Sunday, January 16, 2011

Chapter 2

Henrietta

Pagi yang cerah turut mengundang rasa sejuk di dada. Henrietta menarik selimutnya menutup sehingga ke kepala sambil mengomel-ngomel perlahan. Malas hendak bangun katanya. Namun jam loceng di meja yang berdering setelah hampir 10 kali dia menekan butang snooze, menyebabkan dia terus terduduk di atas katil. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 7.30 pagi.

Henrietta bangun dan bergegas ke bilik mandi. Mandi, bersiap dan terus keluar dari biliknya sambil menggalas sebuah beg berwarna hijau tua. Mood paginya terbejat melihat rakan serumahnya, Elis berpakaian serba-serbi berwarna pink dari atas ke bawah. Elis duduk di meja makan sambil mengunyah sekeping roti. Henrietta bencikan warna pink.

"Selamat pagi, Henrietta." ucap Elis. "Aku ingatkan kau  tak ada kelas pagi ni."

Henrietta mengangguk. Rambut hitamnya yang panjang melepasi bahu itu kelihatan tidak terurus. Elis selalu merungut dan menyuruhnya supaya berdandan sedikit sebelum ke kelas. Malah, bukan penampilannya sahaja yang selalu dirungutkan. Elis selalu merungut nama panggilan Henrietta terlalu panjang dan dia sepatutnya mempunyai nama yang lebih mudah dipanggil dan disebut.

"Macam Etta ke, Rita ke..?"

Henrietta pula hampir menempeleng kawannya itu setiap kali namanya tidak habis disebut.
"Penat je mama aku beri nama sedap-sedap, sesuka hati kau saja nak pendekkan!" katanya. Dia memang marah jika diberi nama samaran.

Mereka berdua kawan baik yang tinggal serumah sejak dari tahun pertama di universiti lagi. Tetapi kedua-duanya bukan belajar dalam satu jurusan. Elis ialah pelajar jurusan kesusasteraan Jerman manakala Henrietta ialah pelajar jurusan Seni Reka Bangunan.  

Henrietta dan Elis menaiki tren ke kampus. Kedua-duanya sempat sampai sebelum kelas pagi bermula. Henrietta mengambil tempatnya di tengah dewan kuliah bersebelahan dengan seorang sahabatnya, Joan. 

Henrietta memang seorang yang kurang bercakap dan terkenal dengan sifat yang dingin. Gelak tawa pelajar sekelasnya jarang diendahkan dan dia lebih suka membuat halnya sendiri. Kelihatan seperti seorang gadis anti sosial dan kurang bermasyarakat. Sebab itu dia tiada ramai kawan. 

Hakikat sebenarnya, hanya dia seorang yang tahu. Henrietta sebenarnya bukanlah seorang gadis yang begitu pemalu. Dia ceria dengan teman-teman yang rapat dengannya, namun sedikit kurang selesa dengan orang lain terutamanya lelaki. Sejak kecil badannya bertindak balas dengan lelaki. Dia akan mula menjarakkan diri dari mereka dan akan sedaya upaya mengelak dari tersentuh dengan lelaki, walaupun dalam bas ataupun tren.


"Semalam kau pegi kerja part time kau tu ke?" soal Joan secara tiba-tiba membuatkan Henrietta hampir melompat.


"Ya. Aku akan buat over time malam ni memandangkan esok hujung minggu." balas Henrietta sambil mengeluarkan buku dari beg. Dia bekerja separuh masa di sebuah restoran makanan Jepun berhampiran rumah sewanya hampir setiap malam demi menampung perbelanjaan di universiti. Walaupun keluarganya akan memasukkan wang saku ke dalam akaunnya setiap bulan, namun dia masih bekerja dan jarang menggunakan wang dari akaunnya. Dia bercadang ingin mengumpul duit sakunya sebanyak mungkin dan akan digunakan untuk melancong sebaik tamat pengajian nanti.


"Tak penat ke kerja malam?" soal Joan lagi.
Henrietta menggeleng sambil tersengih. "Dapat makan free apa salahnya. Duit gaji dapat lagi."




Seorang lelaki melangkah masuk ke kelas dan duduk selang 3 baris di belakang Henrietta. Gadis itu tiba-tiba terdiam dan tunduk memandang buku yang langsung tidak dibaca. Wajahnya menjadi sedikit hangat. Joan langsung tidak perasan perubahan Henrietta kerana dia sendiri begitu asyik memandang lelaki itu.


"Lex tu boleh tahan kan? Bijak, aktif dan nampak baik." kata Joan sambil tersenyum-senyum.
Henrietta sekadar mengangguk.


Lex Green.. lelaki yang sudah lama berada dalam hatinya. Dia dan Lex sekelas sejak di sekolah menengah lagi, namun mereka tidak pernah berbual. Pernah juga Lex menegurnya menyuruh dia memberi pesanan kepada guru kelas mereka ketika di sekolah tinggi dulu. Dia hanya terangguk-angguk sahaja pada waktu itu.


Dia memang tidak berani berbual dengan Lex. Sebabnya, dia sedar kelemahan yang ada padanya dan tindakan refleksnya terhadap lelaki. Dia kurang yakin Lex akan berasa selesa dengannya dan dia pasti tiada sesiapa akan suka berkawan dengan gadis aneh sepertinya.


Henrietta curi-curi memandang ke arah Lex. Lelaki itu sedang berbual-bual sambil tertawa kecil dengan sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan yang mengelilinginya. Kadang-kadang dia sendiri berasa cemburu. Kenapakah dia tak boleh merapati lelaki itu seperti orang lain sedangkan dia terlebih dahulu mengenalinya.


Pintu bilik kuliah terbuka secara tiba-tiba. Seorang lelaki yang tidak dikenali melangkah masuk sambil menggalas sebuah beg di bahu kirinya. Lagaknya kelihatan bergaya. Matanya meliar seolah-olah mencari sesuatu di tempat duduk. Kelas yang tadinya bingit, tiba-tiba menjadi senyap sunyi dengan semua mata memandangnya. Beberapa pelajar perempuan kelihatan berbisik-bisik sesuatu. Henrietta sendiri seperti terpukau memandang lelaki itu.


Lelaki itu secara spontan tersenyum di hadapan kelas sambil berteriak.
"Selamat pagi, semua." Dia mendepangkan tangannya sambil tersenyum lebar. Lagaknya kelihatan kelakar, tapi yang peliknya dia langsung tak nampak pelik, sebaliknya kelihatan sungguh bergaya. Lelaki ini seolah-olah mempunyai aura yang luar biasa.


Tanpa disangka lelaki itu berjalan ke arah Henrietta lalu terus duduk tanpa segan silu di sisinya. Henrietta terkejut, begitu juga dengan Joan disisinya. Lelaki itu sekali lagi tersenyum manis menampakkan lesung pipit yang dalam di pipi kirinya.


"Nama saya Asran." dia memperkenalkan diri.



6 comments:

suehana said...

hohohoho~

Virtual Writer said...

Sue darling, pastikan anda membaca mengikut turutan ya. Muahhh... promote2 ar cket kat kwn2 ank tuh tentang cerita bersiri ak yg tak seberapoa nih.. hahaaaaa...

OkiE a.k.a WitcH said...

suka...cute sgt <3 :)

estrada said...

ni yg lemah ni! hehe

niza harniza said...

owh..asran ni cupid yg poyo la...hahah

Aniki said...

wow.. takleh nak kata apa, bila asran datang "wow" tu jer yg boleh terluah.. wahh best best best... >_<