Monday, August 11, 2014

No. 6 : Bab 1

Tikus yang basah

Nezumi berada di sebuah terowong. Dalam kegelapan, dia menghembuskan nafasnya perlahan menghidu udara yang berbau seperti tanah yang lembap. Dia maju ke hadapan dengan hati yang penuh waspada. Terowong yang sempit itu hanya muat-muat untuk badan Nezumi yang kecil itu mencelah sahaja, ditambah dengan kegelapannya. Segaris cahaya langsung tidak kelihatan, namun kegelapan itu amat menenangkan jiwanya. Dia amat sukakan tempat yang gelap dan kecil. Di tempat sebegini, tiada apa pun yang akan datang untuk menangkapnya. Sekurang-kurangnya itulah apa yang Nezumi mahukan pada masa itu. Bahu Nezumi terasa sedikit perit, namun bukan itu yang merungsingkannya. Dia lebih risaukan tentang kehilangan darahnya walaupun lukanya tidaklah sedalam mana. Dia tahu yang darahnya seharusnya telah membeku dan menutup lukanya itu, namun lukanya masih.... Nezumi terasa sesuatu yang hangat dan melekit dan dia tahu yang lukanya masih berdarah.

Anticoagulant. (sejenis unsur yang dapat menghentikan pembekuan darah) Mereka menyadurkan peluru dengan benda ni.

Nezumi menggigit bibirnya. Dia mahukan sesuatu untuk menghentikan pendarahannya. Apa-apa saja. Atau sekurang-kurangnya air bersih untuk mencuci darahnya itu. Kaki Nezumi terasa lemah. Dia semakin tewas.

Tak bagus ni!

Dia mungkin akan pengsan disebabkan kehilangan banyak darah. Dia semakin risau kerana jika ini berlaku, dia tidak akan dapat bergerak lagi.

Tapi, mungkin aku tak kisah.

Nezumi terdengar bisikan hatinya. Mungkin ianya tidaklah begitu teruk kalau tidak dapat bergerak dan terbaring di dalam kegelapan yang lembap seperti ini. Dia akan tertidur, tidur yang lama - dan mengalami kematian yang tenang. Tidak merasai kesakitan walaupun mungkin sejuk sedikit.

Tidak! Nezumi terlalu memandang rendah dengan kematian. Tekanan darahnya akan menurun, dia akan mengalami kesukaran bernafas, anggota badannya akan lumpuh... dan itu pasti bukanlah sesuatu yang tidak menyakitkan.

Aku nak tidur.

Dia kepenatan. Kesejukan. Sakit. Tak dapat bergerak. Dia memberitahu dirinya yang dia hanya perlu menderita untuk seketika. Lebih baik dia menyerah dari berjuang dengan sia-sia. Pasti ada orang sedang memburunya, namun bukan untuk menyelamatkannya. Jadi, lebih baik dia mengakhiri saja nyawanya. Berbaring dengan tenang dan tidur. Mengalah saja.

Namun, kakinya masih melangkah sambil tangannya meraba-raba dinding terowong itu. Nezumi mengukir senyuman paksa. Suara hatinya mendesak supaya dia mengalah, namun badannya masih berdegil. Menyusahkannya!

Aku ada masa lagi sejam. Mungkin setengah jam.

Nezumi hanya mempunyai masa selama 30 minit untuk bergerak dalam keadaannya begitu. Dia seharusnya menghentikan pendarahannya dan mencari tempat untuk berehat, supaya dia dapat kekal hidup.

Nezumi terasa udara di sekelilingnya mulai bergerak. Kegelapan di hadapan matanya sedikit demi sedikit mulai terang. Dia menapak perlahan-lahan dalam menahan kesakitan sehingga akhirnya dia keluar dari bahagian terowong yang gelap dan sempit ke sebuah kawasan yang lebih luas yang dikelilingi dengan dinding konkrit berwarna putih. Nezumi tahu yang yang dia telah tiba di kawasan terowong pembetungan yang telah digunakan sejak sepuluh tahun lalu. Kawasan bawah tanah No. 6 tidak diselenggarakan dengan baik berbanding dengan kawasan di atas permukaan. Kebanyakannya ditinggalkan dalam keadaan yang sama seperti abad sebelumnya. Terowong pembetungan ini juga ternyata telah lama ditinggalkan dan diabaikan. Nezumi menutup matanya rapat-rapat cuba membayangkan peta No. 6 seperti yang pernah dilihatnya di komputer.

Ada kemungkinan yang Nezumi sedang berada di satu laluan tinggalan K0210. Jika benar, maka laluan ini akan berhubung ke sebuah kawasan kediaman berpendapatan tinggi yang dikenali sebagai Chronos. Ia mungkin juga akan berakhir dengan jalan mati. Namun, jika dia mahu terus hidup, melalui laluan itu adalah satu-satunya pilihan yang dia ada. Pada ketika itu, Nezumi tidak mempunyai banyak pilihan dan banyak masa lagi.


Udara mulai bergerak lagi, bukan lagi udara lembap seperti tadi sebaliknya udara segar yang dingin. Dia tahu hujan lebat sedang turun di permukaan. Laluan itu sememangnya menghubungkan dunia di atasnya. Nezumi menarik nafas, menghidu bau hujan yang mendamaikan sedalam-dalamnya.

*****

7 September 2013 ialah hari jadi aku yang ke 12. Pada hari ini, angin taufan tropika yang terjana sejak seminggu yang lalu di kawasan barat daya Lautan Pasifik Utara, menghala ke utara hinggakan ia mula melanda kami di bandar No. 6.

Ianya memang hadiah hari lahir paling istimewa yang pernah aku terima dan aku memang sangat teruja. Jam baru saja melepasi pukul 4 petang, namun langit sudah mulai gelap. Pepohon di taman tunduk ditiup angin dan dahan-dahan kecil juga patah. Aku memang sangat suka mendengar bunyinya, sangat berbeza dengan suasana di kawasan kejiranan aku yang biasanya hanya senyap sunyi saja itu.

Ibuku lebih sukakan pokok-pokok kecil berbanding bunga dan dia amat bersemangat menanam pokok-pokok maple, almond dan camellia di halaman rumah kami. Hari ini, setiap pokok-pokok itu menghasilkan bunyi yang berbeza. Daun dan dahan yang patah terhempas ke cermin tingkap dan meluncur jatuh dibasahi hujan dan ditiup angin yang bertiup kencang.

Gatal tanganku hendak membuka tingkap bilikku itu. Angin yang kuat sekalipun tidak akan mampu meretakkan cermin tahan pecah dan di dalam bilik yang dikawal dengan alat pengawal atmosfera ini, kelembapan dan suhu akan kekal tidak berubah. Sebab itulah aku begitu ingin membuka tingkap bilikku. Angin luar dan hujan pasti akan meluncur masuk ke dalam bilikku, berbeza dari hari-hari kebiasaanku.

"Sion," suara ibu kedengaran di interkom. "Ibu harap kamu tak terfikir nak buka tingkap bilik kamu."
"Taklah." Aku membalas sedikit serba-salah.
"Baguslah... kamu dah dengar? Tanah rendah di West Block dah banjir. Teruk kan?"
Suara ibu langsung tidak seperti orang yang sedang takut.

Kawasan di No.6 dibahagikan kepada empat blok- Timur, Barat, Utara dan Selatan. Kebanyakan kawasan di blok Timur dan Selatan digunakan sebagai tanah pertanian yang menyumbang 60% makanan dari sumber tanaman dan 50% makanan dari sumber haiwan kepada No.6. Di utara pula, ialah kawasan perhutanan dan bukit-bukau yang terletak di bawah pengawasan Jawatankuasa Pentadbiran Pusat. Tanpa kebenaran jawatankuasa, tiada sesiapa pun dibenarkan memasuki kawasan itu. 

Sebenarnya, tak ada sesiapa pun yang mahu merayau-rayau dalam kawasan hutan liar begitu memandangkan
di tengah-tengah bandar, terdapat sebuah taman hutan rekreasi yang mengambil satu per enam dari seluruh kawasan keseluruhan bandar. Kebanyakan warganegara No.6 sudah begitu selesa dengan hidupan yang disediakan di dalam taman hutan itu. Tapi, berbeza dengan aku.

Aku paling tidak sukakan bangunan City Hall yang dibina di tengah-tengah taman hutan itu. Bangunan berbentuk kubah itu mempunyai 5 tingkat di bawah tanah dan 10 lagi di atasnya. Setiap kali aku memandang bangunan itu, terasa seperti ia mempunyai satu aura yang kurang menyenangkan. Sesetengah orang memanggilnya dengan nama 'The Moondrop' berdasarkan bentuknya yang bulat berwarna putih itu namun bagi aku ia kelihatan seperti kematu bulat di kulit manusia. Kematu yang mencacatkan pusat bandar ini. Di sekelilingnya pula terdapat bangunan seperti hospital dan bangunan Biro Keselamatan yang disambungkan dengan jalan-jalan yang kelihatan seperti paip gas.

Dan taman hutan pula mengelilingi bangunan-bangunan itu, kawasan untuk ketenangan dan kesemua kehidupan didalamnya; haiwan-haiwan dan tumbuhan diawasi melalui monitor setiap masa. Di sinilah, semua warganegara dapat melihat keindahan dan merasai damai alam melalui sistem servis bandar yang efisien. Namun, bukan di kala-kala ribut taufan seperti hari ini. 

Sebatang dahan yang berdaun hijau masih terlekat di tingkap bilikku diikuti dengan tiupan angin kencang meniup ke arah cermin tingkap. Tingkap kalis bunyi itu ternyata mematikan pendengaranku dengan suasana di luar sana. Aku mahu tingkap itu hilang dari pandanganku. Aku mahu mendengar dan merasai deruan angin di luar sana dan tanpa berfikir panjang, aku pantas membuka tingkap itu. Tiupan angin kencang mulai masuk ke dalam bilikku, deruman kuat yang sudah lama tidak kudengari. Aku sendiri mendepakan tanganku seluas-luasnya dan memekik kuat. Walaupun aku tahu suaraku itu tidak akan didengari sesiapa, namun aku masih menjerit tanpa sebarang alasan. Titisan hujan mulai masuk ke dalam tekakku. Aku tahu, aku sekarang bersikap keanakkan-anakkan, namun aku masih tidak mahu berhenti. Terasa seronok sekali jika aku dapat berlari-lari di dalam taufan ini. Aku membuka mulut sekali lagi, menelan beberapa titisan hujan yang jatuh dari langit. Aku mahu membebaskan apa yang terkurung di dalam diriku ini dan dalam masa yang sama aku berasa teruja dengan emosiku yang bercampur-baur. 

    Pecahkannya.
    Musnahkannya.
    Musnahkan apa?
    Segala-galanya.
    Segala-galanya?


Kedengaran bunyi amaran bergema, memberitahuku yang keadaan atmosfera bilikku telah berubah. Sebentar lagi, semua pintu dan tingkap akan ditutup dan dikunci secara automatik. Alat kawalan kelembapan dan suhu akan mula berfungsi, dan kesemua benda-benda yang basah termasuklah aku akan dikeringkan dengan sekelip mata. Aku menyeka wajahku membuang sisa air hujan yang tertinggal dan berjalan ke arah pintu untuk menutup sistem pengawalan udara dengan segera.

Kadangkala, aku pasti akan terfikir. Katakanlah pada waktu itu, aku mengabaikan bunyi amaran itu? Kalaulah aku memilih untuk menutup tingkap itu, kehidupanku pasti akan berbeza. Aku bukanlah menyesal, namun ia hanyalah sekadar lintasan pemikiran. Kehidupanku yang selama ini terkawal, kini telah berubah hanya kerana satu insiden kecil - hanya kerana pada hari lahirku yang ke 12 itu aku telah membuka tingkap bilikku ketika ribut taufan sedang melanda.

Walaupun aku seorang yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, namun kadang-kala aku juga percayakan pada satu istilah 'Divine Hand'.

Aku menutup bunyi amaran dan bilikku beransur senyap. Yang kedengaran hanyalah deruan angin semata-mata. Tingkap bilikku masih terbuka luas.

Heh

Aku seperti terdengar suara ketawa yang sayup-sayup di belakangku. Perlahan-lahan aku berpusing ke belakang, dan menjerit kecil melihat seorang budak lelaki sedang berdiri dalam keadaan yang basah kuyup. Aku mengambil masa yang agak lama  untuk menyedari yang budak itu ialah seorang lelaki. Dia mempunyai rambut separas bahu yang menutup sebahagian wajah kecilnya. Leher dan lengannya kelihatan sangat kurus. Aku masih belum pasti samada dia ialah seorang lelaki atau perempuan ataupun samada dia seorang yang sangat muda atau usianya lebih tua dari wajahnya kerana mataku hanya terfokus pada bahu kirinya yang kelihatan merah melekit-lekit itu.


Ianya berwarna seperti darah. Aku masih belum pernah melihat seseorang berdarah seperti itu dan tanpa disedari tanganku bergerak mencapai ke arahnya. Budak itu berundur ke belakang sedikit sebaik sahaja hujung jariku ingin menyentuhnya, namun pada ketika itu aku terasa seperti badanku tertolak dan dihempaskan ke dinding dengan kasar. Leherku terasa dingin seperti ais dan aku dapat melihat lima batang jari yang kurus namun kuat sedang mencengkamnya. 

"Jangan bergerak!" Katanya.

"Kau langsung tak tanya siapa aku."

"Oh ya. Tapi, aku pun masih belum perkenalkan diri juga."

"Sion, kan? Macam nama bunga."

"Ya. Ibu aku suka pokok dan bunga liar. Kau pulak?"

"Nezumi. (bermaksud 'tikus' dalam bahasa Jepun) "

"Huh?"

"Nama aku."

"Nezumi... takkanlah."

"Takkanlah apa?"

Warna anak matanya bukanlah warna mata seekor tikus. Ianya lebih elegan, seperti... seperti warna langit sebelum subuh - memang nampak seperti itu, kan? Seketika kemudian, wajahku mula merona merah, malu apabila menyedari yang aku berfikir seperti seorang pemuisi. Sengaja aku meninggikan nada suaraku kemudian.

"Okey, aku dah nak mula ni."

Aku cuba mengingati teknik asas jahitan. Jariku menggeletar hebat. Nezumi hanya memandang pergerakan jari jemariku tanpa suara. Aku memang gementar, namun berasa teruja juga. Aku mengaplikasikan pengetahuan buku teksku dan ianya memang menyeronokkan.

Jahitanku telah siap sempurna. Aku menekan sehelai kain kasa ke atas lukanya dengan lembut. Setitik peluh mula merecik di dahiku.

"Kau ni memang bijak." Dahi Nezumi juga dibasahi peluh.

"Aku memang bagus dengan tangan aku."

"Bukan tangan saja. Otak kau pun pintar juga. Umur kau baru 12 tahun kan?" Dan kau berjaya memasuki kurikulum istimewa tu. Kau ni memang super elit."

Kali ini, kata-katanya tidak lagi berbaur sindiran seperti tadi. Aku mula menyimpan semula peralatan yang digunakan dengan senyap.

10 tahun lalu, aku mendapat pangkat tertinggi di dalam peperiksaan kecerdasan untuk kanak-kanak berusia 2 tahun. Bandar ini menyediakan pendidikan terbaik untuk pemegang pangkat tertinggi di dalam kemahiran dan kebolehan atletik. Aku menghadiri kelas-kelas yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan terbaik dan terbaru bersama-sama rakan sekelas yang sama denganku. Kami diserapkan ke dalam bidang-bidang pengkhususan yang bersesuaian dan masa depanku amat terjamin. Sekurang-kurangnya, begitulah perkara yang sepatutnya.

"Katil kau ni nampak selesa." Nezumi berkata perlahan, masih bersandar padanya.

"Kau boleh guna. Tapi, tukar baju kau dulu."

Aku meletakkan sehelai pakaian bersih, sehelai tuala dan sebuah kotak antibiotik ke atas riba Nezumi. Kemudian, aku terus membancuh koko di satu sudut di dalam bilikku.

"Kau ni memang tak pandai berfesyen." Nezumi berkata sambil memandang ke arah bajuku.

"Lebih baik dari baju kau yang kotor dan penuh darah tu, kan?"

Aku menghulurkan sebiji gelas berisi koko hangat dan untuk pertama kalinya aku melihat sinar emosi di mata kelabunya. Dia kelihatan gembira. Nezumi menghirup kokonya dan bergumam perlahan - sedapnya.

"Bagus rasanya. Lebih baik dari jahitan kau."

"Mana adil buat perbandingan macam tu. Untuk pertama kali, aku rasa jahitan aku boleh tahanlah."

"Kau ni memang selalu macam ni ke?" Dia menyoal.

"Huh?"

"Kau selalu biarkan diri kau terbuka macam ni? Ataupun kau memang langsung tak boleh rasa bahaya?" Nezumi menyambung masih memegang cawan kokonya dengan kedua-dua belah tangan. "Kau boleh berbaik-baik dengan penceroboh rumah kau tanpa rasa apa-apa?"

"Aku memang terasa bahaya. Takut juga. Aku memang takut dengan benda-benda yang bahaya dan aku tak mahu terlibat dengannya. Aku memang naif sebab percaya pada orang yang menceroboh masuk melalui tingkap bilik aku."

"Habis tu, kenapa?"

Dia memang betul! Kenapa agaknya? Kenapa aku merawat kecederaan si penceroboh ini, malah memberinya koko hangat di dalam bilikku? Aku bukanlah seorang yang kejam, tapi aku juga bukanlah seorang yang begitu baik hati dan pemurah untuk membantu setiap orang yang tercedera. Aku bukanlah  angel dan aku benci berdepan dengan sesuatu yang kurang menyenangkan. Tapi, kenapa aku menerima penceroboh ini? Kalaulah pihak berkuasa tahu, aku memang akan ditimpa masalah. Mereka akan melihat aku sebagai seseorang yang tidak mempunyai pertimbangan yang rasional. Kalaulah ini berlaku...

Mataku tertancap pada mata kelabunya itu. Matanya seperti dapat melihat keseluruhan diriku, setiap perkara yang aku fikir dan dia sedang mengetawakan aku. Aku mengetap bibir dan memandangnya lagi.

"Kalau badan kau besar dan agresif, memang aku akan bunyikan penggera tu. Tapi, kau sangat kecil dan nampak macam perempuan yang akan jatuh pengsan. Jadi... jadi aku patut tolong kau. Dan..."

"Dan?"

Dan warna mata kau memang aneh, warna yang aku belum pernah tengok sebelum ni. Dan aku amat tertarik padanya.

"Dan... Aku selalu nak tahu macam mana rasanya kalau boleh menjahit di badan manusia."

Nezumi sekadar mengangkat bahu dan menghabiskan kokonya. Selepas mengesat bibirnya dengan belakang tangan, dia mula memegang cadar katilku.

"Betul aku boleh tidur kat sini?"

"Boleh."

"Terima kasih."

Itulah ucapan terima kasih pertamanya sejak dia masuk ke bilikku.

Ibu sedang duduk di sofa di ruang tamu sambil merenung ke arah skrin televisyen nipis yang terlekat di dinding. Dia sedar dengan kehadiranku dan menunjuk ke arah skrin yang memaparkan seorang pembaca berita wanita berambut panjang yang lurus sedang memberikan amaran kepada semua penghuni Chronos.

"Seorang tahanan telah lari dari Pusat Pemulihan yang terletak di West Block, dan pernah dilihat melarikan diri ke kawasan Chronos. Kawasan tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan perintah berkurung sepanjang malam turut dikeluarkan. Setiap penghuni Chronos adalah dilarang keluar dari rumah masing-masing melainkan kecemasan."

Wajah Nezumi mula terpapar di skrin televisyen dan perkataan "VC103221" yang berwarna merah menyala tertulis di bawahnya.

"VC.."

Aku menyuapkan sesudu penuh kek ceri ke dalam mulutku. Saban tahun, ibu pasti akan membakar kek ceri pada hari jadiku hanya disebabkan ayahku telah membawa pulang kek ceri ke rumah pada hari aku dilahirkan.

Ibu pernah bercerita tentang ayah - seseorang yang tidak lagi dapat diharapkan sebagai ketua keluarga kerana begitu memanjakan dirinya dengan kemewahan duniawi, wanita dan juga arak. Dia pulang pada satu hari dalam keadaan mabuk dan membawa pulang tiga biji kek ceri yang amat sedap kerana ibu sentiasa mengingati rasanya pada tarikh 7 September setiap tahun. Malangnya, aku pula langsung tidak mengingati ayahku itu. Namun, ianya bukanlah satu perkara yang teruk kerana selepas aku diiktiraf sebagai seorang yang berpangkat tinggi di dalam peperiksaan, aku dan ibu dianugerahkan keistimewaan untuk tinggal di Chronos, lengkap dengan insurans termasuk rumah yang aku diami sekarang ini.

"Saya baru teringat yang saya masih belum hidupkan sistem sekuriti di halaman. Kalau biarkan begitu, tak ada apa-apa masalah kan?" Aku menyoal.

Ibu bangkit perlahan-lahan. Sejak akhir-akhir ini, berat badannya semakin bertambah dan nampaknya dia memerlukan sedikit usaha untuk bergerak sekarang.

"Benda tu memang menyusahkan. Kucing lompat atas pagar pun, penggera akan berbunyi dan Biro Sekuriti akan terus datang ke sini. Menyusahkan!"

Nampaknya ibu semakin gemar menggunakan perkataan 'menyusahkan' sejak akhir-akhir ini.

"Tapi, kamu tengoklah budak tu. Dia masih muda tapi sudah jadi seorang VC... apa agaknya kesalahan dia?"

VC. Cip V. Ianya adalah nama pendek bagi Violence-Chip, yang pada asalnya ialah satu istilah yang digunakan di Amerika Syarikat untuk bahan semikonduktor yang digunakan untuk menapis kandungan televisyen. Cip ini digunakan untuk menapis dan tidak memaparkan sebarang bentuk tayangan yang ganas ataupun mengganggu para penonton. Kalau tak silap aku, istilah ini pertama kali digunakan dalam Akta Telekomunikasi 1996.

Tapi, di No. 6, istilah VC ini mempunyai maksud yang lebih berat. Cip ini akan diimplan ke dalam badan penjenayah yang disabitkan dengan kesalahan membunuh, cubaan membunuh, menyerang dan jenayah keganasan yang lain bagi membolehkan sistem komputer mengesan kedudukan, keadaan dan emosi mereka. VC ialah satu istilah yang digunakan untuk penjenayah ganas (violent criminals).

Tapi, macam mana dia keluarkan cip tu?

Kalaulah VC masih berada di dalam badan Nezumi, sistem pengesan akan dapat mengesan lokasinya dengan mudah. Dia dapat diberkas dengan segera tanpa sesiapa pun yang perasan. Adakah ini bermaksud mereka masih belum dapat mengesan jejaknya?

Atau mungkinkah luka peluru tu yang ....? Tak, tak mungkin.

Aku memang belum pernah melihat luka peluru di badan manusia sebelum ini, tapi aku tahu yang peluru itu ditembak dari jarah yang agak jauh. Kalaulah dia sendiri yang menembak cip itu di bahunya sendiri, kecederaannya pasti lebih serius dan ada kesan melecur seperti terbakar di kulitnya. Lebih serius dari lukanya sekarang.

"Agak bosan hari istimewa kamu ni kan?"

Ibu mengeluh berat sambil menaburkan serpihan parsely ke dalam periuk stew di atas meja. "Bosan" juga ialah satu lagi perkataan yang selalu digunakan ibu sejak akhir-akhir ini.

Aku dan ibu memang serupa. Kami berdua memang kurang sensitif dan tidak begitu gemar bersosial. Orang-orang di sekeliling kami memang baik, terlalu baik hinggakan kami ketiadaan komen negatif untuk memperkatakan tentang mereka. Kawan-kawan sekelasku dan penduduk di sekitar kami amat ramah, bijak dan bersikap sempurna. Tiada sesiapa pun yang akan meninggikan suara untuk menghina atau melayan orang lain dengan kurang sopan. Setiap orang menikmati kehidupan yang sihat hinggakan aku jarang dapat melihat mereka-mereka yang berbadan sedikit gempal seperti ibuku. Di dalam dunia kami yang aman, stabil dan sekata ini, semua orang kelihatan sama dan serupa, hinggakan aku mula merasakan kehadiran orang asing dalam hidupku amat tidak menyenangkan.
      Pecahkannya. 
      Musnahkannya.
      Musnahkan apa?
      Segala-galanya.
      Segala-galanya?

Sudu yang berada di dalam tanganku tiba-tiba sahaja terlepas ke lantai.

"Kenapa? Jauhnya kamu mengelamun."

Ibu merenungku dengan pandangan mata yang penuh tanda tanya. Bibirnya menguntum senyuman. "Jarang kamu mengelamun macam ni, Sion. Kamu nak ibu basuh sudu kamu?"

"Tak perlu." Aku membalas senyumannya. Jantungku berdegup begitu kencang hinggakan aku terasa sukar untuk bernafas. Aku meneguk air mineral dengan sekali telan sahaja.

Luka peluru, darah, VC, mata berwarna kelabu. Apa semua ni? Benda ini tak pernah wujud dalam hidup aku pun selama ni. Kenapa tiba-tiba saja ia datang menceroboh kehidupan aku yang aman damai ini?

Aku mulai berfirasat sesuatu akan berlaku dan mengubah segala-galanya. Seperti virus yang menceroboh ke dalam sel, bermutasi di dalamnya dan memusnahkan semuanya, aku mula merasakan yang duniaku akan berubah menjadi kucar-kacir dan dihancurkan.

"Sion, kenapa dengan kamu ni?" Ibu menyoal sambil memandang wajahku semula, mengambil berat.

"Maafkan saya, ibu. Laporan yang saya kena buat sekarang ni buat saya terganggu. Saya nak makan dalam bilik, ya." Aku berbohong dan terus bangun.

"Jangan buka lampu." Satu suara yang rendah memberi arahan sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilikku. Aku memang tidak sukakan kegelapan, sebab itulah aku membiarkan lampu bilikku selalu terpasang. Namun sekarang ianya amat gelap gelita.

"Aku tak boleh nampak apa-apalah."

"Tak nampak pun tak apa."

Tapi kalau aku tidak dapat melihat, aku tidak dapat bergerak. Aku berdiri dengan senyap di muka pintu bersama-sama sedulang stew dan kek ceri di tangan.

"Bau macam sedap."

"Aku bawakan kau stew dan kek ceri."

Dalam kegelapan itu aku dapat mendengar keluhan leganya.

"Nak tak?"

"Mestilah."

"Kau nak makan dalam gelap ni?"

"Yalah."

Aku berjalan perlahan-lahan dengan penuh hati-hati ke hadapan dan aku dapat mendengar suara ketawa Nezumi yang kedengaran sinis.

"Dalam bilik sendiri pun tak tau jalan ke?"

"Aku ni bukannya nokturnal (sifat haiwan yang aktif pada waktu malam dan tidur pada waktu siang). Kau tu pun boleh ke nampak dalam gelap?"

"Aku kan tikus. Mestilah aku boleh."

"VC 103221"

Dalam kegelapan itu, aku dapat mendengar Nezumi seperti terkejut.

"Kau masuk dalam berita. Terkenal juga kau, ya."

"Tapi aku nampak lebih segak di luar kan? Hei, kek ni macam sedap."

Mataku kini semakin biasa dengan kegelapan. Aku duduk di atas katil dan mengerling ke arah Nezumi. "Mestilah." Kataku.

"Apa yang kau buat dengan cip tu?" Aku menyoalnya.

"Masih dalam badan aku."

"Kau nak aku tolong keluarkan ke?"

"Pembedahan lagi? Tak payahlah. Terima kasih saja."

"Tapi..."

"Tak kisahlah. Benda ni dah tak guna lagi."

"Apa maksud kau?"

"VC ni macam satu alat mainan je. Kacang je kalau nak buang."

"Permainan, huh?"

"Ya, permainan. Biar aku beritahu kau satu benda lagi. Bandar ni pun macam permainan jugak. Permainan murah yang cuma nampak cantik kat luar saja."

Nezumi telah pun menghabiskan kek dan stewnya dan dia sendawa kekenyangan.

"Kau yakin kau boleh lepas?"

"Mestilah."

"Tapi, kat sini ada banyak sistem pemeriksaan keselamatan yang ketat untuk mereka yang tidak berdaftar."

"Kau fikir macam tu? Sistem bandar ni bukanlah sempurna sangat.

"Kenapa kau boleh cakap macam tu?"

"Sebab aku ni bukanlah sebahagian daripada sistem tu. Kamu semua ni dah diprogram untuk percaya yang tempat ni bagaikan utopia yang sempurna. Atau mungkin kamu semua sendiri memang nak percaya macam tu."

"Aku tak percaya."

"Huh?"

"Aku tak rasa tempat ni sempurna." Laju saja ayat itu meluncur keluar dari mulutku. Nezumi segera terdiam. Di hadapanku ini aku hanya nampak kegelapan dan aku langsung tidak dapat merasai kehadirannya. Dia memang betul. Dia memang seperti seekor tikus, haiwan malam yang pandai menyembunyikan dirinya di dalam kegelapan.

"Kau ni pelik." Dia berkata dengan nada suara yang lebih perlahan dari tadi.

"Ye ke?"

"Betul. Benda ni bukan sesuatu yang seseorang elit macam kau akan katakan. Kau tak rasa kau akan ditimpa masalah kalau pihak berkuasa dapat tahu?"

"Ya. Masalah besar tu."

"Kau menerima VC yang melarikan diri di rumah kau dan kau tak laporkan pada biro. Kalau mereka dapat tahu, kau memang akan kena. Mereka takkan lepaskan kau."

"Aku tahu."

Nezumi tiba-tiba sahaja menyentap tanganku dan jemarinya yang kurus itu terasa menusuk ke lenganku.

"Kau ni biar betul. Otak kau ni bermasalah ke? Maksud aku, kalau jadi apa-apa pada kau, ianya bukan masalah aku. Tapi, kalau kau dihapuskan disebabkan aku, aku tak sukalah. Aku rasa macam aku pulak yang buat benda tak baik..."

"Baiknya kau fikir macam tu."

"Mama selalu beritahu aku, jangan susahkan orang lain." Katanya.

"Habis tu, kau nak pergi ke?" Aku pula menyoal.

"Tak nak. Aku penat dan kat luar tu ada ribut taufan. Aku nak tidur di sini, atas katil kau ni."

"Kau ni, fikirlah betul-betul."

"Papa pernah beritahu aku jangan campur adukkan sikap dengan perasaan aku."

"Bunyinya macam ayah yang hebat."

Jarinya dileraikan dari lenganku. "Rasanya aku bernasib baik sebab kau ni pelik." Dia berkata dengan lembut.

"Nezumi?"

"Hm?"

"Macam mana kau sampai ke Chronos?"

"Rahsia."

"Kau lari dari Pusat Pemulihan dan masuk ke bandar ni? Rasa macam mustahil saja."

"Kenapa pulak mustahil?. Tapi, aku bukannya masuk ke No. 6 sendiri. Ada orang yang bawa aku. Macamlah aku nak masuk sangat ke sini.

"Bawa kau masuk?"

"Ya. Kau boleh anggap aku ni macam dihantar ke sini."

"Dihantar? Oleh polis ke? Pergi ke mana?"

Pusat Pemulihan terletak di West Block, sebuah zon yang mempunyai tahap pemeriksaan keselamatan yang amat ketat. Sesiapa saja yang berhajat hendak memasuki No. 6 melalui West Block perlu memohon kebenaran daripada biro. Sesiapa yang mempunyai permit kemasukan khas memang dibenarkan keluar masuk sesuka hati, namun aku dengar untuk permohonan baru, mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sebulan untuk borang mereka diterima dan diproses -  dan selalunya hanya kurang dari sepuluh peratus permohonan sahaja yang diluluskan. Mereka juga tidak dibenarkan berada terlalu lama di dalam bandar ini.

Semakin lama, semakin ramai orang berkumpul di West Block menanti permit mereka diproses hinggakan semakin banyak penempatan di bina untuk mereka. Semakin ramai juga orang yang bekerja dan memulakan perniagaan di situ selepas itu. Aku sendiri masih belum pernah ke West Block tetapi aku dengar yang ianya adalah tempat yang agak sibuk. Kadar jenayah di situ amat tinggi dan kebanyakan VC yang memenuhi penjara-penjara di Pusat pemulihan adalah penduduk dari West Block. Kadar hukuman penjenayah dijatuhkan berdasarkan faktor usia, samada penjenayah itu pernah melakukan jenayah pada masa lepas, dan jenis kesalahan yang dilakukan. Tiada hukuman mati akan dikenakan. West Block ini bagiku bertindak bagaikan sebuah kubu yang mengurung manusia-manusia yang berpotensi untuk melakukan jenayah dan mereka ini dihalang dari memasuki bandar. Untuk seorang VC diiring dari West Block memasuki bandar ini - ke mana agaknya mereka akan dibawa? Dan atas sebab apa?

Nezumi merangkak ke atas katilku. "Mungkin ke Moondrop." Katanya.

"City Hall! Tengah-tengah bandar? Tapi kenapa?" Aku hampir menjerit.

"Aku tak nak bagitahu. Lebih baik kau tak tahu."

"Kenapa pulak?"

"Aku penat ni. Biar aku tidur."

"Kenapa kau tak boleh beritahu aku?" Aku tidak berpuas hati.

"Boleh kau jamin yang kau akan lupakan segala-galanya yang kau dengar? Atau pura-pura kau tak pernah dengar? Menipu semua orang yang kau langsung tak tahu apa-apa? Kau mungkin bijak, tapi kau bukannya orang dewasa. Kau takkan pandai menipu."

"Rasanyalah, tapi..."

"Jadi, jangan tanya aku lagi. Sebagai balasan, aku juga takkan bagitahu orang lain pasal apa yang kau buat tadi."

"Huh? Pasal apa?"

"Pasal kau jerit kuat-kuat ke luar tingkap tadi."

Dia dah nampak aku tadi. Aku dapat rasakan wajahku kini merona merah kerana malu.

"Kau memang buat aku terkejut. Aku curi-curi masuk ke halaman rumah kau dan baru saja nak fikir apa nak buat lepas tu, bila tiba-tiba tingkap terbuka dan kau menjengah ke luar."

"Hei, nanti dulu-"

"Aku tengok je apa yang kau nak buat lepas tu. Bila kau mula menjerit, aku terkejut lagi. Rasanya aku tak pernah tengok orang menjerit kuat sambil buat muka macam..."

"Diamlah!"

Aku menerkam ke arah Nezumi, tetapi aku hanya terjatuh ke atas bantal di atas katilku. Dalam sekelip mata, Nezumi terus bergerak. Dia memasukkan tangannya di bawah lenganku, dan dengan sekali kilas saja, aku kini terbaring menelentang di atas katil. Nezumi menindih badanku dan menekan kedua-dua tanganku ke atas dengan sebelah tangannya sahaja. Kedua-dua kakinya menekan pinggulku rapat supaya aku tidak lagi dapat bergerak. Dalam sekelip mata, aku dapat rasakan seluruh kakiku menjadi kebas hingga ke ibu jari kaki. Dia memang hebat. Sekejap sahaja aku sudah terperangkap dan tidak dapat bergerak di atas katilku sendiri. Dengan menggunakan sebelah tangannya lagi, dia mengambil sudu di dalam mangkuk stew yang telah kosong dan menekan pemegangnya di tekakku, dan menggerakkannya bagaikan hendak mengelar leherku. Dia kemudian tunduk supaya bibirnya berada dekat dengan telingaku.

"Kalaulah benda yang aku pegang ni ialah pisau, kau dah mati sekarang." Dia berbisik.

Aku menelan air liurku. Hebat!

"Kau memang hebat."

"Huh?"

"Macam mana kau lumpuhkan badan aku dengan senang? Kau tekan mana-mana urat saraf aku ke?"

Dia mula melonggarkan anggota bandannya yang menekan tubuhku itu sedikit sebelum akhirnya dia merebahkan badannya ke atas badanku, menggeletar - dan ketawa.

"Aku memang tak percaya. Kau ni memang kelakar. Naif pulak tu." Katanya.

Aku mula menggerakkan tanganku dan membalut badan Nezumi. Tanganku menyentuh bahagian belakangnya dan aku dapat rasakan badannya amat panas dan sedikit berpeluh.

"Dah agak dah... kau ni demam. Kau patut makan antibiotik." 

"Aku tak apa-apa. Aku cuma nak tidur."

"Tapi demam kau akan teruk nanti. Badan kau panas sangat."

"Badan kau pun panas juga." Katanya. Nezumi menarik nafas dalam-dalam, dan bermonolog sendiri di bawah nafasnya.

"Manusia yang hidup memang hangat."

Tubuhnya kaku dan tidak lama kemudian aku dapat mendengar bunyi dengkuran halus darinya. Aku juga akhirnya terlena dengan tubuhnya yang masih berada di dalam pelukanku.

Apabila aku terjaga keesokan harinya, Nezumi sudah menghilang bersama-sama baju yang kuberikan padanya, tuala dan kotak kecemasan.

-bersambung-

No comments: