Sunday, May 29, 2011

[CPoA] 5 : The misunderstanding



Shun memasang ipodnya dan memakai headphone birunya di telinga. Lagu kegemarannya dipasang kuat memenuhi telinganya namun dia masih memastikan yang dia dapat mendengar bunyi-bunyi di sekeliling. Shun bersandar di dinding sambil menanti ketibaan tren yang selalunya tiba tepat pada masanya, namun pada hari itu, pengumuman telah dibuat yang tren akan tiba lewat dari jadual yang ditetapkan. Shun menarik nafas panjang. Mujurlah dia tidak mengejar masa.

"Habislah kita Sophie. Kalau terlambat, Encik Hoe akan marah kita. Kenapalah dia rajin sangat nak buat kelas tambahan waktu hujung minggu ni?" Telinga Shun dapat menangkap perbualan seorang gadis yang berdiri berhampirannya. Shun memandang ke arah gadis itu yang sedang bercakap dengan seorang lagi gadis lain bernama Sophie yang membelakanginya. 

"Relakslah, Tara. Takkanlah dia nak halau kita pulak? Lagipun tren ni yang lambat. bukannya kita." Sophie membalas sambil memandang ke arah landasan tren sekilas. Shun turut memandang ke arah gadis itu dari sisi. Seorang gadis berambut pendek paras bahu, memakai t-shirt yang ditutup dengan sehelai sweater dan seluar tiga suku bersama sepasang kasut sukan. 

Shun tersenyum menyindir. Gaya yang langsung tak feminin. Dia berfikir sebelum mengalihkan pandangan ke arah Tara pula yang kelihatan lebih manis dengan sehelai kemeja merah jambu muda dipadankan dengan skirt pendek dan kasut bertumit. Cantik si Tara ni. Fikir Shun lagi. Dari perbualan mereka, Shun dapat mengagak yang mereka ialah pelajar.

Tara yang pada ketika itu secara tidak sengaja terpandang wajah Shun kelihatan terpaku. Senyuman yang terukir di bibir Shun nampaknya begitu manis dan memikat walaupun hakikatnya, Shun sedang tersenyum menyindir kepada Sophie. Shun pula sengaja tersenyum kepada Tara apabila menyedari dirinya sedang diperhatikan. Tara tertunduk malu.

"Kau apahal sengih-sengih ni?" Sophie menyoal Tara kehairanan.

"Shhh... kalau aku cakap kau jangan toleh tau. Aku rasa lelaki kat belakang kau tu tengah pandang kita." Balas Tara menyebabkan Sophie berpusing mencari-cari lelaki yang dimaksudkan. Matanya bertembung dengan pandangan mata Shun dan mereka bertentangan mata selama beberapa saat sebelum dia mula memandang Tara semula yang jelasnya nampak bengang kerana Sophie mengabaikan kata-katanya.

"Pedulikan orang macam tu. Entah perogol bersiri ke apa, kita tak tahu." Kata Sophie acuh tak acuh.

Shun yang sememangnya sedang memasang telinga, mengetap bibirnya geram. "Perogol bersiri? Kurang ajar betul perempuan ni. Muka aku ni nampak macam orang jahat ke?" Dia menyumpah perlahan.

Namun ternyata Tara masih tidak dapat melarikan pandangannya daripada Shun. Dia masih mencuri-curi pandang Shun sambil tersenyum-senyum simpul. Sophie yang pada ketika itu sedang bercerita tentang sesuatu langsung tidak dipedulikannya.

"Kau dengar tak aku cakap ni, Tara?" Sophie membentak kasar menyebabkan Tara tersentak. Dia mulai hendak naik angin melihat ulah kawannya itu. Tara sedikit terpinga-pinga namun dia hanya mengangguk. 

Keretapi akhirnya tiba di platform. Penumpang-penumpang yang semakin memenuhi stesen mula berpusu-pusu masuk ke dalam tren dan saling bertolak-tolakan sesama sendiri. Tara dan Sophie turut tersepit di tengah-tengah sambil mengaduh sakit apabila mereka ditolak dan kaki mereka dipijak.

Sophie cuba menjengah ke hadapan. Tidak kira apa yang berlaku, dia mesti menaiki tren itu untuk ke kelas tambahan. Mereka sudah terlewat benar. Dia mengalihkan pandangannya memandang wajah Tara yang berkerut dan kelihatan pucat secara tiba-tiba itu. "Kau kenapa? Pening ke?" Sophie menyoal mengambil berat. Namun Tara hanya mendiamkan diri. Wajahnya semakin pucat menandakan dia seperti sedang menahan sesuatu yang kurang menyenangkan.

Sophie mulai rasa tidak sedap hati. Dia memandang lelaki di belakang Tara dengan pandangan tajam. "Kurang ajar! Berani kau mencabul perempuan." Sophie menjerit kuat lalu merentap lengan lelaki itu. Shun terperanjat besar hinggakan headphonenya terjatuh dari kepala dan ipodnya juga terjatuh di lantai.

"Ipod aku!" Shun menjerit cuba mengutipnya sebelum menjadi bahan pijakan penumpang-penumpang lain. Namun, dia tidak berupaya untuk tunduk kerana lengannya dicekak kemas oleh Sophie. Dia memandang gadis itu dengan wajah yang pelik dan tidak senang. "Kau ni kenapa?" Shun menyoal kasar.

"Pencabul! Tangkap dia!" Sophie menjerit kuat hinggakan semua mata di hadapan tren itu memandangnya dan Shun. 

"Eh? Apa ni?" Shun mulai panik cuba melepaskan lengannya dari cengkaman Sophie. Beberapa orang lelaki di sekeliling mereka mulai menolak Shun hinggakan dia terkeluar dari kerumunan orang ramai di pintu tren. Tubuh Shun ditolak hingga ke dinding dan beberapa orang memegang lengannya. "Hei, lepaskan aku. Aku bukan pencabul."

"Cepat panggil pengawal stesen dan bawa orang ni ke balai polis." Salah seorang lelaki itu berkata dan pada ketika itu muncul seorang lelaki berpakaian seperti pengawal menghampiri Shun lalu memulas tangannya ke belakang. 

"Siapa mangsa dia? Tolong tunggu sekejap. Kamu perlu buat laporan pada polis." Pengawal itu bersuara kuat memaksa Sophie dan Tara turut menunggu di stesen walaupun keretapi itu sudah mulai memecut pergi. Shun memandang ipodnya yang secara tidak sengaja dipijak dan ditendang orang ramai hingga jatuh ke landasan dengan sayu.

"Ipod aku." Dia berbisik.

Shun dibawa ke pondok polis berhampiran yang terletak di dalam stesen keretapi. Dia dibiarkan duduk di kerusi sementara seorang polis wanita mengambil keterangan dari Tara dan Sophie. Shun menjeling-jeling ke arah kedua-dua orang gadis itu dengan tajam.

"Aku dah cakap aku bukan pencabul! Mana keadilan untuk aku? Kenapa percaya perempuan terencat ni pulak?" Shun membentak. Polis perempuan itu merenung Shun dengan tajam menyuruhnya diam dan kemudian kembali memandang Tara dengan pandangan simpati.

Sophie menjeling Shun dengan tajam. "Dah buat, tak mahu mengaku pulak. Orang muka macam ni memang tak boleh percaya."

Shun menjegilkan matanya. Apa kena-mengena dengan muka aku pulak?

Shun dibenarkan untuk menelefon seseorang dan dia memilih untuk menelefon Zarique yang pada ketika itu sedang menikmati sarapan pagi di rumahnya. Sememangnya hari itu, kafe mereka tidak beroperasi pada waktu pagi kerana masing-masing mempunyai hal sendiri pada pagi itu.

Shun menarik nafas lega melihat bosnya muncul di stesen namun dia tertunduk apabila Zarique memandangnya tajam dengan pandangan membunuhnya. Habislah aku kalau Zarique mengamuk. Mesti dia kata aku menyusahkan dia pagi-pagi ni.

"Encik ni siapa?" Polis wanita itu menyoal Zarique.

"Saya bos di tempat dia bekerja. Saya minta maaf di atas kesulitan yang cik berdua hadapi." Balas Zarique sambil tunduk sedikit menentang wajah Sophie dan Tara. Shun membulatkan amta memandang Zarique seperti tidak percaya.

"Bos, saya tak buat pun. Kenapa nak minta maaf?" Shun berkata. Hanya dia seorang sahaja yang menggelarkan Zarique dengan panggilan bos.

"Diam!" Bentak Zarique sambil menampar kepala Shun. Terkedu lelaki itu dibuatnya, begitu juga dengan polis itu dan juga Sophie dan Tara. Zarique kemudian mengalihkan pandangannya tepat ke wajah Tara. "Saya memang suka kalau pekerja saya yang tak guna ni merengkok dalam penjara. Tapi, itu pun kalau dia betul-betul buat lah." Kata Zarique sambil merenung Tara dengan tajam. Hati gadis itu sedikit kecut.

Sophie mula menolak Tara ke belakang sedikit lalu berhadapan dengan Zarique. "Hei, kau nak kata kami menipu?" Sophie meninggikan suaranya.

"Shun memang nampak macam kaki perempuan dan mata keranjang. Saya memang mengaku tu. Tapi, dia takkan buat perkara macam mencabul. Lagipun, macam mana kamu boleh begitu pasti yang dia yang mencabul tu? Bukankah sepatutnya orang ramai berpusu-pusu di pintu tren waktu tu memandangkan tren lambat sampai di platform?" Zarique menentang mata Sophie berani. Keyakinannya pada Shun sedikit pun tidak goyah. Dia yakin Shun tidak akan buat perkara begitu pada seorang gadis.

"Memanglah. Tapi, waktu tu lelaki ni yang berdiri di belakang Tara. Tara, kau cakap kau nampak tangan lelaki tu yang meraba kau kan?" Sophie cuba mempertahankan mereka. Dia menjeling ke arah Tara yang kelihatan seperti serba salah itu.

"Tara?"

"Err... sebenarnya aku tak nampak siapa yang meraba aku tu sebab orang terlalu ramai. Aku cuma rasa saja." Balas Tara tertunduk. Sophie kelihatan terperanjat.

"Tapi tadi, kau kata kau nampak dia yang buat?"

Tara menggeleng. "Sebab kau dah tangkap dia, terpaksalah aku mengaku."

Sophie nampaknya seperti hendak pitam. Dia memandang ke arah Zarique dan Shun yang sedang tersenyum sinis itu.

"Jadi, tak ada buktilah yang Shun melakukan benda tu, kan? Lagipun dalam hal ni, bukan Shun yang bersalah. Kau dah memalsukan laporan polis sebab kau mengaku yang kau nampak perbuatan tu dilakukan oleh Shun. Kami boleh dakwa kau pula tau." Kata Zarique sambil memandang wajah Tara dan Sophie silih berganti. "Jadi, kita dah seri. Kalau tak mahu kami laporkan tentang kamu menipu, lebih baik kamu berdua gugurkan laporan polis ni."

Sophie nampak teragak-agak. Dia memandang ke arah Tara yang akhirnya mengangguk itu. "Baiklah, kami batalkan laporan polis ni." Katanya sambil memandang ke arah polis wanita yang hanya mendiamkan diri itu.

Zarique kemudian memandang polis itu pula. "Awak pun sama, cik polis. Mentang-mentanglah mangsanya ialah perempuan berkenaan kes cabul, mana boleh awak abaikan pihak yang satu lagi tanpa siasatan menyeluruh. Awak feminist dan prejudis." Terkebil-kebil mata polis itu mendengar kata-kata dari Zarique itu. Zarique langsung tidak meninggikan suaranya namun nada suaranya kedengaran tegas.

"Terima kasih, bos." Shun mengucapkan sambil tersengih.

"Jangan buat masalah lagi. Lepas ni, kau selesaikan sendiri. Kau memang betul-betul tak buat tadi kan?" Zarique menghadiahkan Shun pandangan yang super tajam.

"Betul! Saya memang tak buat." Bersungguh-sungguh Shun mempertahankan dirinya.

Zarique tersenyum. "Aku percayakan kau. Dah, jom balik. Kau kena kerja mop lantai seminggu sebab dah susahkan aku pagi ni."

"Okey bos." Shun tersengih lebar sambil memberi tabik hormat kepada Zarique. "Ah, tunggu kejap. Ada benda saya kena selesaikan." Katanya lalu berlari menghampiri Sophie dan Tara yang kelihatan sugul itu. Sophie nampaknya agak marah namun dia tidak dapat berbuat apa-apa. Terkejut dia apabila melihat Shun berdiri dihadapannya. Lelaki itu kemudian menghulurkan tangannya.

"Apa?" Sophie menyoal bingung.

"Ipod aku. Pulangkan." Kata Shun.

"Ipod?"

"Ipod aku terjatuh masa kau pegang lengan aku tadi. Kena sepak dan terjatuh di landasan. Aku nak kau ganti." 

"Kenapa aku pulak?" Sophie seperti tidak berpuas hati.

Shun tiba-tiba membuat muka serius. Wajah yang langsung tidak berpadanan degan wajah 'jambu'nya itu. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri Sophie membuatkan gadis itu berasa kecut. Sophie berundur ke belakang apabila Shun semakin menghampirinya hingga akhirnya belakangnya terkena dinding stesen. Shun mendepakan tangannya ke dinding dan badannya kini hampir menekan badan Sophie ke dinding. Gadis itu kini gugup. Mata Shun begitu tajam menerkam wajahnya dengan muka yang serius sehingga dia berasa nervous yang teramat sangat.

"Apa... apa kau buat ni?" Sophie menyoal gugup. Dia tertunduk apabila bertentang mata dengan Shun dalam jarak yang begitu dekat.

Shun kemudian menarik senyum semula melihat wajah risau dan gelabah Sophie itu. "Kalau kau tak buat macam tadi, ipod aku masih selamat dalam poket aku dan aku tak perlu dimalukan, tau tak? Jadi, kau nak ganti ke tak nak?" 

"Aku gantilah." Bisik Tara. Dia menentang wajah lelaki itu namun tertunduk apabila wajah kacak Shun memandangnya.

"Tak payah, Tara. Aku yang salah. Biar aku ganti. Tapi sekarang aku tak cukup duit. Esok lusa aku bayarkan duit gantinya. Bagitahu aku macam mana aku nak ganti dan di mana?" Sophie menyampuk. Dia menolak badan Shun menjauhinya.

"Kau ingat aku nak percaya janji-janji kosong kau ni? Kawan kau ni dah menipu polis tadi, kau pun boleh menipu jugak kan?" Shun berkata. Keningnya terangkat sambil merenung tajam muka gadis itu.

"Aku cakap aku gantilah!" Sophie membentak kasar. 

Shun mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menangkap gambar Sophie dan mengambil nombor telefon gadis itu. "Datang ke Parfee Cafe esok. Kita akan bincangkannya di situ." Katanya sambil menghadiahkan senyuman pembunuhnya kepada kedua-dua gadis itu lalu berlalu dari situ mengikuti Zarique yang sedang memerhatikan mereka dari jauh.

"Tak guna lelaki tu!" Sophie membentak sambil menghentak-hentakkan kakinya geram. Hatinya semakin membengkak mendengar suara ketawa kecil dari Tara. "Diamlah Tara! Semua ni kau punya pasal!"

"Bos memang hebatlah! Saya kagum dengan bos." Kata Shun sewaktu di dalam kereta. Zarique yang sedang memandu keretanya menjeling Shun dari sisi. "Macam penegak keadilan."

Zarique mengukir senyuman sinis. "Mana ada keadilan di dunia ni, Shun. Kita bukannya idealis. Keadilan hanyalah bullshit!" Dia menyumpah sambil memandang ke jalan raya dengan tajam. Sesuatu tentang masa lalu melintas fikirannya untuk seketika.


***
ps: okie, sy pnjam nama ya... hahaaa...

5 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

haha...cam tau2 aja..hehe..boleh, apa salahnya :) btw, bab kali ni menarik..lucu..hehe

nonorm said...

siapakah pilihan hati shun??haha..okie: cepat denda cik blogger ni..dia pinjam nama tara..

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

heheeee.... heroin kedua dah muncul.

akira_bita said...

wah... wing ngn yuna.. skg ni shun ngn sophi pulak ye? hehehehe.... best2!

Kana Sakura said...

waaahh!! suka shun! sophie, please jadi watak yg terbaik untuk Shun ye! kalu tak!! kite suruh cik penulis buang awk dari cerita ni! PAHAM!! XDDD