Wednesday, February 16, 2011

[HMDC] 05 - Memori

Aku berjalan keluar dari kampus sambil menghentak-hentakkan kaki seperti budak berusia 3 tahun. Aku tahu mukaku sekarang mesti merah macam udang bakar sebab menahan marah. Segala jenis perkataan makian dan sumpah seranah keluar dari mulutku spontan, walaupun aku bukannya jenis perempuan yang selalu menggunakan perkataan maki hamun. Rasa sakit hati menendang kuat di dada. Mahu saja aku menyepak-nyepak tong-tong sampah di tepi jalan sambil membayangkan kepala budak itu yang sedang kusepak.

Hyuuga Natsume, itulah namanya. Rupa-rupanya dia hanya 2 tahun lebih muda dariku, malah kami belajar di tempat yang sama walaupun jurusan yang berbeza. Lelaki ini begitu berani mengugutku dengan mudah, dan aku hanya membiarkan saja diriku dibuli. Walaupun rasa geram mencengkam di dada, namun aku tak berdaya hendak buat apa-apa. Bukan sebab aku takut pada dia kerana dia lelaki, tetapi sebab aku tahu 70% masalah ini adalah disumbang oleh aku sendiri. Siapa yang tidak marah jika dibelasah tanpa sebab dan motorsikal kesayangan dirosakkan. Itupun, budak ni boleh dikira baik juga. Nasib baik dia tak angkut geng belasah aku pulak.

Aku tiba di rumah dalam keadaan monyok. Pastinya Hotaru naik muak dengan muka aku setiap kali aku pulang ke rumah semenjak dua ini. Masalahku datang bertimpa-timpa. Dan hanya Hotaru seorang menjadi tempat aku meluahkan segala masalahku termasuklah yang ini.

Hotaru ada menawarkan diri untuk meminjamkan duit untuk membayar wang membaiki Ducati budak Natsume tu. Malah dia juga menyarankan supaya aku melaporkan perbuatan mengugut itu kepada pihak polis.

"Dia mengugut kau, itu dikira satu jenayah. Kau tahu tak." katanya bagaikan menjadi penasihat undang-undang percumaku.

Namun aku hanya menggeleng. Malas mahu memanjangkan cerita dan aku tidak mahu perkara ini diperbesarkan sehingga sampai ke pengetahuan mama dan abah.

"Biarlah aku ikut saja apa budak ni suruh buat sementara ni. Aku akan cuba bayar dia sikit-sikit dengan duit gaji aku. Lagipun aku bersalah juga dekat dia. Lebam pipi dia, tak termasuk kaki dia yang aku tendang tu. Tapi, kalau dia suruh aku buat yang bukan-bukan, siaplah dia nanti." aku menolak sambil tersengih. Rasanya Hotaru pun tahu aku memang jarang meminta pertolongan orang lain.

Aku masuk ke dalam bilik dan berbaring di atas katil. Siling bilik kurenung lama-lama. Macamlah ada benda menarik di situ. Wajah cool Yagami Raito dari Death Note dan Lelouch Lamperouge dari Code Geass di dinding bilik yang sedang tersenyum itu tidak kuhiraukan. Terasa seperti mereka sedang tersenyum menyindirku pulak. Kalau tidak, macam nak gila aku merenung diorang.

Aku mengurut-ngurut dada yang terasa sakit. Sakit sebab susah hati yang teramat sangat. Buat masa sekarang, aku terasa sunyi dan keseorangan, walaupun Hotaru memang selalu bersedia menadah telinganya mendengar segala macam luahanku.

"Adik, jangan susah hati. Ada lagi orang lain yang ada masalah lebih berat daripada adik." suara seseorang bergema di fikiranku. Suara ini bukan suara mama, abah, kakak ataupun suara ex-boyfriend aku di sekolah dulu. Suara ini kepunyaan seseorang yang sangat istimewa di hatiku selain keluargaku.

Fikiranku mula berpusing memainkan semula peristiwa 17 tahun lalu itu. Aku masih berusia 6 tahun, masih memakai skirt kuning berbunga matahari besar-besar, bertocang dua dan masih bermain panjat-panjat pokok dan kejar-kejar. 

Hari itu, aku telah memecahkan sebuah pasu besar kesayangan mama. Memang aku tak sengaja, namun aku memang cepat panik apabila membuat kesalahan. Aku benci mengaku kesalahan diri sebabnya aku takut dimarah dan dibenci. Rupa-rupanya sikap itu menjadi habit ku sampailah ke besar panjang. 

Aku dengan 'bijaknya' mengangkut serpihan pasu buatan cina mama itu ke hutan di belakang rumahku. 17 tahun lalu, kami sekeluarga tinggal di Kampung Nichiyori di Gunma, sebuah kawasan pergunungan. Rumahku ialah sebuah rumah kayu bereka bentuk tradisional seperti sebuah dojo. Tentulah, sebab mendiang datukku ialah seorang guru kendo di kawasan itu, dan pada waktu itu kami tinggal bersama datuk sehingga dia meninggal dunia.

Serpihan pasu bunga itu ku cuba tanam di dalam tanah di tepi anak sungai. Walaupun lubang yang ku gali tidak sedalam mana, namun cukup untuk menanam serpihan-serpihan itu. Aku kemudian hanya duduk di tepi sungai, cuba melupakan 'dosa silamku' memecahkan pasu bunga mama dengan tenang, namun ternyata hatiku yang begitu rapuh ini tidak mampu menyimpan rasa bersalah di dada. Aku menangis teresak-esak. Nasib baik aku masih berusia 6 tahun ketika itu, kalau tidak mesti buruk betul mukaku menangis.

"Jangan menangis, adik." dia menegurku dari belakang. Dia berjalan ke sisiku dan duduk di atas batu. Aku berhenti menangis serta-merta. Wajahnya kupandang lama-lama. Terus terlupa mengapa aku menangis kerana terpegun olehnya.

Dia ketika itu berusia mungkin 11 ke 13 tahun, namun perwatakannya kelihatan matang. Senyumannya sangat manis, semanis madu walaupun aku tidak dapat mengingati wajahnya sekarang. Dia menyentuk rambutku, sambil terseyum. Alahai... senyuman tu telah berjaya mencairkan hati budak berusia 6 tahun.

Dia menunjukkan ke arah kesan lubang yang dibuatku sambil tertawa kecil. "Saya tak akan beritahu sesiapa." katanya sambil meletakkan satu jari telunjuk dibibir. Dia nampak rupa-rupanya, tindakanku menyembunyikan jenayah itu. Kemudian dia mengesat air mataku sambil berkata, "Adik, jangan susah hati. Ada lagi orang lain yang ada masalah lebih berat daripada adik."

Aku membuka mata kerana aku kembali menjadi gadis berusia 23 tahun. Bibirku menguntum senyum. Memori lama memang indah, apatah lagi memori berkenaan orang itu. Kami hanya bertemu sekali dan selepas itu tidak pernah berjumpa lagi. Malah namanya juga aku tak tahu.

"Siapa nama adik?" soalnya 17 tahun lalu sambil mencapai seketul batu leper dan dilemparkan ke tengah-tengah sungai. Walaupun batu itu terus tenggelam dan tidak melantun sebanyak 3 kali sepertimana yang aku selalu tonton di TV, namun aku tetap berasa kagum. 

"Ishimoto Kagari." jawabku lambat-lambat dengan suara kecil yang kedengaran comel.

Dia memandangku ketawa. Sekali lagi dia memegang kepalaku. "Kagari-chan. Comelnya nama adik. Nama saya..." Sebelum sempat dia memberitahuku namanya, dia menoleh kebelakang. Ada gangguan. Benci betul. 

Dia bangun. "Esok kita jumpa lagi, ya." katanya dan terus berjalan ke arah 'gangguan' itu. Aku hanya mampu mencebik memandangnya pergi, namun hati sedikit berbunga-bunga macam baru lepas mendapat gula-gula. Tak.. sesuatu yang lebih manis dari gula-gula.

Keesokan harinya aku pergi lagi ke tepi sungai, namun dia tidak datang. Aku menunggu macam tunggul di tepi sungai setiap petang selama seminggu sehinggakan kakakku terpaksa datang dan memulas telingaku menyuruhku pulang.

Sekurang-kurangnya, kalaulah ada orang bertanya soalan," bilakah cinta pertama anda?" Tahulah aku menjawabnya.


Aku bersiap-siap sedia untuk ke temudugaku yang kedua untuk cuti musim panas ini di sebuah syarikat terkemuka Toyota. Jawatan yang kupohon ialah sebagai PR Eksekutif. Mesti seronok kalau dapat bekerja di syarikat terkemuka. Silap-silap haribulan, mereka akan hadiahkanku kereta sebuah dua. 

Aku ketawa terkekeh-kekeh di meja makan di dapur. Hotaru merenungku bagaikan sedang memandang orang gila. "Kenapa seronok sangat ni? Bukannya kau dapat kerja pun lagi." katanya menyindir. Kadang-kadang Hotaru ni rajin menyindir juga.

"Biarlah aku nak gembira sikit. Harap-harap kali ni tak jadi macam interview hari tu." balasku memuncungkan bibir. Dengar-dengar cerita, syarikat ini akan mengadakan temuduga berkumpulan pada peringkat pertama sebelum temuduga panel di peringkat kedua.

"Mamat tu dah telefon kau ke?" tanya Hotaru tiba-tiba mematikan mood gembiraku pagi itu. Aku memandang telefon bimbitku yang masih belum menerima panggilan telefon daripadanya setelah 3 hari berlalu.

"Biarlah. Tak payah telefon lagi bagus." aku malas-malas menjawab. Roti bakar kuletakkan di mulut dan terus mencapai beg tanganku yang berisi sebuah fail merah berisi resume dan sijil-sijilku itu. Aku segera ke pintu dan memakai kasut Gucciku sekali lagi. Kali ini aku benar-benar pastikan yang aku memakai sarung kaki yang tepat.

"Okey, wish me luck, girl." kataku berbahasa Inggeris. Bukannya mahu berlagak, tetapi aku memang mahir berbahasa Inggeris. Mungkin sebab aku pelajar jurusan bahasa (secara amnya) dan juga sebab aku pernah belajar dari datukku yang memang fasih berbahasa Inggeris itu. Datuk ialah seorang veteran perang ketika perang dunia kedua dahulu.

"Selamat berjaya." Hotaru berucap dalam bahasa Jepun.

Aku berjalan perlahan-lahan ke stesen tren. Di kiri kanan jalan, sudah ada iklan tentang perayaan Tanabata yang akan diadakan hujung minggu ini dari 6 hingga 8 haribulan. Aku tidak begitu gemar menaiki tren sebenarnya, terutamanya pada waktu pagi. Sesak! Namun, kali ini aku perlu ke cawangan Syarikat Toyota yang terletak di tengah-tengah bandar. Aku berjaya juga masuk bersesak-sesak kedalam tren yang padat seperti tin sardin itu. 

Lagu Shamrock berbunyi kuat di dalam keretapi menyebabkan beberapa penumpang memandangku dengan muka yang menunjukkan seolah-olah aku seorang penganggu. Aku tercari-cari telefon di dalam bimbit dan segera menekan punat menjawab tanpa melihat skrin.

"Helo?" bisikku perlahan.

"Ingatkan takut nak angkat telefon." suara Hyuuga Natsume bergema di telefon. Hampir terlepas telefon bimbitku dari tangan.

"Apahal?" tanyaku. Suara berbisikku tadi mulai meninggi. Semestinya dia ni bukan menelefonku sekadar untuk bertanya khabar.

Dia ketawa kuat. "Datang ke Fakulti Seni sekarang. Aku di studio 3 blok B." katanya memberi arahan membuatkan mataku terbeliak. Sesuka hatinya dia memberi arahan.

"Tak boleh. Aku ada hal sekarang." balasku kasar. 

"Kau ingat aku peduli ke? Datang sini cepat dalam masa setengah jam." dia membentak di telefon sebelum mematikan panggilan. 

Aku memandang telefon bimbitku dengan hati yang panas. Terasa macam hendak menghempuk sahaja telefon bimbitku pada waktu itu, namun aku segera sedar yang ia tak akan memberi sedikitpun kesan terhadap dia, sebaliknya cuma akan merosakkan telefon aku saja. 

Peduli apa aku dengan budak ni. Aku segera mematikan telefon dan mencampakkan di dalam beg. Tren akhirnya berhenti di stesen destinasiku dan aku melangkah keluar dengan semangat yang berkobar-kobar walaupun hati sedikit panas.

1 comment:

Pumpkin Pie aka Ain/Kin said...

Selamat berjaya : ganbatte!