Sunday, February 6, 2011

[HMDC] 02 - Go to hell

Bangunan besar kepunyaan Syarikat GTH kutinggalkan dengan langkah longlai. Terasa seperti badanku akan cair di lantai saja. Pakcik di kaunter pertanyaan tadi tersengih-sengih lagi memandangku, namun moodku untuk tersenyum kembali terbejat. Rasa macam nak sekeh kepala pakcik ni pun ada juga. Orang tengah tension ni!

Aku berjalan ke arah sebuah kedai makan terbuka di sebuah dataran kecil di tepi jalan dan memesan segelas jus mangga sejuk. Jam sudah menunjukkan pukul 11.15 pagi. Baruku sedar yang temudugaku tadi terlalu singkat. 

Aku ada terbaca yang temuduga terlalu singkat macam ini cuma ada dua kemungkinan saja, samada penemudugaku terlalu kagum dengan kebijaksanaanku menjawab soalan-soalan mereka sehingga mereka berkira-kira untuk menerimaku bekerja ataupun mereka tidak sabar-sabar hendak menghalauku pergi kerana berasakan yang aku hanya membuang masa mereka. Untuk situasiku sekarang ini, rasanya kemungkinan kedua lebih tepat.

Aku mengeluh berat. Kepalaku dihantuk-hantuk ke meja berulang-ulang kali membuatkan beberapa pelanggan lain berkalih memandangku. Seorang makcik membisikkan sesuatu kepada anak perempuannya yang jelas kedengaran di telingaku.

"Kakak tu tak betul agaknya. Jangan pandang dia."

Aku tak peduli pasal makcik itu. Katalah apa yang dia nak, tapi sekarang ni aku sedang mengalami kekalahan yang besar. Gagal dalam temuduga memang bukan salah satu pilihan dalam hidupku.

Tambahan lagi, aku sekarang ialah penuntut tahun akhir di universiti. Jika aku gagal mendapatkan pekerjaan sebelum tamat belajar, entah berapa lama aku akan terpaksa menganggur sesudah tamat belajar nanti sebelum mendapat pekerjaan. Tak.. mungkin aku terpaksa bekerja di restoran Sushi itu selama-lamanya. Ini ialah masa kritikal bagiku. 


Aku teruskan menyembamkan mukaku di meja.

Telefon bimbitku menjerit memainkan ringtone lagu Shamrock nyanyian kumpulan penyanyi rock Jepun kegemaranku, UVERworld. Aku terlupa hendak mematikan telefon rupanya. Nasib baik tak berbunyi sewaktu temuduga tadi. Tanpa mengangkat kepala, tanganku mencari-cari telefon bimbit DOCOMO comelku di dalam beg dan menekan butang menjawab tanpa melihat skrin.

"Helo." suaraku sedikit serak menjawab telefon.

"Interview kau dah habis? Macam mana?" kedengaran suara Hotaru dari corong telefon.

Aku mengomel perlahan. Malas hendak bercakap tentang temuduga sebenarnya. Hotaru ialah kawan baikku, merangkap teman serumahku. Sejak aku berhijrah ke bandar Sendai hampir 3 tahun lalu, aku berkenalan dengannya dan berkongsi rumah sewa. Hotaru juga ialah pelajar universiti Sendai.

"Dah habis." jawabku malas.

"Macam mana?" Hotaru mengulang soalannya.

"Entah." sepatah aku menjawab malas. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku mematikan telefon, namun apabila difikirkan perasaan Hotaru, aku membatalkan niatku.

Aku mengangkat kepala. Rambut panjangku yang diikat pony tail kubetulkan semula. Fringe di bahagian depan yang menutup dahiku juga kukemaskan.

"Tak apa. Kalau ada rezeki, dapatlah tu." Hotaru cuba menenangkanku. Nice try, Hotaru. Aku hanya mampu tersenyum sendiri mendengar kata-katanya.

"Okey. Aku ada lagi 2 interview untuk cuti musim panas kali ni. Jadi, peluang aku mungkin ada lagi. Kalau tak dapat juga, aku akan minta lagi." kataku bersikap positif, sedikit termakan dengan kata-kata pujukan Hotaru sebelum mematikan perbualan.

Aku menghabiskan jus manggaku yang sedikit masam dan meloyakan tegak itu. Mukaku berkerut sewaktu meneguk jus itu. Rasa macam nak tinggalkan saja, tetapi aku benci untuk membazir. Bagiku pembaziran dan kad kredit ialah musuh utama. Sewaktu hendak membeli kasut Gucci ku dulu juga, beberapa kali niatku asyik terbantut ketika mengunjungi kedai kasut. Namun, apabila mengenangkan yang aku perlu menghadiri temuduga dan aku tidak mempunyai kasut yang kelihatan decent, kugagahkan diri membeli juga.


Benar seperti yang dijangka, aku tidak mendapat sebarang panggilan telefon pada keesokan harinya. Aku sengaja membawa telefon bimbitku kehulu-kehilir, termasuklah ketika ke tandas. Namun apabila jam sudah menunjukkan pukul 1 tengah hari, aku mengalah. Telefon bimbitku kucampakkan ke atas katil.

Aku memang bukannya seorang yang akan berkepit dengan telefon bimbitku. Apatah lagi, telefon bimbitku itu hanya akan menerima panggilan dari mama dan abah di kampung, kakakku yang bekerja di Tokyo, Hotaru dan sekali-sekali dari teman-teman sekuliah. 

Boyfriend? Adalah dulu sekali sewaktu di tahun kedua seolah tinggi. Itupun cuma bertahan selama sebulan. 


"Sekarang aku dah tahu GTH tu untuk apa." kataku kepada Hotaru pagi itu. "Go to hell!" 

Hotaru menyambut dengan ketawa mengilai yang panjang, namun matanya tidak lepas memandang ke arah skrin televisyen. Dia hanya mendengar bebelan berkenaan dengan temudugaku semalam dengan sabar. Kesian kau ya, Hotaru sebab dapat kawan macam aku ni.

"Pakcik di kaunter pertanyaan tu pun nampak macam pervert. Aku yakin dia tu jenis yang suka meraba perempuan dalam tren atau bas." kutukku lagi. Mulutku sengaja dibentuk-bentuk. Hotaru yang memang baik hati dan sopan itu tidak menyertai aktiviti kutuk-mengutukku, tetapi hanya ketawa kecil.



"Makanan dalam peti sejuk dah habis." kata Hotaru petang itu selepas menjengukkan kepala di dalam peti sejuk di dapur. 

"Tipulah. Aku baru beli minggu lepas." balasku dan berjalan ke arah dapur. Memang betul kata Hotaru. Apa yang tinggal di dapur hanyalah dua biji telur ayam, sebungkus keju chedar, susu lembu yang tinggal separuh botol dan dua ketul ayam goreng yang tidak dihabiskan semalam.

"Kaulah makan banyak sangat!" teriak Hotaru kuat. Aku tersengih. Memang aku kuat makan kalau aku berasa nervous. Apatah lagi untuk temuduga.

"Yalah, aku keluar beli sekarang." balasku sambil merenung jam di dinding. Waktu sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Sempat lagi rasanya kalau aku bergegas keluar ke kedai berdekatan dan balik sebelum pukul 7.30 untuk anime kegemaranku di televisyen.

Aku masuk ke dalam bilik, mencapai beg duit dan cardigan labuh merah kegemaranku lalu keluar semula dari bilik.

"Pergi dulu, ya." kataku kepada Hotaru yang sedang membancuh teh di dapur.

"Balik cepat." laungnya.

Aku keluar dari rumah sewaku yang setinggi 2 tingkat itu. Sempat aku berkalih memandang rumah kesayanganku itu yang dihiasi dengan pokok-pokok di sekeliling. Aku mengukir senyuman. Aku dan Hotaru berkongsi membayar sewa rumah sebanyak 150,000 yen sebulan itu. Agak mahal bagi seorang pelajar, namun mujurlah kerja sambilanku dan wang saku yang dikirimkan oleh mama dan abah di kampung dapat menampung kehidupanku. 


Hotaru pula anak orang berada dan tidak mempunyai masalah kewangan sepertiku. Gadis baik sepertinya juga sangat suka menolong orang-orang seperti aku.



Kedai runcit yang berdekatan hanya terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari rumahku. Selalunya dari situlah aku membeli bahan-bahan memasak di rumah. Pakcik Yoshida dan isterinya yang menguruskan kedai itu juga kenal benar denganku.

Malangnya setelah tiba di situ, aku mendapati kedai runcit itu terkunci rapat. Pelik ni. Kedai ni tak pernah tutup setiap kali aku datang. Pakcik Yoshida sekeluarga balik kampung ke? Serta-merta aku teringat yang dia pernah bercerita tentang kampung halamannya di Ehime.

Aku mengeluh lagi. Malangnya nasibku hari ni.

Aku mengambil keputusan untuk berjalan jauh sedikit ke sebuah pekan kecil yang terletak 15 minit jika berjalan kaki dari situ. Memandangkan aku sudah berjanji dengan Hotaru untuk membeli makanan, terpaksalah aku pergi juga.

Aku melajukan langkah apabila melihat warna merah senja di langit. Aku tahu hari hampir gelap. Ditambah pula aku sedang mengejar masa kerana anime kesukaanku akan ditayangkan tak lama lagi. Cuaca semakin dingin. Aku menarik cardigan merahku menutup badan menghilangkan rasa angin dingin petang itu.

Langkahku terbejat sedikit apabila terpandang sebuah motorsikal  dari arah bertentangan menghampiriku. Penunggangnya memakai pakaian serba hitam dengan topi keledar yang menutup mukanya. Dia memperlahankan motorsikalnya apabila semakin mendekatiku.

Hahh.. sudah! Kenapa mamat motor ni perlahankan motor dia? Aku mulai risau. Kupandang ke kiri kanan, namun apa yang dilihat hanyalah pokok-pokok dan  sebuah rumah yang kelihatan gelap. Barangkali pemiliknya tidak ada di rumah.

Aku cuba berjalan dengan tenang dan tidak menghiraukan motorsikal itu. Namun, dalam hati Tuhan sajalah yang tahu. Apatah lagi motorsikal itu terus berhenti di tepiku.

Penunggangnya tidak menanggalkan topi keledarnya. Dia hanya memandangku tanpa bersuara. Kalaupun dia bersuara, aku memang tidak mendengarnya kerana pada waktu itu langkah kakiku mula dipecut secepat mungkin.


Aku panik apabila kedengaran bunyi kuat motorsikal itu dibelakangku. Nampaknya penunggang itu mula mengejarku. Tanpa berlengah, terus kubuka langkah seribu. Aku berlari pantas dan memasuki sebuah lorong kecil d belakang rumah yang gelap tidak berpenghuni itu. Nafasku sesak, sudah lama aku tidak berlari begini.


Aku mengintai ke luar. Motorsikal itu ditunggang laju ke arahku. Aku mulai panik. Habislah aku jika penunggang itu menyekat laluanku di lorong itu kerana lorong itu ialah jalan mati.


Aku mula memandang sekeliling. Mataku cepat menangkap sebatang dahan pokok bersaiz sederhana di atas jalan, barangkali dari pokok-pokok berdekatan. Aku segera mencapai dahan itu dan membuat kuda-kuda di tepi dinding lorong kecil itu. Lagakku seperti gabungan seorang batter baseball dengan seorang ahli sumo.


Peluh dingin turun di dahi walaupun suhu agak dingin. Motorsikal itu semakin menghampiri. Sesampainya dia di hadapan lorong, terus kuayunkan dahan pokok itu kuat mengenai penunggang serba hitam itu. Dia terjatuh ke tanah dan motorsikalnya tercampak ke hadapan. 


Penunggang itu terbaring di jalan untuk seketika, tidak bergerak. Aku mulai panik. Aku dah bunuh orang ni ke?


Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Dahan pokok itu masih erat digenggamanku. Takut pula jika orang ini berkasar tiba-tiba.


Aku menolak cermin topi keledarnya ke atas mendedahkan mukanya untuk tatapan mataku. Penunggang ini ialah seorang lelaki, yang nampaknya agak muda. Muka macam budak sekolah tinggi. Matanya terpejam dan kelihatan seurat dua rambut terjuntai di dahinya.


Tiba-tiba dia membuka matanya membuatkanku terlompat. Spontan tanganku bertindak memukul badan lelaki itu bertubi-tubi menyebabkan lelaki itu mengerang kesakitan. Dia mengiringkan badan dan menggunakan tangannya sebagai perisai pada mukanya.


Aku terus memukul dengan kuat. Kalau ada orang nampak dari jauh, pastinya aku kelihatan seperti pembunuh gila sedang membelasah mangsanya. 


Apabila lelaki itu kelihatan makin lemah, aku terus membuang dahan pokok itu dan berlalu dari situ terketar-ketar. Lututku menggigil dan begitu juga dengan tanganku. Tenagaku semakin lemah, kerana aku telah menggunakan hampir kesemua tenagaku untuk mengetuk lelaki itu. 


Aku berlari-lari anak pulang ke rumah, tidak jadi hendak ke kedai membeli makanan. Senyuman lebar Hotaru yang menantiku di rumah terus mati apabila melihatkan keadaanku yang kelihatan seperti baru lepas melakukan pembunuhan itu.


*******************************

ps: panjang sikit entri ni. Tapi, enjoy ya. Sila komen untuk cerita baru ni, Hikayat madu dan cengkih.

4 comments:

Witch a.k.a Okie said...

misteri2x..nak lagi!!

dandelion kiss said...

Dear,
pakcik / makcik seharusnya dijarakkan:
pak cik / mak cik!
hahaha kena belasah pulak tu...malang sungguh nasib mamat tu!

Virtual Writer said...

DK: Noted! hehehhhh... ^_^

Aniki said...

entah org tu nak tanya jalan ke apa, tetibe di bantai.. kecian lak rasanya.. tapi cite yg panjang lah yg menarik bagi saya, teruskan lagi.... ;)