Friday, February 11, 2011

[HMDC] 03 - The Sixth Sense

Aku menolak pintu pagar perlahan-lahan dengan langkah yang longlai dan masuk ke halaman. Aku tiba di depan pintu lalu menekan loceng beberapa kali. Hotaru yang membuka pintu tersenyum, seperti sedang menanti suaminya pulang dari pejabat. Namun senyumannya terus mati sesaat kemudian.

Aku melangkah masuk ke dalam dan menanggalkan kasutku di tempat meletakkan kasut. Kakiku lembik dan aku jatuh terjelupuk di meja kotatsu dengan nafas yang berat.

"Kenapa kau ni? Kau jumpa hantu kat luar tadi ke?" soal Hotaru kuat. Aku cuba menjawab termengah-mengah. Seperti memahami keadaanku, Hotaru berlari ke dapur dan mengambil segelas air sejuk. Aku meneguknya sehingga habis.

"Aku... aku rasa aku dah bunuh orang." jawabku membuatkan mata Hotaru terbeliak besar.

"Hah? Ulang sekali lagi."

Tanpa berlengah, aku menceritakan segalanya dari A ke Z tentang apa yang berlaku kepadaku tadi. Hotaru mendengar tanpa mencelah sedikit pun. Sebaik sahaja aku selesai bercerita, dia mula bertanyakan soalan seperti sedang menyoal-siasatku. Maklumlah, Hotaru ni pelajar jurusan undang-undang.

"Kau betul-betul pasti ke dia dah mati?"

Aku menggeleng. "Tak tahulah. Tapi, aku pukul dia macam orang gila tadi, ada kemungkinan juga. Muka dia macam muka budak-budak, entah-entah budak sekolah."

"Hemm.. teruk ni. Mungkin kita patut report polis dulu." cadang Hotaru menyebabkan mataku terbuntang luas.

"Mana boleh! Kalau dia betul-betul mati, akulah yang kena tangkap nanti." balasku sedikit panik. "Tapi, kalau aku dituduh membunuh, kau boleh bela aku kan?" soalku kepada Hotaru.

"Gila kau. Aku ni pelajar lagi, bukannya peguam. Lagipun peperiksaan bar pun aku tak ambil lagi, tau." kata Hotaru. Dia menyandarkan badannya ke sisi meja kotatsu.

Peduli apa aku dengan peperiksaan bar! 

Aku mengeluh kecil lalu bangun. "Nak ke mana pulak tu?" soal Hotaru lantang.

"Bilik akulah. Nak tukar baju. Kau nak tengok ke?" sempat lagi aku membuat loyar buruk sebelum masuk ke bilik.

Bilikku di tingkat dua, bersaiz sederhana dan bercat hijau epal. Di sekeliling dinding bilikku penuh tertampal poster-poster anime kegemaranku yang membuatkanku ceria sepanjang hari. Penat mamaku menasihatiku supaya meninggalkan dunia anime memandangkan aku sudah menjangkau usia 20-an, namun seperti biasa aku memang keras kepala.

Aku menyeluk tanganku di dalam poket cardiganku. Kosong, membuatkanku terfikirkan sesuatu. Aku kemudian menyeluk poket seluarku pula. Juga kosong. Serentak dengan itu, aku menjerit kuat dan berlari-lari anak turun ke ruang tamu.

Hotaru memandangku terperanjat. Nasib baik dia bukan penghidap penyakit jantung.

"Dompet aku dah hilang." kataku terketar-ketar.

"Mana kau letak?" Hotaru menyoal.

Ishh budak ni. Kalau aku tahu kat mana, tak adalah aku panik sebegini. Aku yakin benar aku ada membawa dompetku tadi.

"Mungkin jatuh di tengah jalan." kataku.

Penat aku memujuk Hotaru mengikutku keluar semula untuk mencari dompetku. Aku berjalan pantas melihat kiri dan kanan cuba mengesan dompetku itu. Alangkah bagusnya kalau Doraemon  betul-betul wujud! Bolehlah dia keluarkan alat untuk mengesan barang hilang.

Dalam hati aku berdoa semoga aku akan berjumpa kembali dompetku. Habislah, kalau dompetku terjatuh di tempat tadi.

Aku dan Hotaru berjalan sambil disuluh lampu jalan yang agak terang. Kupandang wajah Hotaru. Dia tidak kelihatan secemas aku, tetapi nampak juga kerisauan di hatinya. Baiknya hati kau, Hotaru.

Akhirnya, kami tiba di kawasan aku melakukan 'pembunuhan'ku itu. Alamak... lelaki tu dah tak ada di sini. Kemungkinan besar pihak polis sudah mengangkut mayatnya pergi, ataupun dia sendiri (yang masih hidup) berjalan pergi. Betapa aku berharap yang kemungkinan kedua adalah lebih tepat. Sekurang-kurangnya jumlah kerisauanku akan berkurangan.

"Aku nak balik." kataku tiba-tiba membuatkan Hotaru tertoleh.

"Dompet kau macam mana?" tanya gadis itu.

"Tak apa. Aku akan beritahu polis nanti." kataku sambil memandang sekeliling. Entah kenapa aku berasa tak sedap hati. Macam ada orang sedang memerhati. Aku yakin dengan naluriku. Abahku pernah berkata yang aku boleh percayakan naluriku 90%. Macam sixth sense.

Aku mengheret Hotaru dengan cepat balik ke rumah. Dia hanya menurut tanpa banyak kerenah.


Sesampai di ruang tamu, aku mengeluh lega. Cardigan merahku kutanggalkan dan dicampakkan ke lantai walaupun aku ni bukannya jenis orang yang sesuka hati meninggalkan barang-barangku di merata-rata tempat.

Kepalaku kulentokkan di atas meja kotatsu.


"Kau okey?" tanya Hotaru yang duduk di sebelahku. Bahuku dipegang lembut.


Penipu besarlah kalau aku kata aku memang okey sampai boleh menari-nari kegembiraan pada waktu macam ni, tapi untuk menyedapkan hati Hotaru dan juga hati aku, kepala ini kuanggukkan juga.


Hotaru kemudian menghilangkan diri ke dapur. Dapat kudengar bunyi 'keting-ketang' yang biasa dibuat oleh Hotaru sewaktu bekerja di dapur. Dia memang bukannya perempuan yang biasa buat kerja di dapur. Aku pasti di rumah keluarganya, orang-orang gaji dialah yang akan membuat semua kerja.


Ibu bapa Hotaru memang tidak membenarkan anak perempuan tunggal kesayangan mereka ini tinggal di rumah sewa. Mereka lebih rela menyuruh pemandu peribadi menghantar dan mengambil Hotaru di universiti, tetapi dibantah keras oleh Hotaru. Mahu berdikari katanya. Ibu bapanya terpaksa mengalah dengan bersyarat. Hotaru mestilah berteman dan tidak boleh tinggal di pangsapuri murahan. Dan, akulah teman yang bernasib baik itu.


Hotaru datang semula membawa semangkuk limau yang diberikan oleh jiran sebelah rumah semalam dan dua gelas koko panas dan diletakkan di atas meja kotatsu. Kakiku yang kebas berjalan itu kulunjurkan di bawah meja menikmati udara hangat yang dikeluarkan oleh alat pemanas itu.


Kami bersama-sama menikmati 'makan malam' kami, tanpa cuba memikirkan kerisauan kronik yang semakin bersarang di hatiku ini.


4 comments:

CI_ said...

Berhati-hati dengan ejaan...

=)

Ilyanie Khuszairy said...

sebelum aku ke next chapter, biar aku teka. lelaki yg kene blasah tu sebenarnye nak bg dompet si kagari tu kan?haha.. sian die..

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

gehehehhh... salah!!

Unknown said...

itu yg saya rasakan.. cian betul laki tu.. bila cuba berbuat baik lain jadinya.. hihihi