar perempuan melirik ke arah lelaki itu sambil tersenyum-senyum simpul dan berbisik-bisik sendiri. Pelajar-pelajar lelaki pula hanya memandang ke arah lelaki itu dengan senyap. Pastinya pelbagai benda bermain-main di fikiran mereka. 

"Ini pelajar baru yang akan belajar bersama kamu tahun ini. Encik Michal, perkenalkan diri awak." Encik Paxton berkata sambil tersenyum kepada lelaki itu.

"Nama saya Venn Michal. Sila beri tunjuk ajar." Venn memperkenalkan diri sambil tersenyum manis.

Iris seperti terdengar beberapa orang pelajar perempuan berbisik-bisik betapa comel dan tertibnya lelaki bernama Venn Michal itu. Iris menjuih bibirnya. Pemikiran perempuan memang singkat. Fikir gadis itu tanpa menyedari pada ketika itu dia juga seorang perempuan.

"Awak duduk di belakang dulu ya. Di tempat kosong sebelah cik Gwendall." Encik Paxton menunjukkan meja kosong di sebelah Iris. Disebabkan tersisih, tiada orang mahu duduk di sebelah gadis itu di dalam kelas. Iris terkejut. Terlupa pula dia meja di sebelahnya ialah meja kosong.

Venn tersenyum dan berjalan ke meja kosong itu. Dia melemparkan senyuman kepada Iris namun dibalas dengan hambar oleh gadis itu acuh tak acuh. Venn menghulurkan tangannya untuk bersalam. "Saya Venn. Selamat berkenalan."

"Iris." Balasnya tanpa menghulurkan salam. Pandangan matanya diarahkan ke hadapannya semula. Kelihatan Encik Paxton memandang mereka sambil tersenyum.

"Jadi, memandangkan Encik Michal masih baru di akademi, saya rasa dia perlukan banyak bantuan. Cik Gwendall, saya nak awak bantu dia." Sambung guru disiplin itu.

"Hah?" Mata Iris membulat. "Kenapa saya pulak?" Spontan Iris memprotes. Dia memandang sekeliling. Nampaknya ramai pelajar perempuan kelihatan tidak berpuas hati.

Namun Encik Paxton tersenyum. "Awak tak boleh buat ke, pelajar cemerlang? Saya faham. Dalam dunia ni, bukan semua benda kita boleh buat." Senyuman Encik Paxton itu membuatkan Iris geram. Sebenarnya, cikgunya itu sedang memprovok gadis itu dan membuatkan Iris rasa tercabar. Dia tahu moto gadis itu. Gadis kuat yang boleh melakukan segala-galanya.

Iris terus berdiri dan menepuk meja dengan kuat. "Saya boleh!" Kuat suara Iris. Semua mata memandangnya terkejut. "Maksud saya, saya tak kisah kalau terpaksa jadi baby-sitter dalam sehari dua."

"Bagus. Jadi tunjukkan pada pelajar baru kawasan akademi sekali dengan aktiviti kelab ya. Encik Michal, awak perlu menyertai satu aktiviti kelab di sini, ya." Encik Paxton berkata dan kemudian terus keluar dari kelas.

Iris mengeluh lalu terus duduk di kerusi. Dia mengerling ke arah Venn yang sedang tersenyum padanya. Entah kenapa dia rimas. Tak pernah-pernah ada orang cuba senyum-senyum macam ni dekat aku, boleh pula budak ni sengih-sengih. Iris berfikir.  

"Jadi, sila beri tunjuk ajar pada saya ya, cik Iris Gwendall." Venn tersengih. Dia langsung tidak terasa dengan sikap dingin Iris terhadapnya. Iris menjeling lelaki itu sambil mengangguk.


"Dekat situ perpustakaan. Dibuka dari jam 8 pagi sampai 8 malam. Kafetaria ada di sana. Gelanggang bola keranjang dekat dengan gymnasium di belakang dewan utama. Pejabat pentadbir ada di bangunan utama." Terang Iris kepada Venn pada waktu rehat. Rutin hariannya sedikit terganggu kerana dia perlu membawa Venn melawat kawasan akademi. Venn berjalan mengikutinya dari belakang.

"Awak wajib masuk satu kelab di akademi ni. Awak boleh mendaftar di pejabat nanti. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya pergi dulu. Rasanya awak boleh berjalan-jalan sendiri kan?" Iris memandang jam di tangannya. Perutnya sudah berkeroncong gara-gara terpaksa menemankan pelajar baru itu.

"Awak masuk kelab apa, Iris?" Tiba-tiba saja Venn menyoal.

Wajah Iris berkerut. "Kelab katana."

Venn tersenyum. "Kalau macam tu, saya nak masuk kelab tu jugak lah." Kata Venn sambil tersengih. Iris merenung Venn lama-lama dengan aneh.

"Suka hati kaulah." Iris membalas dan terus meninggalkan Venn keseorangan.

Venn tersenyum melihat Iris dari belakang. Iris berjalan perlahan-lahan memasuki bangunan utama ke kelas. "Perempuan ni macam Virus." Venn berbisik sendiri sambil mula berjalan ke arah kafetaria perlahan-lahan. Senyuman beberapa orang pelajar perempuan yang lalu lalang dibalasnya dengan mesra.


Keesokan paginya Venn menegur Iris yang sedang bersandar di kerusinya. Gadis itu datang awal hari ini. Acuh tak acuh sahaja Iris membalas ucapan selamat pagi lelaki itu.

"Venn." Panggil seorang gadis yang merupakan rakan sekelas mereka. Venn berpusing dan tersenyum. Si gadis bernama Maria itu berbual-bual dengan Venn. Iris membulatkan mata merenung ulah Maria. Gadis itu tersenyum-senyum simpul sambil memutar-mutar hujung rambutnya. Matanya melirik manja ke arah wajah kacak Venn itu. Iris bukanlah bencikan Maria namun dia tidak suka melihat gadis itu cuba bermanja-manja dengan Venn di hadapan matanya. Venn pula kelihatan tidak terganggu malah berbual-bual dengan mesra dengan Maria.

"Ceh.. nak mengada-ngada pergi tempat lainlah." Iris merungut perlahan sambil membentuk-bentukkan mulutnya.

Iris melemparkan pandangannya ke luar tingkap seperti biasa. Dia seperti berada di dunianya sendiri apabila kelas masih belum bermula. Dia terkejut apabila Venn tiba-tiba menegurnya setelah Maria berlalu dari situ. "Kenapa kau tak berkawan dengan orang lain?"

Iris memandang Venn dengan marah. "Kenapa kau sibuk hal aku pula? Kalau kau rasa aku ni menjengkelkan, jangan cakap dengan aku." Iris bersuara marah. Wajah Venn terlalu tenang dan dia benci melihat senyuman lelaki itu seolah-olah dunianya sangat sempurna dan tidak punya masalah.

"Siapa cakap kau menjengkelkan? Aku suka bersembang dengan kau." Venn membalas membuatkan Iris terpaku. Tiada sesiapa pernah berkata begitu kepadanya sebelum ini. Wajah Iris sedikit kemerah-merahan. "Kau macam abang aku." Venn menyambung.

Iris menjeling lelaki itu namun dia tidak membalas. Seketika kemudian Venn mengeluarkan sepaket gula-gula getah. Dia menyerahkan sekeping kepada Iris dengan senyuman. "Ambillah. Aku tahu kau suka makan gula-gula." Iris merenung Venn lama-lama. Teragak-agak dia menyambutnya sebelum mengucapkan terima kasih.

"Aku ingat aku nak masuk kelab Katana lah." Kata Venn tiba-tiba.

"Kenapa? Kau minat main pedang ke?" Iris menyoal sambil membentuk belon menggunakan gula-gula getahnya.

"Taklah. Aku cuma teringin nak buat benda yang abang aku suka buat. Dia lebih lasak dan kuat daripada aku, jadi aku pun nak cuba benda-benda yang boleh buat aku jadi macam dia."

Iris mengangkat bahu. "Kenapa kau nak jadi orang lain? Jadilah diri sendiri." Dia memang berpegang pada prinsip itu selama ini. Buat apa yang dia nak dan jangan biarkan dirinya dipaksa-paksa. Tapi yang penting, Iris mahu menjadi dirinya sendiri.

Venn ketawa. "Betul kata kau. Tapi, aku cuma nak cuba-cuba. Lagipun..." Venn terdiam tiba-tiba menyebabkan Iris kehairanan. Dia menoleh memandang Venn di sebelahnya. Venn menutup wajahnya dengan tangan.

"Kenapa dengan kau?" Iris menyoal.

Namun Venn tidak membalas dan Iris bersumpah yang dia nampak raut wajah Venn menjadi serius sebelum lelaki itu bangun meninggalkan tempat duduknya keluar dari kelas melalui pintu belakang. Iris memandang lelaki itudengan seribu tanda tanya.

"Mamat pelik!" Dia memberi komen sambil terus meletupkan belon dari gula-gula getahnya.

4 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

wah..Venn baik sangat la..hehe suka watak lelaki cam ni...tapi, tak sabar pula nak tengok watak Virus cam mn..hehe
dengar dah 4 chapter shasha tulis?hehe....nak lagi >_<

anayue said...

dah smapi chapter 4??wah..hebat~

Virtual Writer said...

hahaa... sok lusa sy post eh..

fallenmoon said...

Kenapa dengan Ven? Dia sweet!