Saturday, May 12, 2012

[CPoA] 33 : First Date


Hero melangkah keluar perlahan-lahan dari dewan kuliah sambil menggalas begnya dan memeluk laptop kesayangannya erat-erat. Seperti biasa dia tidak mempedulikan suasana sekeliling dan kelihatan seperti lelaki di dalam dunianya sendiri. Bermula esok universitinya akan bercuti selama seminggu dan dia tahu begitu ramai orang bergembira disebabkan itu. Masing-masing mula memikirkan rancangan untuk cuti, namun Hero tahu yang dia tidak punya banyak masa untuk itu. Dalam masa kurang dari dua minggu, dia akan membentangkan projeknya supaya dia layak untuk menjadi penerima biasiswa pengajian di luar negara. Dan perbentangan itu akan diadakan bersama-sama si gadis sengal, Lexy Wentz.

Hero memang masih belum memahami gadis itu sepenuhnya. Sekejap dirasakan Lexy gadis yang menyusahkan dan garang, namun ada kalanya Hero merasakan Lexy boleh menjadi gadis yang paling baik di dunia. Seperti kata Wing dulu, Lexy ialah seorang gadis tsundere. Seorang yang mempunyai personaliti yang agak dingin pada mulanya, namun sedikit-sedikit berubah menjadi seorang yang agak... warm. 

"Hero Bladel!" Dia tersentak sedikit mendengar namanya disebut dari belakangnya dan dia amat mengenali suara itu. Lexy Wentz sedang berdiri di belakangnya sambil memeluk beberapa buah buku tebal dengan wajah yang agak serius namun kelihatan merah padam.

"Jom." Seperti biasa Hero hanya menuturkan beberapa patah perkataan kepada Lexy. Hatinya masih berasa panas kerana sudah beberapa kali kakinya menjadi mangsa tendangan gadis karate itu. Mereka telah berjanji akan berjumpa di perpustakaan selama dua jam setiap kali selepas habis kuliah untuk membincangkan projek perbentangan mereka.

"Err.. Hero. Emm... esok err..." Lexy seperti teragak-agak bercakap sambil dilajukan langkahnya menuruti langkah Hero yang agak laju itu. Perpustakaan terletak tiga blok dari fakultinya dan Hero memang tidak suka membuang masa. Tambahan lagi, dia perlu ke Parfee selepas ini.

"Apa dia? Kenapa dengan esok?" Hero menoleh hanya untuk melihat Lexy tertunduk-tunduk dan kelihatan tersipu-sipu di belakangnya.

Mulut Lexy terus terkunci rapat apabila Hero menatapnya. "Tak ada apa-apalah. Jomlah cepat pergi library." Katanya lalu berjalan laju melintasi lelaki itu.

Hero menghela nafas berat. Bingung dia memikirkan perangai gadis itu namun dia masih mendiamkan diri. Matanya tertancap pada rambut ekor kuda Lexy yang beralun-alun mengikut langkahnya dari belakang. Terfikir juga apa yang pernah dicakapkan oleh Wing dulu yang Lexy berperangai begitu kerana dia sebenarnya menyukai dirinya, namun Hero pantas menggeleng dan menidakkan firasatnya sendiri.

Perbincangan mereka berakhir hampir dua jam kemudian dan Hero mula berdiri sambil mengemas-ngemas barang-barangnya di atas meja. Perbincangan hari itu berjalan dengan baik dan Lexy juga sudah mula mahu menerima pendapatnya berbanding mula-mula dahulu. Hero tersenyum di dalam hati memikirkan yang dia berjaya menjinakkan gadis keras kepala itu.

"Emm.. Hero." Lexy memanggil namanya perlahan.

"Apa dia?"

"Kau nak pergi ke Parfee?" Lexy menyoal.

Hero mengangguk. "Okeylah. Kita jumpa lagi nanti."

"Hero, esok..."

Hero pantas memandang gadis itu dengan hairan. Dia perasan dari tadi lagi Lexy ingin bercakap sesuatu tentang hari esok. "Kenapa dengan esok? Kan kita janji esok hari cuti kita. Kau nak buat discussion lagi ke?"

"Tak.. emm.. se..sebenarnya esok aku err... sebenarnya esok hari jadi ayah aku." Luah Lexy akhirnya membuatkan Hero merenungnya lama-lama. Apa kena mengena dia dengan hari jadi ayah gadis itu, dia pun tak tahu.

"Oh... ucapkan selamat hari jadi kepada dia dari aku."

Baru saja Hero hendak berlalu dari meja, Lexy merentap lengannya laju. "Aku nak ajak kau carikan hadiah untuk dia."

"Hah?" Suara Hero jelas kedengaran sedikit terkejut. 

Perlahan-lahan Lexy melepaskan lengannya. "Aku... aku tak tahu apa yang aku nak beri pada dia sebab tu aku nak ajak kau tolong aku pilih. Kau jangan perasan aku sengaja cari alasan nak ajak kau keluar pulak." Wajah Lexy kelihatan merah padam semula.

Hero merenungnya tajam. Rasanya dia sendiri sudah faham akan gadis itu dan dengan suara yang selamba tanpa perasan dia berkata, "Okey."

Lexy kembali memandang Hero dengan terkejut namun sedikit gembira. "Betul?"

"Boleh. Aku tau kau nak sangat keluar dengan aku."

"Bu..bukan macam tu lah.. Aku cuma nak ajak kau pilih hadiah..."

"Aku cakap okey. Esok, aku jemput kau di rumah kaulah." Kali ini Hero terus berlalu meninggalkan Lexy yang masih merenung belakang Hero dengan terkejut dan hampir pengsan kegembiraan itu. Akhirnya setelah beberapa kali berlatih di hadapan cermin sejak semalam, dia berjaya juga mengajak lelaki itu keluar.

Pada ketika itu, tanpa diduga Hero mengukir senyuman namun kembali memasamkan wajahnya apabila di sedar yang dia sedang tersenyum.


"Ohooo.... ada perkembangan nampak, kau dengan budak tu. Hahaa... aku dah kata dia tu berminat dengan kau." Shun mengangkat kening sambil menyiku-nyiku perut Hero. Petang itu, pelanggan di Parfee masih ramai seperti biasa namun masih sempat dia mengusik Hero yang sekarang sudah mengambil alih tugas Wing sebagai barista itu.

"Jangan merepek. Pergi buat kerja kau sebelum Zarique marah. Kau nak dengar dia membebel?" Hero cuba menghalau. Namun dalam hati, Hero terasa sedikit gundah. Dia dapat nampak perubahan Lexy namun sengaja berpura-pura tidak perasan.  

*****

Lexy sengaja bersiap-siap awal sejak awal pagi. Lehernya dipanjangkan ke luar tingkap menunggu kelibat lelaki yang dinanti-nantinya dengan hati yang berdebar-debar. Rumahnya yang direka seperti sebuah rumah tradisional masyarakat Jepun memang sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah dojo karate itu. Tanpa mempedulikan ayahnya yang sedang duduk di laman sambil membaca surat khabar dan menghirup teh pagi, Lexy mundar-mandir di dalam rumahnya dengan hati yang gelisah.

"Dia nak datang ke tak ni... ish..." Lexy meletup-letupkan jarinya.

"Duduklah Lexy. Kejap lagi, budak tu datanglah." Pujuk ayahnya walaupun matanya masih melekat di surat khabar.

"Kalau dia tak datang macam mana?" Lexy gelisah.

"Bukan ke kau kata nak keluar sebab nak belikan hadiah hari jadi untuk ayah? Kalau dia tak datang, kau pergilah sendiri. Ke kau sebenarnya memang nak keluar dengan dia?" Ayahnya bijak membaca reaksi anaknya itu. Lexy mula menarik muka masam dan menidakkan kata-kata itu. Ayahnya pula sekadar ketawa kecil.

Apabila loceng pintu dibunyikan, Lexy berlari-lari anak ke pintu pagar. Hatinya menendang kencang melihat Hero tercegat di luar. 

"Se..selamat petang." Lexy gugup sehingga tersasul ucapannya itu. Namun, Hero hanya tersenyum.

"Jomlah." Hero mengajak.

Lupin Mall menjadi destinasi mereka pada hari itu. Lexy begitu bersemangat menarik lengan Hero dari kedai ke kedai, membelek-belek kemeja, tali leher dan minyak wangi lelaki untuk dijadikan hadiah kepada ayahnya. Namun, hingga ke petang dia masih belum dapat memilih hadiah yang sesuai.

"Aku tak tahu apa yang aku nak beli." Lexy merengek di sebuah meja di restoran.

Hero memandang gadis itu. "Kau memang sayang dengan ayah kau kan?"

"Mestilah. Dia yang jaga aku sejak kecil sejak ibu aku meninggal lepas lahirkan aku. Kalaulah ayah aku tak ada, tak tahulah apa akan jadi pada aku dan kakak aku."

"Kau tak pernah jumpa ibu kau?"

Lexy menggeleng. "Dia meninggal sejak aku lahir. Aku tak pernah tengok rupa dia tapi ayah aku selalu bercerita tentang dia pada kami. Gambar ibu pun ayah tak simpan. Dia selalu kata ibu akan selalu hidup di sini." Lexy menepuk dadanya sambil tersenyum.

"Hero, kau tinggal dengan ibu kau kan? Ayah kau?" Lexy pula menyoal.

"Ayah aku pun dah tak ada. Tapi, bagus juga dia tak ada. Sebab dia, mak aku terpaksa tanggung hutang yang banyak. Dia selalu sakit sejak buat kerja berat semata-mata untuk bayar yuran pengajian aku." Jawab Hero.

"Sebab tulah kau bersungguh-sungguh nakkan biasiswa tu."

Hero mengangguk dan Lexy tersenyum.

"Hei, aku rasa hadiah yang paling sesuai untuk ayah kau ialah hadiah yang kau buat sendiri. Memang orang suka beri hadiah yang mahal-mahal untuk orang yang penting, tapi bagi aku, nilai sesuatu hadiah tu bergantung pada keikhlasan dan perasaan kau. Kalaulah kau beri sesuatu yang kau buat sendiri atau sesuatu yang ayah kau suka walaupun murah sekalipun, benda tu lebih bermakna dari benda-benda mahal ni." Kata Hero membuatkan Lexy terdiam.

Dalam diam, dia mula teringatkan zaman persekolahannya semasa dia masih kecil. Dia masih ingat senyuman ayahnya apabila dia menghadiahkan sekeping kad buatan sendiri ataupun kek dan biskut yang disediakan ketika pelajaran Ekonomi Rumah Tangga di sekolah. Ayahnya akan tunduk dan menepuk kepalanya sambil makan apa sahaja yang diberikan. Walaupun ayahnya agak garang ketika bergelar guru karate di dojo, namun sebagai seorang ayah, dia memang penyayang orangnya.

Perlahan-lahan Lexy tersenyum dan mengangguk. "Terima kasih, Hero."

Monday, April 30, 2012

[TVO] Vampire 23 : Incident


"Vam.. vampire? Takkanlah..." Mata Veronika membesar melihat Ren yang sedang memandangnya sambil mengukir senyuman hambar. Bahu Veronika menggeletar mendengar pengakuan lelaki itu dan lututnya terasa kemah.

"Betul. Saya ialah vampire. Saya tak bergurau."

Veronika mula meraup wajahnya dengan telapak tangan. Namun entah kenapa, walaupun dia memang terkejut dengan kata-kata itu, perasaan takut tidak pula timbul di hatinya sepertimana dia takut terhadap Terrass.

"Saya akan tunjukkan rupa vampire saya. Awak janganlah menjerit, ya. Saya takkan apa-apakan awak." Kata Ren lagi sebelum dia berdiri tegak dan merenung tepat ke wajah gadis itu. Perlahan-lahan warna anak matanya bertukar menjadi merah menyala dan sepasang taring yang kelihatan tajam kelihatan di mulut Ren. Veronika yang mengintai perubahan wajah lelaki itu dari sebalik telapak tangannya sekadar berdiri tegak dengan jantung yang berdebar-debar. Dia amat tidak menyangka dengan berita itu.

"Veronika.." Ren memanggil namanya dan menjengah ke hadapan. Dia menyentuh tangan Veronika dan menurunkannya dari muka gadis itu. "Saya tak nak awak takut dengan saya."

"Ka...kalau awak ni vampire, jadi awak sepatutnya hisap darah manusia, kan?" Soal Veronika.

Ren menggeleng sambil menukar wajahnya kembali seperti manusia biasa semula. "Dah lama saya tak minum darah manusia. Kami selama ini bergantung pada darah tiruan supaya kami tak perlu menghisap darah manusia lagi."

"Darah tiruan?"

"Sejenis cecair yang membantu kami untuk terus hidup tanpa kami perlu menghisap darah manusia. Dah bertahun-tahun saya tak minum darah manusia dan saya masih sihat seperti sekarang." Ren mengukir senyuman dan rona wajahnya cuba dimaniskan untuk tidak terus menakutkan gadis di hadapannya itu. Dia tahu Veronika terkejut. Apatah lagi gadis itu memang mengetahui kewujudan vampire malah pernah diserang dulu.

"Bertahun-tahun... jadi berapa umur awak sekarang?" Veronika menyoal dengan debaran kencang di dada yang semakin susut. Dia semakin tenang dan yakin Ren tidak akan mengapa-apakannya.

"Lebih tua dari wajah saya yang sekarang ni. Cukuplah awak tahu itu."

Veronika terdiam dan mengamati wajah Ren lama-lama. Perlahan-lahan digagahkan kakinya menghampiri lelaki itu sambil mulutnya berkumat-kamit menyebut nama penuh lelaki itu. Pada ketika itu juga fikirannya teringatkan sesuatu lantas langkahnya dihentikan serta-merta. "Ren Mitsui... awak ni keturunan bangsawan Purist?"

Wajah Ren berubah mendadak, tidak menyangka Veronika mengetahui lebih dari yang sepatutnya. "Macam mana awak tahu? Ah.. mesti wartawan Ryuu Touda tu yang beritahu..."

Belum sempat Ren menghabiskan kata-katanya, satu dentuman yang kuat berbunyi dari arah hadapan disusuli dengan jerit pekik beberapa orang pengunjung. Kedua-dua Veronika dan Ren berpusing mencari-cari arah bunyi dentuman itu. 

"Bunyi apa tu? Bunga api?" Veronika menyoal.

"Bukan." Ren membidas seraya menghulurkan tangannya ke arah Veronika. "Jom kita pergi tengok." Tangan Ren bersambut dan dia berlari sambil menarik Veronika yang turut berlari mengikutnya. Dari jauh beberapa orang berlari-larian melepasi mereka dan mereka seperti tidak menyedari kehadiran idola terkenal itu disitu. Semua orang seperti sedang menyelamatkan diri daripada sesuatu.

"Kenapa ni, cik?" Veronika menahan seorang gadis belasan tahun yang wajahnya kelihatan takut dan termengah-mengah.

"Bahagian depan dewan meletup dan ada tiga... makhluk bertaring datang..."

"Vampire!" Ren menggenggam penumbuknya ketat. Dia memandang ke arah Veronika sebelum menarik gadis itu ke tepi. "Awak pergi dari sini. Sini tak selamat lagi. Saya dah agak Terrass akan buat sesuatu sebab dia muncul di Jepun malam ni."

"Terrass?"

"Vampire yang ada di belakang awak masa konsert tadi. Dia juga yang serang awak masa di Lonphrene."

Mata Veronika membulat besar. "Macam mana awak tahu?"

"Saya sentiasa perhatikan awak, Veronika." Ren sekali lagi mengukir senyuman. "Sekarang awak pergi dari sini. Saya akan uruskan dengan yang lain. Saya akan cari awak nanti."

Veronika mengangguk dan dalam hatinya dia mula mengagak 'yang lain' yang dimaksudkan Ren ialah anggota Eternal-X yang lain. Sekarang dia pasti kesemua mereka adalah vampire. Veronika berpusing sambil mula berjalan laju menjauhi Ren yang kini telah mula berlari ke arah bertentangan. Namun, apa yang tidak diketahui Ren ialah, Veronika sebenarnya berpatah balik dan sedang mengekorinya dari jauh untuk memenuhi rasa ingin tahunya yang semakin memuncak pada ketika itu.

*****

Ren, Gabby dan Joe terkejut melihat mayat tiga orang berlumuran darah sedang terbaring kaku di hadapan dewan. Di sisi mereka kelihatan tiga orang vampire berpakaian segak dengan bibir berlumuran darah dan ternyata mereka baru sahaja selesai menikmati makanan pada malam itu. 

"Mereka ni vampire biasa." Bisik Gabby sambil mengepal penumbuknya.

"Jangan cuai. Walaupun mereka vampire biasa, mereka ni vampire penghisap darah. Kita tak tahu kekuatan mereka. Lagipun aku yakin mereka ni vampire dari Lonphrene." Ren memberi amaran membuatkan Joe dan Gabby berpusing memandangnya serentak.

"Kenapa vampire dari Lonphrene boleh ada di sini?" Joe menyoal.

"Terrass ada di Jepun sekarang. Aku tak tahu kenapa tapi aku rasa dia ada niat tak elok."

"Terrass... Purist buangan tu?" Joe menyoal terperanjat.

Ren mengangguk dengan mata yang tidak lekang menatap tiga vampire lelaki dihadapan mereka yang bertaring dan sedang menyeringai itu. Masing-masing bersedia hendak menyerang namun tanpa diduga, seorang lelaki berwajah kacak muncul dibelakang sambil memberikan arahan supaya mereka tidak bertindak.

"Terrass..." Ren menyebut nama lelaki itu dengan serius. Wajahnya tampak marah melihat senyuman tenang terukir di bibir Terrass.

"Puteraku, dah lama kita tak jumpa sejak di Lonphrene. Nampaknya kau marah aku ganggu perempuan tu." Terrass bersuara tenang. "Kenapa?"

"Kenapa kau datang ke sini?" Ren menyoal tanpa menjawab provokasi lelaki itu.

"Banyak sebab dan salah satunya ialah perempuan bernama Veronika Ishikawa tu. Dia memang calon yang sangat sesuai dan aku rasa kau memang pandai memilih, Ren."

"Calon?" Gabby menyoal kehairanan namun Joe menepuk bahunya memberi isyarat supaya mendiamkan diri. Dia sendiri tertarik untuk mengambil tahu apa yang dimaksudkan oleh Terrass itu kerana sedari dulu lagi dia sedar yang Ren memang memberi perhatian yang lebih terhadap Veronika.

"Oh, kau tak tahu? Tuan kau ni sebenarnya dah lama jumpa calon yang sesuai untuk dikorbankan dalam upacara berdarah 100 tahun tu. Yalah... untuk mengekalkan keturunan dan kuasa bangsa vampire Purist tulen kan?" Terrass berkata sekaligus menimbulkan rasa terkejut Gabby dan Joe. Kedua-dua mereka berpandangan seketika sebelum memusatkan pandangan ke arah Ren yang hanya berdiri dengan senyap itu.

"Betul ke ni, Ren? Veronika ialah perawan terpilih tu? Jadi sebab itulah kau..." Joe menyoal seperti tidak percaya.

"Tapi... Ren kata tak akan membunuh manusia? Lagipun, Ren kan suka pada Veronika." Gabby mencelah.

"Kau berdua memang bodoh. Kau betul-betul ingat dia akan korbankan kuasa dia demi perempuan manusia tu?" Terrass sekali lagi menyoal dengan nada suara yang sinis.

"Ren tak mahukan kuasa. Sebab tu dia menolak dari pegang jawatan dalam Majlis Tertinggi. Dia nak hidup macam manusia biasa." Suara Gabby sedikit meninggi mempertahankan Ren yang masih berdiri dengan senyap itu.

Ketawa Terrass meledak kuat sambil dia menekan-nekan perutnya geli hati. Tingkah lakunya mengundang rasa geram dihati Gabby namun vampire muda itu sekadar mengetap bibir. "Kau ingat itukah alasan dia menolak? Ren Mitsui ni bukanlah semulia yang kau sangkakan. Aku tahu semuanya. Kau sebenarnya berdendam dengan Majlis Tertinggi sebab kau yakin merekalah penyebab kematian ibu bapa kau dan juga Victoria Yvan yang kau sayang tu kan? Kau takkan korbankan kuasa kau sebab selama ini kau memang merancang akan mengambil alih kuasa Renada sebagai ketua dalam Majlis Tertinggi."

"Bohong!" Gabby memekik.

"Tanyalah dia sendiri. Dia sebenarnya yang dah menipu kau berdua. Mempergunakan kau berdua sebagai alasan untuk hidup macam manusia biasa tapi sebenarnya dia yang rancang menimbulkan kekacauan dalam Majlis Tertinggi. Tanyalah dia siapa sebenarnya yang membunuh di Shibuya dan beberapa tempat lain di Jepun dan siapa yang sengaja membuatkan semua orang fikir keturunan Victoria Yvan masih hidup? Aku tahu semuanya sebab aku sengaja arahkan pengikut aku ikut kau."

Kali ini Gabby dan Joe terkedu. "Apa maksud dia, Ren?" Joe menyoal. "Kita semua memang ingat keturunan Yvan masih hidup, kan? Takkanlah kau yang..."

"Victoria Yvan dah mati! Semua yang berlaku selama ni dilakukan oleh lelaki ni. Dia yang sengaja membunuh manusia dan membuatkan kita semua fikir Victoria Yvan masih hidup sebab dia nak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada keluarga dia pada malam keluarga Yvan mati dulu. Dia sengaja bertemu dengan Veronika Ishikawa sebab dia tahu sejak mula lagi perempuan tu ialah perawan terpilih untuk korban 100 tahun tu. Sebab itulah dia juga pergi ke Lonphrene pada masa yang sama perempuan tu ke Lonphrene juga. Dia tak benarkan aku membunuh perempuan tu sebab perempuan tu diperlukan untuk upacara korban tu. Kalau perempuan tu mati, upacara korban takkan dapat dijalankan dan kuasa vampire dia akan hilang. Betul kan apa aku cakap ni?" Terrass berkata panjang lebar dengan suara yang serius.

Ren tertunduk sejenak sebelum secara tiba-tiba dia mula ketawa kecil. Matanya kemudian tajam merenung Terrass di hadapannya dengan pandangan yang bersinar. "Bukan semua yang kau katakan tu adalah benar, Terrass. Kau masih salah tentang satu perkara."

Wajah Terrass berubah raut.

"Victoria Yvan sebenarnya memang masih hidup." Ujar Ren perlahan memikirkan tentang diari yang berada di dalam milikan Ryuu itu.

Pada ketika itu, Veronika yang sedang bersembunyi di sebalik semak terkejut besar mendengar perbualan itu dengan lutut yang semakin lemah. Dia langsung tidak menyangka itulah niat sebenar Ren mendekatinya, malah dia juga akan dijadikan korban tak lama lagi. Belum sempat tubuhnya terjelupuk ke tanah, sepasang tangan telah mencekup mulutnya dari belakang.

Saturday, April 21, 2012

Rumah Untukmu Sinopsis


Igarashi Yuuya, seorang graduan kelas kedua terpaksa mengambil tindakan drastik bekerja sebagai pekerja sementara demi membayar kos sara hidup yang dituntut ayahnya. Mempunyai sikap sambil lewa, dia gagal mendapat pekerjaan tetap dan hampir putus asa dalam kehidupan namun apabila sesuatu terjadi pada keluarganya, dia sedar, dialah ketua keluarga. Dengan gaji dan status seorang pekerja part-timer, dia membuat satu janji pada ayah dan ibunya.

"Saya akan beli sebuah rumah untuk keluarga kita satu hari nanti."


Klik BAB SATU untuk membaca.

[RU] 1 : Hikikomori


Seseorang pernah berkata, life is a race. Hidup mesti ada matlamat, mesti ada tujuan, mesti ada KERJA. Kalau tak ada semua tu, bukan hidup namanya. Itulah kata-kata seseorang yang pernah menjadi hero dalam hidup aku. Hero ketika aku masih kecil. Ya... hero aku bukanlah Ultraman atau Kamen Rider di TV tu tapi heroku ialah orang yang lebih dekat denganku. Orang yang aku bergantung hidup sejak aku kecil iaitu ayahku. Masih aku ingat bahunya yang kuat mengendongku setiap kali aku merungut cuaca musim panas terlalu kering hinggakan kakiku tidak larat hendak berdiri. Dia akan selalu bersuara dengan suara yang serius dan dalam. 
"Jadilah orang yang berguna, anakku."

Tapi hari ini setelah hampir 20 tahun aku membesar dan cuba sedaya upaya untuk menyertai masyarakat di negara ini, barangkali aku sudah terlupa dengan kata-kata itu. Lagipun, ayahku itu bukanlah heroku lagi setelah beberapa sesi pertengkaran di meja makan dan ruang tamu.

"Kenapa kau berhenti kerja, Yuuya? Kau nak jadi apa, hah?" Suara ayah bagaikan halilintar membuatkan emak yang duduk di sebelah hampir tersedak setelah meneguk sup sayurnya.

Aku sekadar menjuih bibir dan terus menyepit nasi ke dalam mulut. "Syarikat tu tak bagus."

"Sebab tu je ke kau berhenti kerja? Kau dah dapat kerja lain?"

"Belum. Ah.. sedaplah lauk hari ni." Aku cuba menukar topik. 

Namun ayah bukanlah orang yang mudah berputus asa. Ditepuknya meja makan sekali dengan wajah yang marah. "Habis tu kau nak jadi penganggur? Kau ingat kau boleh hidup kat Jepun ni kalau tak kerja?"

"Nanti-nanti saya cari kerja lainlah. Banyak lagi syarikat kat Jepun ni. Tak boleh ke kita makan dengan tenang?" Aku tahu suaraku juga mula meninggi.

"Kau baru kerja kat syarikat tu 3 bulan, Yuuya. Kalau tak ada kerja, mana nak cari duit? Ayah pun penat cari duit jugak. Nasib baik rumah yang kita duduk ni rumah syarikat. Bayaran sewa sikit saja..."

"Sudahlah tu.. kita makan dulu." Emak menyampuk cuba menenangkan ayah yang nampaknya seperti boleh mematahkan penyepit makanannya tak lama lagi. Wajahnya semakin berkerut menahan marah. 

Ayah menghadiahkan emak pandangan mata yang amat tajam. "Semua ni salah awak. Tak tahu jaga anak. Asyik manjakan dia sejak kecil sampai dia jadi pemalas macam ni. Dia ingat senang ke nak cari kerja? Dari dulu selalu buat kerja separuh jalan. Tak pernah serius..."

Kemarahanku mula memuncak lalu aku berdiri menolak kerusi dengan kuat. "Dahlah! Nak makan pun tak lalu. Asyik berleter je. Nanti saya carilah kerja. Tak payah nak sibuk hal saya."

"Yuuya.." Suara emak lemah memanggilku sambil dia cuba menarik lengan bajuku menyuruhku duduk semula. Namun aku menarik lenganku lalu bergegas naik ke bilikku di tingkat dua. Pintu bilik kehempas kasar menandakan protes lalu aku melompat ke atas katilku yang berselerak dengan baju itu. 

Aku mengeluh kuat. Hari ini sudah hari ketiga aku berhenti dari syarikat tempat aku bekerja. Aku ialah seorang graduan dari sebuah universiti kelas kedua dengan keputusan yang cukup untuk aku mendapat pekerjaan di syarikat kelas kedua di Jepun. Memang bukanlah satu pencapaian yang boleh aku banggakan, tapi aku masih bergelar graduan universiti dan penerima ijazah. Pekerjaan pertama aku ialah di Syarikat PTP, sebuah syarikat bersaiz sederhana dan ditempatkan di bahagian rekaan produk. Majlis orientasi pekerja baru di syarikat ni memang sangat mengarut. 20 orang pekerja baru dipaksa memakai pakaian tradisional dan disuruh atau lebih tepat lagi dibuli seperti pelajar di sekolah. Perlu berjalan seperti itik, perlu mengambil tandatangan senior, dan turut didenda kalau gagal. Bullshit!

Di pejabat juga sama. Ketua bahagian aku pun mengarut juga orangnya. Pandai mengarah orang sesuka hati (termasuklah aku) dan suka menolak bulat-bulat cadangan aku untuk memajukan syarikat tanpa mendengar terlebih dahulu. Aku tahulah dia ketua, tapi tak bolehkah dia berdiplomasi sikit? Mungkin... sebab inilah aku tanpa teragak-agak menghantar surat meletak jawatan yang berkuat kuasa dalam masa 24 jam.

Aku kembali duduk di atas katil. Baru 3 hari aku tinggal di rumah, bilik aku sudah seperti tongkang pecah. Baju dan seluar bersepah di atas lantai dan katil. Majalah dan komik berselerakan di lantai. Bungkusan snek yang kumakan terasa malas hendak dibuang. Katilku juga sudah tidak kukemas Biarlah... nanti nak tidur di sini juga. Bilik lelaki bujang memang selalu macam ni. Mungkin juga aku bakal menjadi seorang hikikomori* tak lama lagi. 


Pergaduhan dengan ayah memang dah menjadi rutin dalam kehidupan kami. Emak pula sekadar mendiamkan diri di sebelah namun mencelah untuk pujuk ayah apabila suaranya terlalu kuat. Aku? Macam biasalah. Awal dulu memang aku diam saja, tapi sekarang dah berhari-hari ayah asyik membebel benda yang sama sampaikan mulut aku juga semakin ringan menjawab.

"Dengan perangai kau ni, kalau kau tak berhenti pun syarikat tu mesti akan pecat kau. Pemalas!" Dia berleter lagi di meja makan.

Rasanya dah 30 kali aku dengar ayah panggil aku 'pemalas'. Cuba kalau dia yang kerja di tempat aku, mesti dia akan berhenti jugak. "Boleh tak ayah berhenti membebel? Saya dah bosan tau tak?"

"Dah sebulan kau terperuk kat rumah ni. Kerja apa pun tak cari. Kau ingat aku suka tanggung anak pemalas macam kau ni? Umur dah 24 tahun tapi kerja terperuk dalam bilik dan asyik main game. Bangun pun lambat."

"Ayah!" Aku hampir menjerit lalu bangun dan mula mengangkat pinggan. "Saya nak makan dalam bilik. Malas nak makan kat sini. Bising."

"Duduk Yuuya!" Ayah mengarah.

"Saya tak minta duit ayah sesen pun. Jangan kacau saya." Aku berkata sambil berjalan laju menaiki tangga. 

"Habis tu kau ingat siapa yang bagi kau makan ni? Aku kerja untuk sara keluarga kita tapi duit aku dah banyak dibazirkan kat kau. Aku nak kau bayar balik duit sara hidup yang aku dah belanja untuk kau tu."

Urat kakiku terasa kejang seketika dan nasib baik pinggan dalam tangan tidak terjatuh ke lantai. Aku berpusing memandang ayah memastikan telingaku tidak tersalah dengar. 

"Abang.. janganlah buat anak kita macam tu." Emak turut bangkit dari kerusi.

"Aku nak kau bayar dekat aku apa yang kau makan, bilik yang kau duduk, air dan elektrik yang kau pakai. Kalau tak nak bayar, dipersilakan keluar dari rumah ni." Suara ayah kedengaran tegas sekali.

"Tapi..." Aku mula cuak. Betul ke ayah aku buat tindakan drastik macam ni? Dengan anak sendiri pun nak berkira ke?

"Jadi, baik kau mula fikir untuk keluar cari kerja sekarang kalau kau nak terus tinggal dalam rumah ni dan makan masakan emak kau."


Aku kematian kata-kata. Kata-kata ayah sedikit mengguris perasaan aku tapi, ayah betul-betul serius nampaknya. Mungkin dia rasa aku ni membebankan dia. Mungkinkah aku patut pindah keluar dari rumah ni? Tapi, dengan status aku sebagai penganggur, mana ada orang nak sewakan rumah pada aku. Lagipun duit simpanan aku pun dah nak habis. Mungkinkah aku perlu mula keluar cari kerja?

Ya... begitulah yang sepatutnya. Dengan sut hitamku yang terbaik, aku keluar menghadiri beberapa temuduga setelah menghantar resumeku kepada beberapa buah syarikat yang bersesuaian.

Syarikat A:
"Kenapa awak nak kerja dengan syarikat kami?" 
"Sebab saya tahu saya memang berpotensi dan berbakat dalam bidang ni lagipun..."
"Tapi, keputusan akademik awak biasa-biasa saja."
"Haha.. itu sebab pensyarah saya yang dulu bermasalah. Ah, encik tahukan pensyarah universiti saya yang bernama Takashi tu kononnya dia pernah digantung..."

Syarikat B:
"Awak cuma kerja di Syarikat PTP selama 3 bulan. Kenapa awak berhenti?"
"Oh.. orientasi pekerja baru kat situ memang pelik. Kami kena jalan itiklah, menyanyi lagulah.. macam budak-budak. Bos saya juga tak bagus..."

Syarikat C:
"Berapa gaji yang awak harapkan di syarikat kami?"
"Saya harapkan gaji yang agak tinggi yang sesuai dengan kelulusan saya sebagai graduan universiti."

Dan kesemuanya aku terima jawapan yang sama. 'KAMI TIDAK DAPAT MENERIMA PERMOHONAN ANDA.'

Kekecewaan aku akhirnya membawa aku ke hadapan pintu sebuah agensi mencari pekerjaan dan aku terasa dilayan bagaikan manusia yang tiada harapan oleh lelaki bernama Takato yang menjaga kaunter. 

"Encik Igarashi Yuuya, awak kena faham sesuatu. Awak cuma kerja selama 3 bulan dalam pekerjaan pertama awak, itu dah beri impresi yang tak bagus kepada bakal majikan. Awak perlu sekurang-kurangnya kerja selama setahun barulah boleh dikira sebagai pengalaman. Sekarang ni awak susah nak dapat kerja dalam bidang yang awak minta sebab benda nilah."

"Bukan salah aku, aku cuma kerja kat sana selama 3 bulan. Syarikat tu tak sesuai untuk aku..."

"Bukan semua orang boleh dapat apa yang dia nak, Encik Igarashi."

"Aku tahu tu. Tapi, aku dapat rasa mesti akan ada tempat lain yang akan pandang aku dan gunakan khidmat aku selayaknya."

Takato kedengaran mengeluh berat. Entah apa yang dikeluhkan, aku pun tak tahu tapi dia memandang aku sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. "Susah macam ni. Tapi, saya boleh tolong tengok-tengokkan kerja yang sesuai dengan permohonan dan kelayakan awak. Tapi saya tak pasti samada akan dapat tempat cepat atau tak."

"Tapi, aku perlu kerja segera." Ya! Sebab aku perlu bayar kepada ayahku yang berkira tu.

Takato memandangku sejenak sebelum membuka mulut. "Mungkin awak patut buat part time dulu."

Kerja separuh masa. Ya... kenapa aku tak terfikir? Tak apalah. Walaupun aku ni graduan universiti, tapi setakat kerja part time sebulan dua dulu rasanya tak ada masalah.

-bersambung-

*hikikomori - young adults who choose to isolate themselves from the society and refuse to leave their house exceeding 6 months.

Beginilah digambarkan life seorang hikikomori. Ada yang lebih ekstrem dan bilik yang lebih bersepah

Sunday, April 8, 2012

Launching of a new blog

Hai hai dan selamat malam,

Masih ingatkah anda pada drama 'The Twilight Zone' yang pernah ditayangkan kat TV dulu-dulu? Sukakah anda pada novel-novel karya Encik Stephen King yang terhormat? 

Kepada anda yang menggemari cerita-cerita berunsur misteri, paranormal, horror, thriller dan dark, dijemput berkunjung ke blog baru saya yang baru bukak malam ni. Masih belum ada cerita baru yang saya post di situ sebab blog tu masih dalam pembinaan. Hahaaa.... *ignore my language.

Tak tahu kenapa saya agak suka dengan cerita bertema camni skarang. Sebenarnya, saya memang suka cerita horror (walaupun sebenarnya tak berani nak tengok sorang-sorang). Jadi, selamat datang ke blog baru saya yang khusus untuk cerita bertema camtu and enjoy your chilly night.

:)

Klik di sini:

Sunday, March 25, 2012

Untukmu, kawanku



Aku duduk termanggu di satu sudut restoran sambil menongkat dagu di meja. Beberapa orang pelayan yang menghampiri mejaku untuk bertanyakan pesanan, segera ku tolak dan menyuruh mereka datang kemudian. Sebenarnya, aku malas benar mahu berfikir walaupun apa yang perlu aku lakukan hanyalah membaca menu di atas meja sahaja. Kelihatan pelayan-pelayan restoran telah mula mengerling ke arahku sambil berbisik-bisik sendiri. Mestilah mereka sedang berkira-kira hendak menghalau aku. Iyalah, aku kan pelanggan yang menyesakkan restoran tanpa memesan apa-apa.

“Cik, dagu awak tu boleh luka kalau asyik letak atas meja macam tu. Awak tak tahu ke yang meja di restoran bukannya bersih sangat. Tak takut kena jangkitan bakteria ke?” Tiba-tiba saja satu suara yang agak menjengkelkan berbunyi dan duduklah seorang lelaki berkulit agak cerah, berambut coklat, bermata coklat dan bertubuh agak tinggi di hadapanku.

Siapa lelaki penyibuk ni?

“Kau siapa? Kau nak apa?” Aku menyoal sebelum sendawa kuat. Urghh… kenapa suaraku kedengaran aneh? Dan boleh pula aku dengan selambanya sendawa di hadapan seorang lelaki asing begini? Kulihat lelaki di hadapanku itu mengerutkan keningnya sambil memalingkan wajahnya sedikit daripadaku.

“Cik, berapa botol alkohol awak minum, hah? Busuk betul. Cakap pun macam orang mabuk.”

“Suka hati akulah!” Aku mula naik darah melihat lelaki itu mula mengukir senyuman menyindir. Memanglah aku marah. Marah pada manusia di hadapanku yang seperti tidak memahami kedukaan hatiku ini.

“Masalahnya, awak tu dah menganggu restoran ayah saya ni. Restoran ni restoran keluarga, bukan tempat perempuan mabuk macam awak ni. Dah minum kat tempat lain, kenapa datang sini lagi?” Si lelaki itu juga mula meninggikan suara membuatkan aku terus mengangkat kepala menatap wajahnya yang sedang merenungku dengan pandangan mata yang agak meradang. Mungkin dia juga sudah hilang sabar denganku. Serta-merta tanpa diduga, kelenjar air mataku yang selama ini berfungsi menyimpan takungan air mata terus terbocor. Laju saja air mataku jatuh dan aku sendiri tersedu-sedan menahan esak tangisku yang telah lama ku tahan ini. Hari ini, air mataku ini gugur juga di hadapan seorang lelaki asing yang nampaknya kelihatan mulai panik kerana dia menyangkakan dia telah membuatkan seorang gadis menangis.

“Apa masalah awak ni? Menangis tak pasal-pasal. Semua orang dalam restoran pandang saya macamlah saya yang buat awak nangis.” Pujuk si lelaki yang telah menarik tanganku dan keluar ke pintu belakang restoran ayahnya itu. Dihulur sehelai sapu tangan yang disimpannya di dalam kocek seluar, lalu kucapai dan terus menghembuskan hidungku dengan kuat.

“Maaf.” Aku membalas sepatah sambil tunduk memandang kasutku di jalan. Bulan telahpun keluar dari sebalik awan dan cahayanya menyuluh ke bumi. Cantik betul bulan penuh malam ini.

“Cik, nama saya Akimoto. Awak boleh bercerita masalah awak pada saya kalau awak tak keberatan.” Dia memperkenalkan diri sambil mengukir senyum. Dihulurkan tangannya untuk bersalam, namun aku hanya membalas dengan merenyukkan sapu tangannya yang penuh dengan bendalir hidungku di tangannya. Dia membulatkan matanya dan memandang sapu tangan itu dengan geli namun aku tidak pula peduli.

“Sakura.” Balasku memberitahu nama pertamaku padanya. Aku menarik nafas sebelum kembali membuka mulut. “Hari ni, kawan baik aku kahwin dan aku tak pergi majlis perkahwinan dia tu.”

Akimoto memandang ke arahku lama sambil menghela nafasnya. “Biar saya teka, awak cintakan kawan baik awak dan awak tak pernah beritahu dia perasaan awak tu, kan? Lepas tu bila dia kahwin dengan perempuan lain, awak rasa sedih dan menyesal sampaikan awak tak sanggup nak tengok dia dengan perempuan tu. Betul tak?”

Aku memandang ke arahnya seraya mengukir senyuman nipis. “Kurang tepat tekaan kau tu, tapi lebih kuranglah. Memang aku cintakan kawan baik aku dan aku rasa sedih dia berkahwin tapi…”

“Tapi?”

“Kawan baik aku tu perempuan.” Aku menjawab perlahan hanya untuk melihat Akimoto merenungku seperti tidak percaya dengan mata yang terkebil-kebil menantikan penjelasan. Aku sekadar tersenyum hambar seraya mataku kembali merenung ke arah bulan di langit mengimbau kenanganku bersama kawan baikku itu, Mayu.

5 TAHUN LALU
Tahun 3 Sekolah Tinggi K

“Sakura, lepas sekolah nanti temankan aku beli CD di bandar. Boleh?” Mayu menepuk bahuku perlahan. Aku segera menoleh memandang ke arahnya yang sedang mengukir senyuman manis padaku. Rambut separas bahunya kelihatan berayun-ayun apabila dia berjalan. Senyuman manisnya itu menyerlahkan kecomelan wajahnya. Maka, tidak hairanlah Mayu sentiasa menjadi perhatian pelajar lelaki.

“Okey.” Aku membalas pendek sambil menyimpan kasutku di dalam loker dan memakai kasut khas sekolah. Tentulah aku tidak akan menghampakan permintaan kawan baikku sejak sekolah menengah rendah lagi itu. Tidak, sebenarnya semuanya adalah untuk aku sendiri. Aku hanya mahu menghabiskan masa bersama-sama dengannya, apatah lagi kami akan menamatkan pengajian sekolah dalam masa dua bulan lagi.

Aku sentiasa mencari peluang untuk bersama-sama dengan Mayu. Dari kelas, kelab dan kegemaran. Bagaikan ditentukan, kami memang mempunyai minat yang sama dan sentiasa mempunyai topik untuk dibualkan. Mayu memang gadis yang agak ceria dengan bibir yang tidak pernah lokek dengan senyuman. Manakala aku pula, mungkin boleh dikategorikan sebagai perempuan yang tampak serius sentiasa. Dengan mukaku yang jarang sekali tersenyum itu, aku tahu ramai yang mungkin tidak suka padaku. Namun bagiku, senyumanku hanya untuk Mayu. Mayulah segala-galanya bagiku.

“Kau tahu, budak kelas sebelah yang namanya Hirotaka tu cakap dia sukakan aku. Dia nak aku jadi girlfriend dia.” Ujarnya pada petang itu ketika kami bersama-sama berjalan memasuki sebuah kedai aksesori di bandar. CD lagu nyanyian kumpulan Flumpool telah dibeli oleh Mayu tadi dan dia berjanji akan meminjamkannya padaku.

Pantas aku menoleh memandangnya yang turut memandang ke arahku itu. “Betul ke? Apa kau jawab?” Aku menyoal kurang senang. Api cemburu mula membara di dalam diriku dan aku mulai terasa sengatan yang pedih di ulu hati.

“Sebab tu aku nak tanya pendapat kau.” Dia menyoal lagi dengan wajah yang serius.

Syukurlah Mayu masih belum memberikan jawapan. “Kau suka dia tak?” Aku menyoal cuba menyembunyikan keresahan diri dan hatiku mula mengukir senyum apabila dia pantas menggeleng. “Tak payah nak fikir pasal orang yang kau tak suka, Mayu. Tolak saja.” Sambungku lagi.

“Tapi… aku tak pernah sekali pun berpasangan. Sebelum habis belajar, aku teringin nak ada pengalaman sekali.” Katanya kelihatan sugul.

“Mayu, kalau kau terima mamat tu sebab kau cuma nak ada pengalaman bercinta tapi kau tak suka dekat dia, tak payahlah." Aku memprovok dalam diam sambil cuba mengawal riak wajah dan intonasi suaraku. Sekali-sekala aku merenung wajahnya yang sedang membalas renunganku itu. Wajahnya tidak tersenyum namun tidak pula terlalu sugul. Mungkin dia berharap aku akan memberi dorongan dan kata positif padanya, namun dia tidak tahu. Aku tidak mahu dia berpasangan dengan sesiapa pun.


Adakah aku terlalu possessive? Tidak, soalan yang lebih tepat ialah... adakah aku normal?


Tidak lama kemudian, dia mengangguk perlahan. "Yelah. Aku faham. Nanti aku cakap pelan-pelan dengan dia." Katanya seraya membuatkan senyuman lega terukir di bibirku.


Mayu, maafkan aku...


Ah... cuma sebulan lagi kami semua akan tamat belajar. Peperiksaan akhir semakin dekat. Guru kelas juga sudah mula menyuruh kami mengisi borang rancangan tamat sekolah dan perjumpaan guru dan ibu bapa pun sudah mula diadakan. Dari jauh aku sekadar merenung ibu bapa teman-teman sekelas yang hadir dan memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka. Dalam ramai-ramai itu, mataku menangkap wajah senyum Mayu yang sedang memimpin tangan ibunya di koridor untuk berjumpa dengan Cikgu Yasuoka, guru kelasku. 


Aku cemburu. Papa dan mama tidak akan hadir di perjumpaan itu. Malah sejak aku kecil lagi, tiada seorang pun akan hadir di sebarang aktiviti atau majlis di sekolahku. Tak kiralah samada aku mendapat tempat pertama di dalam kelas, ataupun aku memenangi hadiah utama dalam pertandingan piano, tiada sesiapa yang akan datang melihatku. Aku sentiasa berdiri keseorangan di tepi dewan sekadar melihat kawan-kawanku dipeluk oleh ibu bapa dan keluarga dan dihujani dengan ucapan tahniah. 


"Sakura!" Suara Mayu mengembalikan aku ke dunia realiti dan barulah kusedar yang dia sedang berdiri di hadapanku bersama ibunya. Aku tersenyum sedikit sambil melihat ibunya yang mengucup dahi Mayu dengan penuh rasa kasih sayang.


"Papa atau mama kau tak datang lagi?" Mayu menyoal sebaik sahaja ibunya berlalu.


"Emm.. Diorang sibuk." Kataku sambil menyelak rambut panjangku ke belakang telinga. "Apa kata cikgu dan mak kau? Diorang sokong ke niat kau nak belajar di kolej seni?"


"Mestilah. Hehee.. kau pun tahu aku cuma pandai melukis je. Jadi bidang seni memang paling sesuai untuk aku. Kau pulak? Nak teruskan dengan piano ke?"


"Aku pun cuma pandai main piano. Mungkin aku akan belajar di kolej muzik nanti."


Mayu tersenyum ceria. "Wahh... kalau kau terkenal nanti, bolehlah aku mengaku aku kawan baik kau."


"Mestilah. Tapi aku lebih suka kalau kita boleh belajar di tempat yang sama walaupun dah habis sekolah tinggi."


"Ya.. aku pun. Tapi, zaman sekarang ni dah canggih. Kau pergi mana-mana pun, aku tetap boleh cari kau. Kau pun boleh cari aku." Mayu membalas bersikap lebih positif. Mungkin baginya, itu bukanlah satu masalah yang besar. Namun bagi aku... aku merasakan kewujudannya semakin penting dalam hidupku. Aku yang selalu dipinggirkan ibu bapa dan kawan-kawan, namun dengan adanya Mayu, dia seperti cahaya dalam diriku.


"Ya. Betul tu." Kataku cuba tersenyum manis.


Aku cuba bersikap positif di hadapannya. Aku cuba mengawal raut wajah bila melihat dia berbual-bual dengan pelajar-pelajar lain, cuba mengawal kemarahan apabila dia bercakap tentang pelajar lelaki dan cuba mengawal riak wajahku apabila bersama dengannya. Aku sendiri tak pernah tahu samada dia menyedari perasaanku ini, tapi untuk aku mengakuinya tidak sekali-kali. 


Aku mesti belajar mengawal diri sebab aku tahu, jika dia tahu perasaanku dia akan lari. Tak mungkin dia masih akan berdiri di sebelahku sebagai status 'kawan' jika dia mengetahui aku menyimpan perasaan begini padanya. Sebab itulah aku mesti berhati-hati. Mengawal segala perlakuan dan pertuturanku. 


Hari yang dinanti-nanti oleh semua pelajar sudah tiba. Wajah riang pelajar-pelajar tahun akhir yang bakal menamatkan sekolah dan status pelajar sekolah tinggi kelihatan di sana-sini. Mayu juga tampak gembira dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Beberapa kali dia diajak untuk bergambar dengan pelajar-pelajar lain dan dia menerima dengan gembira. Terdetik sesuatu di fikiranku yang dia sebenarnya lebih gembira dengan orang lain berbanding dengan aku, budak yang sangat introvert ini.


Dari jauh dia memanggil namaku dan melambai-lambai menyuruhku menyertainya bergambar bersama-sama kawan-kawan lain. Hatiku sedikit berbunga apabila dia memberitahu yang dia tidak akan bergambar tanpa aku disisinya. Seperti biasa, dia melingkari lengannya di lenganku dan menarikku ke sebelahnya sambil membuat lambang 'peace' pada kamera. 


"Senyumlah, Sakura. Hari ni kan hari gembira kita." Katanya. Aku sekadar tersenyum sambil memandang Mayu disisiku dengan rasa sedih yang dibenam jauh ke dasar hati. Dan aku terus menyimpan perasaanku itu yang nampaknya masih mekar sehingga ke hari ini.




MASA SEKARANG


"Awak langsung tak pernah beritahu kawan awak tu pasal perasaan awak?" Akimoto yang sedari tadi sedang bersandar di dinding sambil berdiam diri mendengar kisah silamku mula bersuara. Aku mula berpusing memandangnya. Sejujurnya, aku sebenarnya terlupa akan kewujudan lelaki asing ini disebelahku. Aku cuma rasakan yang aku sedang bercerita kisahku pada diriku. Untuk pertama kalinya, mulutku ini begitu lancar bercerita kisah yang telah lama aku simpan ini, apatah lagi kepada seorang lelaki yang langsung tidak kukenali.


"Tak pernah." Aku menggeleng.


"Hari ni pun awak tak pergi majlis kahwin dia sebab awak masih cintakan dia?" Akimoto menyoal lagi. Dia menghela nafasnya kuat sebelum dia beranjak dari dinding dan merapatiku. Kedua-dua tangannya mencengkam bahuku dan menggoncang-goncangkan tubuhku seolah-olah hendak menyedarkan aku dari tidur. Aku sekadar merenungnya dengan penuh tanda tanya.


"Sekaranglah masa yang sesuai untuk awak bagitahu dia perasaan awak tu, cik Sakura!"


"Ehh..?" Aku pula yang terkejut. Betulkah apa yang aku dengar ni?


"Awak tahu kenapa orang luahkan perasaan pada orang yang dia suka walaupun dia tahu yang dia tak mungkin akan dapat orang tu? Sebabnya dengan luahkan apa yang awak rasa akan buatkan hati awak lebih tenang. Memanglah kita takkan dapat semua yang kita nak, tapi kalau awak terus simpan macam ni, awak juga yang sedih dan sakit hati."


"Tapi... kalau dia terus benci aku macam mana?" Aku ragu-ragu.


"Memanglah itu risikonya. Tapi inilah caranya untuk awak tahu dia tu ialah kawan yang macam mana. Kalau dia ialah kawan yang baik, dia takkan tinggalkan awak walau apa pun yang berlaku. Dia akan terima siapa awak dan diri awak seadanya. Itu baru namanya kawan."


Aku terkesima dengan mata yang terkebil-kebil. Lelaki di hadapanku ini sedang menyuruhku membuat perkara yang cuba aku elakkan sejak beberapa tahun lalu. Malah dengan penuh bersemangat sekali.


"Lepas aku beritahu dia, kemudian apa?" Aku menyoal masih tidak berpuas hati.


Akimoto mengukir senyum. "Lepas tu awak boleh tersenyum lega dan teruskan kehidupan awak. Mencari atau menunggu lelaki yang akan datang dalam hidup awak. Awak bukan jenis perempuan yang nak hidup 'songsang' kan?"


"Mestilah tak!" Aku membalas laju, memahami maksud kata-katanya itu. Lelaki ini memang luar biasa. Begitu mudah dia mempengaruhi diriki.


Sepuluh minit kemudian, aku sedang berbual dengan Mayu di telefon bimbit sambil mengucapkan tahniah di atas perkahwinannya dan memohon maaf kerana tidak hadir di majlis perkahwinannya itu. Tanpa disangka-sangka, dia menangis dan memarahiku kerana tidak hadir dan kata-katanya itu sudah cukup memberi aku kekuatan untuk memberitahu segala-galanya dengan jujur.


Mayu terdiam sejenak di telefon sebelum dia mula membuka mulut semula. "Sakura, sebenarnya aku dah tahu dari dulu. Tapi kau tak pernah beritahu aku apa-apa, jadi aku tak pernah tanya sebab aku takut juga aku tersilap."


"Kau tahu?" Aku sedikit terkejut dengan wajah yang merah.


"Ya. Aku boleh nampaklah kat muka kau tu. Kawan aku yang pendiam ni tiba-tiba jadi possessive dan kadang-kadang kau terlalu baik dengan aku. Kau memang tak pandai menipu, Sakura." Dia membalas diikuti dengan gelak tawa kecil yang membuatkan aku semakin malu.


"Kau rimaskah dulu?" 


"Taklah. You're my friend and you will always be my friend tak kira apa yang berlaku. Aku gembira kau dah cakap benda ni pada aku sebab aku dapat rasa kau terbeban sejak dulu lagi. "


Tiada apa yang boleh aku katakan selain dari mengeluh lega. Kata-kata itu sudah cukup membuatkan aku lega seperti melepaskan bebanan yang berat di hati aku ini. Kepalaku juga semakin lapang dan aku tahu pengaruh alkohol juga semakin menghilang. Air mata semakin merembes keluar dari pipi perlahan-lahan.


"Sakura, kau akan doakan aku bahagia kan?" Dia menyoal lagi.


"Emm.. mestilah. Kau pun mesti buat macam tu juga untuk aku." Aku mengesat air mata sambil tersenyum. Telefonku semakin erat kugenggam.


"Ya. Kau mesti akan dapat jumpa lelaki yang baik nanti. Aku yakin." Jawabnya.


Senyumanku kian melebar dan pada masa yang sama, mataku terpandang Akimoto yang sedang memerhatikanku sambil tersenyum. Ketika itu seperti magis, aku tahu yang lelaki di hadapanku ini mempunyai 'sesuatu' tentangnya yang ingin aku tahu dan miliki, namun itu adalah kisahku yang lain kerana kisahku yang ini hanyalah kisah aku dan Mayu. 


And now I know that you are always worthy for me and I never regret that I had fallen for you, my friend!


ps: mungkin ada sesetengah anggap cerpen kali ni ada berunsur the L word sikit, tapi main point cerpen ni ialah love can happen to everyone towards anyone at anytime. So learn to cherish it wisely. =)

Tuesday, February 28, 2012

Serpihan masa kita (cerpen)


Cover design : Okie


3915 A.D

Basch mendongak merenung jauh ke arah langit yang kelihatan oren kemerahan seperti warna rekahan senja itu. Angin pagi itu terasa kering dan dingin. Entah berapa lama lagi masa yang tinggal untuk mereka tinggal di planet itu. Lapisan atmosfera kian menipis dan kubah halimunan lindungan planet yang membekalkan oksigen dan menjana graviti di planet Newarky itu akan pecah bila-bila masa saja. Ketulan-ketulan astroid, meteoroid, komet-komet dan nebula yang melintas mungkin boleh menghakis kubah halimunan itu. Dan Basch tahu, pihak kerajaan semakin sibuk menghantar anak-anak muda ke angkasa lepas bagi menjelajah planet-planet lain yang berpotensi untuk menjadi habitasi manusia sejak bumi musnah dihentam komet lebih 500 tahun lalu. Kini, manusia bagaikan hidup secara nomad dan sering berpindah randah ke planet-planet lain yang sesuai dihuni setelah melalui proses pengubahsuaian lapisan ozon dan daratannya sejak berabad-abad lalu.

Basch mengeluh berat.

"Basch!" Telinganya menangkap satu suara nyaring seorang gadis di belakangnya. Dia menoleh dan terpandang Helena, rakan sepermainannya sejak di tadika yang sedang berlari-lari anak sambil melambai-lambai. Gadis berambut pendek separas bahu itu tersenyum riang. Terus Helena menumbuk bahu Basch sebaik sahaja dia tiba di sisi lelaki itu.

"Sakitlah bodoh!" Basch naik marah namun tidak membalas tumbukan gadis berbadan kecil itu. 

Helena sekadar tertawa. "Kerja sekolah kau dah siap? Puan Joanne akan mengamuk kalau kau asyik nak tiru kerja aku."

"Dah." Basch membalas ringkas. Kakinya terus melangkah menuju ke perkarangan sekolah yang terletak hanya beberapa ratus meter sahaja itu. Dia tidak sanggup hendak memandang wajah Helena. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu gadis itu. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghadapi reaksi Helena bila dia tahu.

"Kenapa kau ni? Macam tak semangat je." Soal Helena sambil berjalan di sisi kawan baiknya itu.

"Tak ada apa-apa. Hei Elle, kau rasa berapa lama lagi planet kita akan bertahan?" Basch menyoal menyebut nama timangan sahabat karibnya itu.

Kening Helena berkerut dan dia merenung Basch dengan hairan. "Kenapa kau tanya benda ni tiba-tiba? Janganlah risau. Kubah halimunan kita kuat dan mungkin akan bertahan 100 tahun lagi. Kalau nak jadi apa-apa pun, kita mesti akan mati dulu." Gadis itu ketawa sambil mendongak memandang langit merah di atasnya. Kelihatan beberapa astroid dan batuan angkasa seperti hendak jatuh ke arah mereka namun kembali terlantun ke angkasa setelah berlanggar dengan dinding kubah halimunan yang melitupi seluruh planet Newarky itu.

Basch terdiam.

"Basch, pasukan softball perempuan sekolah kita berjaya masuk final tau. Kau akan datang tengok kami main, kan?" Soal Helena.

"Bila?"

"Bulan depan."

Langkah kaki Basch terhenti dan Helena yang berjalan di belakangnya terus terlanggarnya.

"Kenapa berhenti tiba-tiba?" Helena menyoal sambil menggosok-gosok hidungnya itu.

"Elle, kalau aku tak ada, kau akan rasa sedih tak?"

"Hah? Apa kau merepek ni?"

"Aku tanya ni kau jawab jelah."

Helena terdiam sejenak sebelum meledak ketawa. "Kau nak pergi mana weh? Nak pergi camping 3 hari pun dah merungut macam-macam. Kau takkan boleh survive pergi jauh-jauh dari tempat ni."

"Helena Swank!" Basch menyebut nama penuh gadis itu dengan suara yang ditekankan. Dia benar-benar serius kali ini. Basch tahu walaupun dia ialah seorang lelaki, namun dirinya tidak sekuat Helena. Helena gadis periang, pandai bersukan, bijak dan tegas. Manakala dia pula si lelaki biasa yang pendiam dan malas hendak bercakap walaupun dia selalu digelar genius sekolah. Entah bagaimana persahabatan mereka dapat bertahan sejak dari tadika dulu sedangkan sejak kecil, Helenalah yang selalu melindunginya apabila dibuli dan apabila dia selalu digelar budak 'nerd' atau 'si pondan'.

Helena tersentak. "Kenapa kau  hari ni, Basch?"

"Aku... aku akan pergi jauh dari sini. Dari Newarky." 

"Apa maksud kau?"

"Aku terpilih, Elle. Program menjelajah angkasa lepas untuk penduduk Newarky bawah 25 tahun tu. Aku sebagai calon termuda."

Helena terdiam. Dirasakan darah panas menyimbah tepat ke wajahnya sambil dia berdoa semoga apa yang didengarinya itu sekadar gurauan  semata-mata. "Takkanlah..."

"Betul. Tengok surat ni. Semalam Majlis Tertinggi Projek Angkasa hantar surat pada aku dan aku perlu menjalani latihan. Kau pun tahu kan, apa maksudnya? Aku takkan boleh balik selagi tak jumpa planet lain yang sesuai..."

"Nanti dulu! Maksudnya, planet kita dah tak sesuai untuk hidupan bumi?"

Basch mengangguk. "Kau cubalah tengok. Kubah kita makin menipis dan tak mustahil akan pecah tak lama lagi. Sekarang, pihak jurutera kerajaan dah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. Mereka cuma tak bagitahu penduduk awam macam kita ni sebab tak mahu kita semua panik. Mereka tak mahu kita merusuh. Kapal angkasa kita tak akan cukup untuk menampung kesemua penduduk Newarky. Penduduk-penduduk kelas bawah akan terpinggir dan mati di planet ni nanti."

Helena berundur setapak dengan wajah yang gerun. "Basch, kau terlalu banyak berfikir..."

"Elle, hakikatnya aku akan pergi. Demi semua orang, aku mesti berkhidmat dengan kerajaan untuk cari planet baru. Demi kau juga."

"Bila kau nak pergi?" Helena menyoal perlahan.

"Latihan aku mula minggu depan. Lepas tu mereka akan mula hantar kami ke Stesen Angkasa kita secara berperingkat di orbit Fasa Pertama untuk latihan susulan. Dan lepas tu, barulah ekspedisi menjelajah bermula." Basch menjawab dengan wajah yang sugul.

Helena mengetap bibirnya dengan wajah yang sugul.

"Elle, aku janji aku akan cari planet baru dan pulang cepat-cepat. Lepas jumpa, pihak kerajaan dah berjanji akan masukkan kami dan keluarga dalam senarai pertama penumpang kapal angkasa ke planet baru kita. Masa tu, aku akan bawa kau sekali. Aku janji aku takkan tinggalkan kau."

Suara dalam Basch benar-benar membuatkan hati Helena sebak. Lelaki itu seperti sedang mengucapkan selamat tinggal kepadanya dan dia sedar yang dia masih belum bersedia untuk itu. "Basch, di orbit kita masih boleh berhubung kan? Maksud aku menggunakan radio atau gelombang elektromagnet. Ah, mungkin kita masih boleh menghantar SMS kan?"

Basch mengukir senyuman tawar. "Ya. Aku akan hantar SMS pada kau hari-hari. Kau pun mesti balas hari-hari juga tau."

Helena mengangguk seraya tersenyum.


BEBERAPA MINGGU KEMUDIAN


+ Basch, esok kelas kita ada ujian kalkulus. Kau tak ada, siapa nak ajar aku?
- Belajarlah sendiri. Kalkulus tu macam kacang goreng jelah. Hahaha
+ Janganlah nak bandingkan otak genius kau tu dengan aku!
- Hahaha. Hari ni kami buat latihan apungan. Kau tau tak air minum aku tertumpah tapi sebab takde graviti, air aku terapung di udara. Kapten aku paksa aku sedut air tu sampai habis. Nasib baik tak termasuk dalam hidung aku.
+ Hahaaa.. mesti seronokkan boleh terapung?
- Hemm. Tapi dapat jalan atas darat dengan kau lagi seronok. =P


Helena tersenyum-senyum simpul membaca mesej-mesej yang diterima beberapa minit lalu. Sejak pemergian Basch ke orbit Fasa Pertama untuk latihan susulan, mereka selalu berbalas SMS. Dari aktiviti sekolah hinggalah di rumah, semuanya akan diceritakan satu persatu. Semuanya kecuali satu iaitu perasaan sebenarnya kepada Basch.

Telefon bimbit pada tahun 3000 itu semakin canggih. Alat komunikasi, cip pengenalan diri dan alat hiburan digabungkan sebagai satu device dan dipakaikan di lengan seperti jam tangan. Dengan hanya menekan beberapa butang, device itu akan bertindak seperti projektor dan membentuk skrin maya di udara. Jika ingin bercakap telefon, mereka hanya perlu memakai earphone di telinga yang dilengkap dengan peranti mikrofon. Setiap device juga dilengkapi dengan cip pengenalan diri yang membolehkan mereka mempunyai akses terhadap pengangkutan awam dan tempat-tempat awam.

Hari ini sudah genap 3 minggu Basch mengikuti latihan angkasa itu. Tidak lama lagi dia pasti akan dihantar jauh dari Fasa Pertama untuk mula menjejak planet-planet baru. Menurut Basch, dia sedang dilatih mengendalikan robot-robot gergasi yang setiap satunya diberi nama bandar-bandar besar di bumi sebelum ia musnah dahulu. Basch sendiri sudah mahir mengendalikan sebuah robot yang diberi nama Seoul, iaitu nama ibu negara sebuah negara di bumi iaitu Republik Korea Selatan. Basch pernah berkata yang nama-nama itu kedengaran sangat ironik kerana kerajaan seolah-olah mahu mereka tetap mengingati planet biru itu meskipun ia telah musnah lama dulu.


- Elle, aku dah berjaya kendali Seoul dengan baik. Sekarang aku dah naik pangkat dan boleh jadi pilot. Bangga tak dengan aku?
+ Iyelah tu...
- Wei, balaslah panjang sikit. Kau pun tahu makin jauh aku dari Newarky, makin lambat mesej aku sampai pada kau. Aku kena tunggu 2 jam tau untuk mesej pendek kau tu!!


Helena mengeluh kerana dia mula sedar. Sejak Basch dibawa ke orbit, mesej yang selalunya dibalas dalam masa dua minit menjadi semakin lambat. Jarak yang semakin menjauh menyebabkan gelombang elektromagnet semakin lambat menghantar mesej-mesej SMS mereka dan dia semakin terseksa menanti SMS balasan dari lelaki itu. Helena kian risau.

- Minggu depan aku dah nak berlepas. Janji kau mesti tunggu aku balik, Elle.
+ Iyalah. Mestilah aku tunggu kau. Aku bukannya nak pergi mana-mana. Kau tu yang mungkin akan lupakan aku. Manalah tahu jumpa makhluk asing comel-comel yang boleh dibuat kawan gantikan aku.
- Hahahaaa... tapi aku takkan ada kawan perempuan yang terlebih aktif dan kuat macam kau ni. Kau patut jadi lebih feminin, Elle.
+ Bodohlah kau ni, Basch!!! Bila kau balik nanti, kau akan terkejut dengan perubahan aku.
- Aku sukakan kau sebagai kau, Elle. Just be yourself  :-)


Helena mengukir senyum. "Aku sukakan kau jugak, Basch." Dia berbisik tanpa dizahirkan.


*****


"Lefternan Muda Basch Newton, awak hebat macam biasa. Kalau tak ada awak, kapal induk kita mungkin akan terlanggar batuan angkasa." Bahu Basch ditepuk seorang lelaki dewasa yang sedang mengukir senyuman. Baru sebentar tadi, dia mempertaruhkan nyawanya mengendalikan Seoul dan menahan dua batuan angkasa dari berlanggar dengan kapal induk mereka yang diberi nama 'Washington' itu. Kapal sebesar planet Marikh itu lengkap seperti sebuah bandar kecil yang menempatkan para juruterbang, anak-anak kapal, jurutera-jurutera planet Newarky dan mempunyai bekalan yang cukup dalam ekspidisi penjelajahan angkasa itu.

"Terima kasih tuan." Basch tersenyum dan memberi tabik hormat. Sejurus kemudian, dia berjalan ke arah biliknya yang terletak di tingkat dua. Sempat dia merenung ke luar tingkap hanya untuk melihat kegelapan angkasa tanpa secalit cahaya itu. Mereka semakin menjauh dari Newarky malah dari galaksi Utras yang menempatkan planet mereka itu. Dia mula mengeluarkan telefon bimbitnya yang disimpan di dalam kocek seluar dan terus disarung di lengan seperti memakai jam tangan. Mereka tidak dibenarkan memakainya ketika sedang mengendalikan robot.

Hatinya mengeluh melihat ruang inbox yang tidak berisi pesanan baru itu. Sudah 3 hari SMSnya kepada Helena tidak berbalas. Dia tahu yang ruang masa mereka semakin menjauh dan semua pesanan melalui gelombang elektromagnet akan semakin lewat sampai. Namun dia tidak dapat mengelak daripada merasa tidak senang. Dia sentiasa berfikir apakah yang sedang dilakukan Helena ketika itu. Dengan siapakah dia berkawan. Atau mungkinkah Helena telah berpacaran. Ah.. dia tidak sanggup mengetahuinya. Hakikatnya, dia amat menyukai kawan baiknya itu. Namun untuk meluahkan perasaan, dia tidak berani.

Bunyi SMS masuk mengejutkannya lalu pantas dia menekan butang menerima. Visual maya mula terbit di udara dan senyuman Basch mula lebar terukir apabila terbaca mesej dari Helena yang dikirim beberapa hari lalu itu.

+ Basch, pasukan softball sekolah kita menang. Sayangnya kau tak dapat tengok aku beraksi. Siap boleh buat pukulan home run lagi. Kagum tak dengan aku? =D
 Basch, kau tak ada.. aku rasa tak seronok. Bila kau nak balik? Peperiksaan akhir dah nak dekat. Cikgu dah mula tanya apa kita nak buat lepas tamat sekolah tinggi. Aku cadang nak masuk universiti dalam bidang kejuruteraan. Mungkin tak sehebat kau, tapi aku akan cuba sedaya upaya untuk jadi setanding dengan kau.
Hahaa.. panjang kan SMS aku? Sebab aku tahu aku akan dapat balasannya dalam dua tiga hari lagi. Jaga diri ya, Basch.


Basch hampir mengesat air matanya apabila membaca SMS yang panjang lebar itu. Dia tahu yang Helena juga telah menyedari perubahan jarak dan masa di antara mereka, sebab itulah dia sengaja mengirimkan mesej yang panjang. Tanpa disedari, masa semakin cepat berlalu. Antara sedar atau tidak sudah hampir dua bulan dia berada di angkasa lepas dan hampir menjadi salah seorang top pilot di situ. Peperiksaan akhir semakin menjelang dan mereka semua akan tamat pengajian tidak lama lagi. Betapa cepatnya masa berlalu... namun semakin lambat pula mesej-mesej akan sampai kepada mereka. Perlahan-lahan dia menekan panel untuk membalas dan mula menekan huruf-huruf di skrin maya di hadapannya.

- Hari ni aku dan Seoul selamatkan kapal induk kami dari dilanggar batuan angkasa. Aku rasa kalau aku terus buat benda-benda camni, aku akan jadi hero dan naik pangkat dengan mudah. Hahaa... tak payah senyum-senyum. Aku tahu kau bangga dengan aku kan?
Elle, aku rindukan sekolah kita. Aku rindukan kehidupan dan keluarga aku di Newarky. Aku rindukan kau juga. Tak tahu bila aku boleh balik. Tapi aku memang nak balik. Setiap saat aku cuma nampak kau je. Kenapa ya? Besar sangatkah pengaruh kau dalam hidup aku? Aku harap aku dapat bersama dengan kau pada hari graduation nanti. Mungkin aku terpaksa ulang tahun 3 tapi tak kisahlah. Asalkan aku boleh balik.
Tapi Elle, aku risau. Macam mana kalau planet yang kami cari tu tak ada. Macam mana kalau tak pernah wujud planet sebagus Newarky untuk jadi tempat tinggal kita semua lepas ni? Mungkin ke aku takkan dapat balik lagi?
Kau pun jaga diri.


*****

Basch termenung sendirian melihat kalendar di dalam biliknya. Hari itu ialah hari graduasi mereka sebagai pelajar sekolah tinggi. Janjinya pada Helena tidak dapat dikota dan dia sendiri telah menghantar SMS mengucapkan tahniah seminggu yang lalu.

"Basch, kau dah dengar berita? Kapal kita akan melencong dari laluan asal sebab mereka dapat kesan sebuah planet yang sebiji macam bumi. Agak jauh tapi mungkin berbaloi kalau kita betul-betul jumpa planet yang 99.9% macam planet bumi tu." Kata-kata seorang rakan kepadanya beberapa hari lalu membuatkan Basch semakin sakit kepala. Kerajaan Newarky tidak akan mengabaikan sebarang penemuan yang berpotensi walaupun perjalanan mereka akan menjadi semakin sulit dan jauh.

Hampir sebulan dia tidak menerima sebarang jawapan balas dari Helena. Entah masih dalam perjalanankah SMS itu ataupun adakah Helena telah melupakannya? Hubungan yang terjalin sejak dari tadika itu mungkinkah telah terputus disebabkan jarak beribu-ribu batu cahaya ini? Hanya disebabkan mesej yang semakin lambat tiba, hati Basch semakin runsing. Adakah benar Helena masih menunggunya?

"Kita semua bertaruh untuk planet ni. Ini mungkin peluang terakhir kita untuk terus mengekalkan bangsa manusia di dunia ni sebab tu kita mesti juga cari planet yang sesuai untuk generasi-generasi kita masa depan. Kita semua akan dijulang sebagai wira. Awak dah bersediakah, Lefternan Muda Basch Newton?" Soal salah seorang atasan Basch pada hari mereka mula menukar laluan menuju ke planet yang kelihatan seperti planet bumi itu.

"Ya." Dia mengangguk sambil menggenggam erat device telefon bimbitnya. Baru sebentar tadi dia menghantar SMS kepada Helena memberitahu gadis itu yang segala perancangan telah diubah dan dia mungkin tidak akan pulang dalam masa yang terdekat.

****

3921 A.D

Helena menyisir rambutnya yang telah tumbuh panjang mengurai itu. Dia sengaja menyimpan rambutnya sejak 6 tahun lalu sejak hari Basch berangkat ke orbit Fasa Pertama lagi. Dia bernekad ingin melihat senyuman lelaki itu kerana telah berulang kali Basch memberitahunya yang dia ingin sekali melihat Helena berambut panjang.

Namun, Helena tahu yang walaupun Basch akan pulang, semuanya sudah tidak seperti dulu lagi. Dia tidak lagi dapat menanti Basch seperti dulu kerana keadaan telahpun berubah. Bukannya dia berubah hati, namun dia semakin tidak pasti. Keadaan semakin berubah. SMS yang diterima begitu lewat begitu juga SMS yang dihantarnya kepada lelaki itu. Kadang-kadang dirasakan seperti mesej-mesej yang dihantarnya tidak lagi dapat diterima lelaki itu.

"Mama..." seorang budak lelaki berusia hampir 3 tahun menarik-narik hujung baju Helena sambil ketawa kecil.

"Ya, sayang." Helena tunduk dan mula mendukung si kecil itu sambil tersenyum. Dia mengusap rambut hitam budak lelaki itu dan membawanya ke ruang tamu sebelum menghidupkan televisyen menggunakan arahan suara. Terpampang wajah seorang perempuan pembaca berita di televisyen.

"Kapal angkasa 'Washington' yang membawa ratusan penduduk terpilih Newarky dalam misi menjejak angkasa lepas pada tahun 3915 telah selamat tiba di orbit Fasa Pertama pada jam 0900 hari ini. Menurut laporan, mereka telah berjaya menemui sebuah planet baru yang terletak di sebuah galaksi yang masih belum pernah dijelajah oleh manusia. Ahli Astronomi kini menamakan galaksi tersebut sebagai Galaksi Nevada dan planet tersebut akan dikunjungi semula oleh para jurutera dan saintis Newarky untuk proses pembaharuan. Menurut jangkaan kerajaan, berjuta-juta Dolar akan dibelanjakan untuk projek pemulihan dan pengubahsuaian daratan dan lapisan ozon dan dijangka akan mula dihuni manusia 20 tahun akan datang. Mereka yang tiba dijangka akan pulang ke Newarky pada jam 2100 hari ini juga dan ahli keluarga diminta menunggu ketibaan mereka di gerbang 1 dan 3. Sementara itu, nama-nama mereka yang terkorban dalam misi ini akan dipaparkan dan mereka pasti akan terus diingati kita sebagai wira."


1. Anthony Roux
2. Rex Walchinsky
3. Basch Newton
4. ...
....
....

Dan air mata Helena terus mengalir laju membaca nama Basch di dalam senarai itu di televisyen.

"Kenapa mama menangis?" Soal si kecil dalam dukungannya.

Bunyi mesej kedengaran dari telefon bimbit Helena lalu lambat-lambat dia menekan punat buka. Matanya membesar memandang nama Basch Newton dan perlahan-lahan dia mula membaca mesej panjang lebar itu.

- Hai Elle. Tahniah sebab dah graduate. Aku tak tahu bila mesej ni akan sampai pada kau tapi aku tahu kau mesti akan berjaya graduate dengan cemerlang. Maaflah aku tak dapat balik dan tamat sekolah sama-sama. Aku ni kawan yang teruk kan? Tapi, aku memang risaukan kau. Manalah tau, kau tak boleh hidup kalau aku tak ada. Hahaa..
Elle, laluan asal kami akan berubah. Kami dah jumpa sebuah planet yang hampir mirip dengan planet bumi dan kami dalam perjalanan nak ke sana. Agak jauh tapi kami yakin yang kami tak silap. Perjalanan ni sangat berisiko tapi aku yakin yang kami pasti dah jumpa apa yang dicari. Semuanya untuk terus mengekalkan bangsa manusia di dunia ni. Kami makin hampir dan untuk pengetahuan kau, aku memang dah naik pangkat tau.
Elle, aku tak tahu samada aku akan pulang dengan selamat atau tak. Aku tahu aku tak patut cakap macam ni tapi, tak tahu kenapa aku selalu teringatkan kau. Teringatkan masa-masa kita bersama  dan aku selalu berangan masa-masa yang kita akan lalui sama-sama nanti.
Mungkin kau rasa mesej ni jiwang karat untuk seorang kawan, tapi aku nak beritahu satu benda pada kau Elle. Aku cintakan kau sejak dulu lagi. 
I love you.
Kalaupun kau tak dapat tunggu aku, aku cuma nak kau yakin yang perasaan aku takkan berubah sampailah aku mati. Aku harap kau akan teruskan kehidupan kau.
=)

Dalam tangisan, Helena tersenyum. Sekarang, dia benar-benar yakin. Namun, ianya hanyalah sekadar sebuah pengakuan yang terlambat.

"Kenapa mama nangis?" Si kecil bertanya lagi.

Helena tersenyum sambil menggeleng. "Tak ada apa-apa, Basch. Mama cuma teringat seorang kawan lama." Dia mengusap dahi si kecil yang turut diberi nama Basch itu.

"I love you too, Basch. Jangan risaukan aku sebab aku hidup baik-baik saja." Bisik Helena sendiri.

(tamat)

ps: terima kasih kpd cik Okie yang sudi mendesign cover yang cantik kat atas ni. Selamat membaca dan sila-silalah komen cerpen pendek merapu ni. Diinspirasi dari anime Jepun bertajuk Hoshi no Koe.