Saturday, April 23, 2011

[HD] 00: The tale of two brothers


"Kenapa saya perlu masuk ke sini? Ayah dan ibu tak ikut sekali?" Budak lelaki itu menyoal. Tangannya menggenggam erat tangan ibunya. Tidak rela dia ditinggalkan di tempat asing itu. Wajahnya kemerah-merahan menahan esak tangisnya. 

Hati si ibu mulai rawan. Dia tunduk dan mencium dahi anak lelakinya itu. "Jangan risau sayang. Ibu akan datang jemput kamu bila dah sembuh nanti. Kami akan selalu melawat kamu nanti."

"Virus tak datang sama? Kenapa ibu dan ayah tak benarkan dia ikut?" Si anak itu menyoal lagi. Kedua-dua ibu dan ayahnya berpandangan sesama sendiri. Si ibu tersenyum manis.

"Virus dah masuk ke dalam. Venn pun masuklah. Nanti ayah hantarkan bagasi ke bilik Venn." Si ayah pula berkata. Dia mengisyaratkan isterinya membawa anak mereka itu masuk ke dalam sebuah bangunan besar di hadapan mereka. Tangan Venn semakin kuat menggenggam tangan ibunya. Beberapa orang lelaki berpakaian putih sedang tersenyum kepadanya. Namun, senyuman mereka sangat menakutkannya.

"Venn nak balik, ibu." Venn mulai merengek. "Venn taknak duduk di sini."

"Tak boleh sayang. Venn sakit. Venn perlu duduk di sini. Mereka semua ni doktor yang nak merawat Venn. Venn nak jadi doktor bila besar nanti kan? Venn kena berani."

"Tak apa puan. Biar kami uruskan. Puan dan suami boleh pulang." Seorang doktor berkata sambil cuba menyentuh tangan Venn. Namun, Venn meronta-ronta. Ibunya melepaskan tangannya dengan tangisan dan dua orang doktor mulai memegang tangang Venn.

"Lepaskan adik aku!" Venn seperti terdengar suara abangnya, Virus menyuruh doktor-doktor itu melepaskannya. 

"Virus?" Ibunya menyoal. "Venn perlukan rawatan. Jangan ganggu dia."

"Tapi, Venn tak mahu. Dia akan rasa sunyi tinggal di sini sorang-sorang." sambung Virus lagi.

Doktor-doktor itu mulai melepaskan tangan Venn. Masing-masing berpandangan sesama sendiri seperti sedang berbincangkan sesuatu. Sejenak kemudian, salah seorang daripada mereka mula memandang Virus dengan serius. "Kalau macam tu, kami benarkan Virus datang jenguk Venn bila-bila masa yang Virus nak. Kami pun berminat nak mengenali Virus."

Virus terangguk-angguk. "Baiklah kalau macam tu. Ibu jangan risau. Saya akan jaga Venn baik-baik." Dia memandang ke arah ibunya. Si ibu hanya mengangguk dengan teragak-agak sebelum berlalu keluar dari situ dengan lelehan air mata.

Venn berbaring di atas katil di bilik peribadinya yang dikongsi bersama Virus malam itu. Virus tidak menerima rawatan sepertinya. Venn tahu badannya tidak sekuat abangnya. Mata Venn memandang ke arah siling lama-lama. "Virus." Dia memanggil abang kembarnya itu dengan lembut.

"Hmmm..."

"Kenapa ayah dan ibu masukkan aku ke sini?" Venn menyoal. Lampu bilik ditutup awal dan dia hanya membiarkan cahaya bulan menyuluh masuk ke dalam bilik.

"Sebab kau sakit. Kau perlu terima rawatan." Virus menjawab. Matanya begitu asyik merenung bulan purnama yang mengambang penuh di langit.

"Venn." Virus pula memanggil nama adiknya.

"Hmmm..."

"Kau rasa kalaulah pada satu hari nanti aku mati, ibu dan ayah akan sedih tak?" Virus mula menyoal menyebabkan Venn terus duduk di katil.

"Mestilah sedih. Tapi, aku akan lebih sedih. Jadi, kau mesti hidup selama-lamanya tau." Jawab Venn menyebabkan Virus tersenyum panjang.

"Bodohlah kau ni, Venn. Mana ada orang yang hidup selama-lamanya di dunia ni." Balas Virus perlahan. Wajah adiknya dipandang dengan kasih sayang.

Mereka ialah pasangan kembar yang bertentangan sifat dan watak. Venn lebih lemah lembut dan bersopan santun, manakala sikap Virus lebih keras. Badan Virus lebih kuat dan dia lebih lincah berbanding adiknya dalam aktiviti lasak. Rona wajah Venn lebih manis dan lembut manakala wajah Virus selalu masam mencuka walaupun wajah mereka sangat seiras. Tiada sesiapa yang dapat membezakan mereka jika hanya dilihat dari segi fizikal dan penampilan. Namun, hanya satu perkara sahaja yang sama di antara mereka. Mereka berkongsi kasih sayang yang sama dan sangat mengasihi antara satu sama lain. Bagi Venn, Virus ialah nyawanya dan begitu juga sebaliknya. Tiada apa yang dapat memisahkan pasangan kembar itu selamanya. Sekurang-kurangnya, itulah perkara yang difikirkan oleh Venn dan Virus yang masih berusia 12 tahun itu.

Enam tahun telah berlalu dan sekarang Venn dan Virus masing-masing telah berusia 18 tahun dan kisah mereka akan bermula.


4 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

akhirnya....suka3x!!!
dah mula ada tanda tanya dikepala sy ni...gud job!

err...
"Mestilah sedih. Tapi, aku akan lebih sedih. Jadi, kau mesti hidup selama-lamanya tau." Jawab Venn menyebabkan Virus tersenyum panjang.

"Bodohlah kau ni, Venn. Mana ada orang yang hidup selama-lamanya di dunia ni." Balas Virus perlahan. Wajah adiknya dipandang dengan kasih sayang.

sy suka quote, sweet n sy boleh rasa kasih syg antara Venn dan Virus.

intrigue said...

betul tu okie...family bonds...no..twins bonds...x sbr nk bce n3 strusnya..

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

Okie: hahaa... tq sebab suka.
Sakura: okeyh. sy akan update cepat2 lagi.

nonorm said...

kisah cinta sikembar..