Saturday, May 28, 2011

[CPoA] 4 : Bestfriends


Yuna berjalan memasuki Parfee Cafe sambil tersenyum. Hero menghadiahkannya senyuman lalu mengucapkan selamat datang seperti biasa kepada gadis itu. Yuna merenung Hero sambil tersenyum membuatkan lelaki itu tertunduk sedikit. Direnung oleh gadis yang luar biasa cantiknya seperti Yuna membuatkan hatinya menjadi kecut. Hero pantas menunjukkan sebuah meja kepada Yuna.

Dia duduk sambil memandang ke arah Wing yang sedang tekun mengisar biji kopi di kaunter minuman. Wing nampaknya tidak menyedari kehadiran gadis itu. Namun seketika kemudian, apabila dia mengangkat kepala, jantungnya hampir terhenti apabila terpandang gadis itu sedang menongkat dagu memerhatikannya di meja. Wing seperti biasa kelihatan tenang dan dapat mengawal riak di wajahnya walaupun hanya tuhan sajalah yang tahu perasaan di hatnya ketika itu. Wing mengangkat tangannya lalu dibalas mesra oleh Yuna.

"Makin maju kafe ni. Aku nampak muka budak baru." Kata Yuna sebaik sahaja Wing berjalan menghampirinya. Mata mereka mengerling ke arah Hero. 

"Ya. Dia baru masuk tiga hari lepas." Jawab Wing.

"Cik Yuna, awak dah balik rupanya!" Shun menegur Yuna dengan ceria. Vince yang berjalan disebelahnya hanya mengangguk kecil kepada Yuna sebelum kembali menyambung kerjanya. Dia nampaknya kurang berminat untuk berbual dengan bintang terkenal itu. Yuna ketawa.

"Baru semalam. Wing lah yang ambil saya dari airport."

Wing tersenyum. "Kau nak minum apa? Kami belanja hari ni."

"Aku datang nak jumpa Zarique. Lama tak jumpa dia, rindunya." Kata Yuna sekaligus membuatkan senyuman di bibir Wing mati. Yuna mengerling ke arah lelaki itu seketika. "Boleh tolong panggilkan dia, Wing?"

"Okey." Wing senyum semula. Rasa cemburu di hati cuba dibuang jauh-jauh. Dia berjalan ke arah belakang kedai dan menghampiri Zarique yang sedang merokok sambil bersandar rapat pada dinding.

"Ada orang nak jumpa kau kat depan. Pergilah." Beritahu Wing membuatkan Zarique kehairanan. Selama ini tiada sesiapa pun yang mahu berjumpa dengannya. Dalam kafe itu, dialah yang paling kurang popular di kalangan pelanggan. Zarique memijak puntung rokoknya sebelum berjalan masuk semula ke kedai menuju ke ruang hadapan. Namun langkahnya mati apabila dia terpandang Yuna yang sedang duduk berbual dengan Shun dan Hero.

"Yuna?" Dia menegur. Gadis itu menoleh lalu tersenyum lebar. Dia bingkas berdiri dari kerusi dan berjalan menghampiri Zarique yang berdiri tercegat seperti tunggul. Yuna terus mendepakan tangan dan merangkul leher Zarique lalu merapatkan tubuhnya ke badan lelaki itu.

"Aku rindukan kau, Zarique." Kata Yuna kuat. Dia mengerling tajam ke arah Wing yang muncul dari belakang kedai di belakang Zarique. Wing hanya mampu mengetap bibirnya sambil menoleh memandang ke arah lain.

"Cik Yuna tu, girlfriend Zarique ke? Mamat mulut sengal tu boleh dapat girlfriend cantik macam tu jugak?" Hero menempelak. Dia terasa bagaikan sedang menonton drama di televisyen.

Namun Zarique menolak tubuh Yuna, tidak mahu badannya dipeluk lama-lama oleh gadis itu. Yuna tersenyum lalu menarik lelaki itu ke belakang kedai. "Aku nak bercakap dengan kau secara private sekejap, Zarique."

"Hey, ini kawasan staf saja tau. Jangan memandai nak menceroboh." Zarique berkata sebaik sahaja mereka tiba di pintu belakang, kawasan yang tersorok di belakang kedai.

"Ala kau ni, tak teruja langsung jumpa aku? Kau ni tetap tak berubah macam dulu. Masih membosankan." Yuna tergelak. Seketika kemudian dia merapatkan hidungnya ke bibir Zarique. "Kau merokok? Bodoh! Kan aku dah cakap nyawa kau akan jadi tiga kali ganda lebih pendek bila kau merokok. Cuba dengar sikit cakap kawan kau ni!" Kata Yuna dengan nada yang tinggi. Tangannya pantas menampar bahu Zarique menyebabkan lelaki itu mengaduh kesakitan.

"Kau tu pulak masih tak berubah macam dulu. Kasar. Perangai macam jantan. Perempuan tangan besi!" Zarique menggosok-gosok bahunya yang terasa bisa.

Yuna ketawa panjang.

"Ni apahal tarik aku sampai ke belakang kedai? Kau nak cakap apa dengan aku?" Zarique menyoal.

"Aku rindukan kau aje. Aku kan sukakan kau." Jawab Yuna dengan jelas dan direct.

Zarique tersenyum. Namun, seperti biasa senyuman yang dilontarkannya berbaur sinis dan menyindir. "Penipu! Kau saja buat macam ni sebab dia kan? Ingat aku bodoh?"

"Aku tak faham apa yang kau cakap ni, Zarique." balas Yuna acuh tak acuh.

"Aku lagi tak faham apa tujuan kau buat macam ni. Kau tak mahu dia menaruh harapan pada kau, sebab tu kau saja nak bagi dia cemburu kan? Kenapa kau tak berterus-terang saja pada Wing? Beritahu dia kau tak boleh terima cinta dia tu." Zarique berkata.

Yuna mengeluh. "Kau ingat senang aku nak buat macam tu? Tengok muka dia saja dah buat aku lemah lutut, tau!"

"Apa masalahnya kalau kau pun sukakan dia? Berterus-terang sajalah."

Yuna merenung wajah Zarique lama-lama. "Aku akan mati, Zarique. Barah aku dah merebak. Kau pun tahu kan? Aku cuma beritahu pada kau sorang saja. Kalau aku terima dia, aku tahu dia akan gembira. Tapi, bila aku dah mati, dia akan sedih sangat. Aku tak mahu dia sedih."

Zarique terdiam. Benar juga kata-kata gadis itu. Dia dan Yuna adalah kawan sepermainan sejak kecil. Segala rahsia dikongsi bersama. Apabila mereka mula menemui Wing yang muda dua tahun itu, persahabatan mereka mula berkembang. Dia sedar yang Wing amat menyukai Yuna dan dia juga tahu Yuna juga menyenangi Wing. Masing-masing menyembunyikan rasa hati masing-masing sampaikan Zarique sendiri berasa bengang. Nyaris-nyaris dia ingin melancarkan pelannya untuk menyatukan dua hati itu namun, apabila Yuna memberitahunya yang dia menghidap penyakit barah otak dan memujuknya supaya merahsiakan perkara itu dari pengetahuan Wing, Zarique terpaksa bersetuju dan membatalkan rancangannya.

"Kamu berdua ni sama saja. Cuma tahu nak menyusahkan aku." Zarique merungut.


****

Malam itu, Vince berjalan berseorangan di sebatang jalan gelap di bandar. Jaket kulit hitamnya membuatkan dia kelihatan sangat bergaya. Beberapa pasang mata tidak lekang dari memandang wajah kacaknya itu.

"Abang Vince!" Seseorang menegurnya dari belakang lalu dia pantas berpusing.  

Seorang lelaki bertatu berpakaian t-shirt tanpa lengan tersenyum memandangnya. "Wah... rambut kau dah pendek. Nampak kacak betul."

Vince membalas senyumannya. "Aku kan kerja dalam industri permakanan. Mestilah rambut aku kena pendek dan kemas."

Kau nak jumpa big boss? Kau nak balik ke kumpulan kita?"

Vince menggeleng. "Tidak Alex. Aku cuma datang nak pulangkan pistol yang big boss pinjamkan pada aku. Aku dah janji yang aku takkan libatkan diri dalam kegiatan ni lagi. Aku dah ada kehidupan yang lebih baik."

"Maksud kau, kehidupan di kafe kopi dan berpakaian seragam macam pelayan tu? Kau kata itu kehidupan yang lebih baik?" Kedengaran suara garau seorang lelaki berusia awal 40-an yang nampak gagah dan kacak. Rambutnya sedikit ikal dan disikat rapi ke belakang. Vince menoleh ke belakangnya. 

"Big boss." Dia menegur. Walaupun dia telah keluar dari kumpulan itu, namun Vince masih menghormati lelaki yang dipanggil big boss itu.

"Berapa sangat duit yang kau boleh dapat di situ berbanding dengan apa yang kau dapat masa kau masih kekal bersama kami?" Big boss menyoal.

Vince mengukir senyum. "Tak banyak. Tapi, aku lebih tenang di situ. Lagipun, ada seseorang di situ yang aku perlu balas jasanya."

Big boss terdiam. Matanya tertancap pada senyuman di wajah Vince. "Kau dah berubah banyak, Vince. Lelaki bernama Zarique Aidan tu begitu penting bagi kau sampai kau sanggup tinggalkan kami dan ikut dia?"

"Maafkan aku, boss. Aku ada kehidupan sendiri sekarang." Kata Vince sebelum menyerahkan sepucuk pistol kepada big boss dan terus meninggalkan tempat itu. Hatinya bartambah lapang setelah menyerahkan pistol yang disimpannya lama. Pistol yang telah lama menjadi bebanan kepadanya.

"Kau nak kerja dengan aku tak? Hidup kau mungkin tak semewah dulu, tapi sekurang-kurangnya kau akan lebih tenang." 

Suara Zarique pada masa lalu masih terngiang-ngiang di telinganya. Hujan yang lebat pada hari itu membuatkan keadaan sungguh ironik. Vince yang berlumuran darah dan berwajah seperti seorang pembunuh, telah disapa oleh Zarique yang hanya menghulurkan payung supaya Vince tidak terus dibasahi hujan. Perlahan-lahan tangan Vince membalas huluran salam dari Zarique. Vince mengangguk.

Vince tersenyum lagi mengingatkan kisah silamnya. 


4 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

wuuuhhh...vince ahli kongsi gelap? patutlah badan sasa..hehe...tapi sedih la pula kisah wing dgn Yuna, mcm mana lah agaknya nanti? :)

anayue said...

arghhhhhh,,zarique comey ni..

akira_bita said...

erm.. masing2 ada maslah,... dan penyelesainya ialah zarique... hhuhuhu....

Virtual Writer said...

okie: ha'ahh... gangster ala2 yakuza. tp, watak vince ni mungkin boleh buat korang ketawa nanti.

anayue: eittt... jgn kacau Zarique!! heheee...

kira: hahaaa... camtu la nampak gayanya.