Sunday, January 16, 2011

Prolog

Perangai dan sifat manusia memang dinamik. Selalu berubah-ubah. Sekejap yang ini, sekejap yang itu. Sekurang-kurangnya, itulah apa yang aku nampak setakat ini. Benci pun ada, tapi itu hak individu. Kalau aku menganggu, namanya mencabul hak asasi manusia pula. 

Tetapi, ada seorang yang kelihatan pasif dan statik. Dari awal sampai akhir, dia tidak pernah berubah. Seolah-olah tak pernah bosan dengan apa yang dirasainya. Aneh, memang aneh. Selalunya, manusia mudah berputus asa. Bila sekali dua mencuba tapi tak berhasil, pandangan manusia mula beralih. Bagaikan lalang yang ditiup angin. Tapi dia... sejak beberapa tahun dahulu, hatinya keras seperti batu. Seolah-olah dia telah menetapkan matlamatnya di situ dan sedikitpun tak akan tergugah walaupun masa akan berlalu. 

Menariknya profil budak ni. Sebab itulah aku bersetuju untuk menerima tugasan kali ini tanpa mengeluh panjang dan cubaan melarikan diri. Aku bukanlah pemalas, tapi, aku bagaikan Sherlock Holmes yang hanya menerima kes-kes menarik sahaja. Dan dia ni... memang menarik perhatianku.


Beberapa hari lalu.... 

Aku sedang berseronok menikmati makanan di kafetaria apabila Jim memanggilku. Katanya aku dipanggil Tuan Cassius. Aku mengeluh berat. Mau sahaja aku melarikan diri pada waktu itu juga, tetapi mengenangkan reputasi burukku sebagai lelaki yang suka melarikan diri apabila dipanggil pihak atasan dan hampir-hampir diturunkan pangkat membuatkan niatku terbantut. Tapi, otakku ligat berfikir bagaimana caranya untuk mengelak. Bukan apa, aku cuma bencikan kerjaku ini. Malah, aku sangat-sangat menyampah dengan apa yang selalu aku buat di sini.

"Okey, nanti aku jumpa dia." kataku sambil menghayunkan tangan menghalau Jim dari meja makanku. Tapi Jim langsung tidak berganjak. Dia seperti menantiku selesai makan. Aku mengangkat kepala memandangnya dengan curiga. Aku tahu Tuan Cassius pasti menyuruhnya memastikan aku akan berjumpa dengannya. 

"Yelah.. yelah! Aku pergi sekarang." balasku malas.

Bilik Tuan Cassius berada jauh di tingkat 15 dengan pintu besar berwarna perak tersergam di hadapannya. Tanpa mengetuk terlebih dahulu, aku masuk ke biliknya. Kelihatan dia sedang duduk di meja kerjanya yang dilitupi dengan beratus-ratus fail dan buku. Dia mengerlingku tajam.

"Adakah bilikku tak punyai pintu, Asran?" tanyanya lantang. Cara percakapannya yang bagaikan orang kuno itu membuatku hampir tertawa. Untuk seketika aku tidak memahami apakah maksud ayatnya itu.

Dia mengeluh kecil sambil memanggilku dari celah-celah fail yang bertimbun itu. Aku berjalan menghampirinya dan duduk di kerusi.

"Berapa banyak tugasan yang diserahkan kepadamu bulan ini, Asran?"soalnya.

Aku berfikir sejenak. "Errr... sepuluh."

"Dan berapa banyak tugasan yang dilakukan?"

"Dua." balasku sambil merenung siling memikirkan tugasan yang diselesaikanku itu. Aku tersengih memandang Tuan Cassius yang memandangku dengan muka yang menyinga.

"Kamu tahu bukan kita ada jadual yang perlu diikuti? Kita punya KPI kita sendiri." Tuan Cassius menyoal berkenaan dengan Key Performance Index yang selalu diikuti oleh pegawai yang bertugas. 
Aku mengangguk perlahan. 

Dia hanya menggeleng kepala sambil mengeluh. Dicampakkan sebuah fail di hadapanku. Bagus betul!! Sekarang aku dah ada 9 tugasan semula, yang entah bila aku akan laksanakan.

"Saya beri tempoh sebulan untuk kamu buat kerja ini. Cuma satu fail ini. Kalau gagal, fail ini akan jadi kerja terakhir kamu, dan saya akan pastikan kamu dihantar ke tempat yang lebih sesuai dengan pemalas seperti kamu ini." kata Tuan Cassius bernada sedikit keras dan kedengaran mengugut. 
"Kerja kamu yang lain akan diserahkan kepada pegawai lain. Kamu cuma perlu tumpukan perhatian untuk fail ini sahaja."

Aku memandangnya seperti tidak percaya. Betul ke tidak, bos aku ni? Tetapi, dia tak kelihatan seperti tengah bergurau. Aku sekadar mengangguk lalu mengambil fail itu tanpa membukanya. 



Seperti dijangka aku hanya membuka fail itu selepas 3 hari. Aku bukannya malas sebenarnya, tapi aku adalah salah seorang yang kurang bernasib baik sebab berkecimpung dalam karier yang bukan menjadi pilihan. Aku mengambil masa hampir setengah jam meneliti fail itu. Profil klien, aku belek sedalam-dalamnya.

Klienku, seorang gadis berusia awal 20-an, sedang menuntut di universiti. Seorang gadis yang berwajah cukup biasa namun masih kelihatan manisnya. Berambut panjang dan berfesyen langsung tidak menarik. Pendek kata, jika diberi rating, gadis ini selayaknya mendapat rate C+. Okeylah tu.. masih lulus.

Si lelakinya, juga kelihatan biasa (jika dibandingkan dengan aku). Berwajah agak serius tapi berprofil agak tinggi. Seorang intelektual dan atlet yang handal. Muka macam skema sikit, tetapiagak bergaya dan aku pasti pasti menjadi kegilaan gadis juga. 

Hmm... susah ni. Gadis biasa dan lelaki yang agak cool. Ini dah macam drama Korea. Jangan salah sangka, bukannya aku sukakan sangat drama Korea, tapi aku sekadar menonton untuk mendapatkan inspirasi tugasan-tugasan aku. 

Kalau nak diikutkan hatiku, malas aku hendak menerima tugasan begini. Malangnya, ini dah menjadi tugasan kami menguruskan pasangan-pasangan yang ditakdirkan berjodoh, namun tak akan menjadi tanpa bantuan kami. 

Ya... sudah semestinya anda semua sudah dapat meneka apakah pekerjaanku sekarang, bukan? Bukannya pembunuh upahan ataupun yakuza. Tapi, aku ialah CUPID.




7 comments:

suehana said...

gambatte!!!
like!

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

Sue.. mekasheh.. semoga ak rajin mengarang lagi hahaaa

OkiE a.k.a WitcH said...

saya suka!!!

*Mina* said...

best3! keep it up. ganbate ne! :)

niza harniza said...

WAAA...amazing..berjaya habiskan prolg..hehehe..sha...nape ko pandai? haha..cupid tu sengal

farah manaf said...

haha..best

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)