Monday, January 17, 2011

Chapter 4

Henrietta

Tiba-tiba banyak pula perkara pelik berlaku pada hari ini. Fikir Henrietta. Pagi tadi dia perasan yang Lex Green sedang memerhatikannya dan tersenyum sendiri. Dia tidak dapat mengawal perasaan gembiranya di dalam hati. Tapi, kenapa agaknya dia tiba-tiba pandang aku? Henrietta bermonolog sendiri. Sekali-sekala dia mencuri-curi pandang lelaki itu. Kadang-kadang dia berfikiran negatif sendiri. Menidakkan fakta yang Lex sedang memandangnya. Mengatakan yang dia perasan sendiri.

Asran, pelajar pertukaran baru itu sekali lagi duduk di tepinya sambil tersenyum lebar. Lesung pipitnya memang manis, membuatkan Henrietta terleka seketika. Asran selalu cuba berbual dengannya, tetapi dia hanya menjawab sepatah jawapan. Dia memang cuba bersikap ramah tetapi lidahnya kelu untuk berbual dengan lelaki yang tidak dikenali. Tetapi dia akui yang dia senang duduk di sebelah Asran. Lelaki itu tidak membuatnya rasa mual atau tidak selesa. 

Malah, semakin ramai pelajar perempuan mula berbual dengannya bertanyakan hal Asran. Henrietta cuma berkata yang dia tidak begitu mengenali Asran tetapi hanya berbual perkara-perkara biasa. 

Malam itu ketika dia bekerja part time di restoran, Asran tiba-tiba masuk ke situ. Dia terkejut apabila Asran melambai-lambai ke arahnya sambil tersenyum. Tiada siapa tahu tempat dia bekerja kecuali Elis. Lelaki itu meminta Henrietta mengesyorkan makanan yang sedap kerana dia tidak pernah makan makanan Jepun. Dengan senang hati Henrietta melayan kawan sekelasnya itu.

"Awak kerja di sini rupanya, ya?" soal Asran.
Henrietta mengangguk. "Ya. Saja nak cari duit lebih sikit."

"Baguslah. Saya patut cari kerja sambilan juga. Banyak tak gaji di sini? Saya nak minta di sini juga lah." kata Asran sambil memandang sekeliling.

Henrietta tidak pasti samada Asran sedang bergurau atau tidak tetapi dia dengan spontannya berkata, "Eh, janganlah di sini. Nanti gaji saya kena bahagi dua dengan awak."

Asran merenungnya seketika lalu ketawa dengan kuat. Dia kemudian menutup mulut sebelum memandang pelanggan lain.

Wajah Henrietta menjadi merah. Dia tidak pernah membuat seseorang ketawa dengan begitu kuat. Malah dia seorang yang berhati-hati dalam pertuturannya terutamanya dengan orang yang baru dikenali. Untuk seketika dia berasa kagum dengan diri sendiri. Lelaki bernama Asran ini mempunyai aura yang luar biasa.

"Saya ambilkan pesanan awak." kata Henrietta sebelum berjalan ke dapur. 


Henrietta memerhatikan Asran yang menjamah makanannya seorang diri. Terdetik di hatinya kenapa lelaki itu makan seorang diri. Takkanlah dia tidak ada kawan lain ataupun teman perempuan. 

Asran sangat berbeza dengan Lex. Fikir Henrietta. Lex seorang yang kelihatan matang dan dingin, namun dia melayan kawan-kawannya dengan ramah. Manakala Asran pula seorang yang ceria sentiasa dan bijak berbual membuatkan orang senang dengannya. Dia menggeleng-gelengkan kepala dengan cepat apabila dia sedar yang dia mula membandingkan kedua-dua mereka. 

Beberapa orang lelaki pertengahan 20-an dan awal 30-an masuk ke dalam restoran dan duduk di sebuah meja di satu sudut. Mereka asyik tertawa kuat. Henrietta dengan segera mengambil pesanan makanan mereka.

"Kami mahu yang paling sedap di sini, cik." kata salah seorang dari mereka apabila ditanya. Dia memandang Henrietta dengan satu pandangan yang menyeramkan gadis itu. Henrietta serta-merta berundur jauh dari meja namun masih cuba tersenyum sambil menghulurkan menu.

"Cik nak ke mana ni?" lelaki tadi bertanya lalu terus menyentap tangan Henrietta dan menarik tangan gadis itu merapati mereka. Menu di tangannya terlepas dan seorang lagi lelaki memegang sebelah lagi tangannya. Henrietta mula menyumpah dalam hati.

"Encik, lepaskan saya." pintanya. 

Lelaki-lelaki itu ketawa kuat. Pelanggan-pelanggan lain hanya mampu memandang sambil mengeluh kecil. Henrietta memandang sekeliling meminta pertolongan. Pelayan restoran yang lain menghampiri mereka dan cuba memujuk lelaki itu melepaskan Henrietta namun tidak diendahkan. Lelaki-lelaki itu kelihatan seperti samseng membuatkan orang di restoran itu takut untuk campur tangan.

Henrietta mula rasa mual. Tangannya kebas. Dia tahu dia akan pitam tidak lama lagi. 

Dia nampak Asran menghampiri mereka dan bercakap sesuatu dengan lelaki-lelaki itu. Suara Henrietta tersekat di kerongkong dan lututnya mulai lemah. Kemudian dia merasakan pegangan lelaki-lelaki it terlepas sebelum dia terjatuh. Dia pasti dia tidah jatuh ke lantai kerana ada seseorang yang menyambutnya.


Henrietta membuka mata dan sedar dia berada dalam bilik rehat restoran. Beberapa pekerja mengerumuninya dan bertanya keadaanya. Dia memegang kepala tanda ia masih sakit. Pengurus restoran membenarkan Henrietta pulang awal. 

Selesai menukar pakaian dan mengambil barang-barangnya dia keluar dari restoran. Dia terperanjat melihat Asran sedang bersandar di dinding luar restoran menunggunya.

"Awak okey tak?" soal Asran.

Muka Henrietta merah. Dia sedang menahan malu yang teramat. Pengsan di khalayak ramai memang memalukan. Apatah lagi dia bukannya dicederakan, tapi setakat disentuh lelaki. Dia mula terfikir samada adakah dia termuntah tadi.

Henrietta mengangguk dan tunduk memandang lantai. Dia kemudian berjalan ke luar menuju ke stesen tren. Asran mengikutinya. "Awak tak sihat ni, saya temankan awak balik." pelawa Asran.

"Tak apa. Saya tak mahu menyusahkan. Terima kasih sebab tolong tadi." balas Henrietta. Dia berjalan makin laju.

"Awak memang selalu macam ni ke? Sepatutnya bila orang sentuh, awak marah atau menjerit. Bukannya pengsan atau muntah."katanya lagi.

Langkah Henrietta terhenti. Secara tiba-tiba darahnya menyirap naik ke muka. Dia berhenti berjalan dan berpusing memandang Asran yang lebih tinggi darinya itu. Dia yang hanya setinggi bahu Asran terpaksa mendongak memandang lelaki itu.

"Saya tak faham kenapa awak nak sibuk tentang hal saya. Kita bukannya rapat. Terima kasihlah sebab dah tolong tadi, tapi tak payahlah awak nak ketawakan saya pula." Henrietta hampir menjerit. Beberapa orang yang lalu lalang memandangnya.

Asran memandang Henrietta sedikit tergamam. 

Gadis itu segera sedar dan terus menutup mulutnya. Kenapa pula dia perlu marah terhadap lelaki itu sedangkan dia telah menolongnya tadi?

"Saya tak gelakkan awaklah. Cuma reaksi tadi, bukannya reaksi orang biasa. Kalau tak suka, cakaplah tak suka. Kalau suka, cakap saja suka." spontan Asran menutur katanya.

Henrietta memandang Asran lagi. Dia meminta maaf dan berjalan ke arah sebuah kerusi taman di tepi jalan. Di kiri mereka terdapat sebuah taman rekreasi yang sudah lengang tetapi masih terang disuluh lampu jalan. Henrietta duduk di kerusi diikuti oleh Asran.

"Sebenarnya saya ada satu kelemahan yang orang lain tak tahu. Saya tak patut cakap pada sesiapa sebab perkara ni memang memalukan." kata Henrietta. Dia memandang Asran yang tekun mendengar katanya. Asran hanya tersenyum dan entah kenapa senyuman lelaki itu membuatkan dia percaya dan yakin untuk bercerita lanjut.

"Setiap kali saya dekat dengan lelaki, saya akan rasa lain macam. Rasa macam nak pengsan pun ada. Kepala jadi sakit dan saya sesak nafas. Bila bercakap, saya tak tahu nak kata apa lagi. Dari kecil, saya memang tak pernah ada kawan lelaki." 

Asran mendengar dengan diam. Dia menunggu seketika Henrietta menghabiskan ayatnya.

"Terasa macam si bodoh pun ada. Memalukan betul." 

Asran tersenyum mendengar kata-kata itu. "Semua orang ada kelemahan sendiri. Tapi, sedikit demi sedikit kita perlu mengatasi kelemahan tu. Saya yakin, awak sebenarnya ada masalah tiada keyakinan diri yang kronik. Bukannya penyakit misteri ke apa. Jangan bimbang." katanya lembut.

"Habis tu, apa yang saya perlu buat?" soal Henrietta.

"Awak cuma tak berkeyakinan dengan orang asing dan lelaki kan? Maksudnya dengan kawan-kawan rapat, awak rasa okey kan?" soal Asran.

Henrietta mengangguk.

"Maksudnya, kita ni berkawanlah ya. Sebabnya saya ni lelaki, malah yang baru awak kenal beberapa hari lepas. Tapi awak tak pernah pengsan atau muntah pun bila dekat dengan saya. Selamatlah saya duduk di sebelah awak ni." sambung Asran sambil tersengih.

Henrietta mula tersedar. Dia berasa sangat selesa duduk berdekatan dengan lelaki itu, malah boleh bercakap dengan perkara yang disembunyikannya dari orang lain. 

"Awak cuba cari kelebihan diri sendiri dan cuba memahami orang lain dahulu. Saya yakin perkara baik mesti akan berlaku." kata Asran.


Kata-kata Asran malam itu terngiang-ngiang di telinga Henrietta sebelum tidur. Dia begitu bersemangat mencari kelebihan diri sendiri supaya dia tidak lagi terasa rendah diri. Tadi Asran menghantarnya ke stesen tren. Mereka begitu banyak berbual terutamanya tentang perihal dirinya sedangkan Asran hanya menjadi pendengar. Henrietta berazam ingin mengenali lelaki itu dengan lebih mendalam lagi.


Keesokan paginya di kelas, Asran kelihatan begitu seronok berbual dan tertawa dengan pelajar-pelajar lain sebelum kelas bermula. Sebaik sahaja dia ternampak Henrietta, dia mengangkat tangan dan begnya dan duduk di sebelah Henrietta seperti biasa. Beberapa pelajar perempuan yang sedang berbual dengan Asran saling berbisik-bisik apabila Asran duduk di sebelah Henrietta.

Joan yang duduk di sebelah Henrietta pula asyik menyiku gadis itu sambil tersenyum nakal. Asran tanpa mempedulikan orang lain menegur Henrietta. Tindakannya mengundang banyak bisikan dan kerlingan dari pelajar-pelajar lain membuatkan Henrietta kurang selesa. 

"Sepanjang malam tadi, saya terfikir apa yang awak cakapkan. Saya perlu cari kelebihan sendiri." Henrietta membuka perbualan.

"Dah jumpa ke?" Asran membalas.

Henrietta menjawab teragak-agak. "Entah. Setakat ni belum lagi."

Asran tertawa kecil. "Tak apa. Teruskan mencari. Awak akan jumpa nanti. Saya yakin orang lain pun akan nampak kelebihan awak tu. Jangan risau." katanya. Ringan saja tangannya menyentuh kepala gadis itu. Henrietta sedikit terkejut.

Seseorang menegur Asran dari belakang menyebabkan perbualan mereka terganggu. Asran menoleh dan begitu juga Henrietta. Lex mengangkat tangannya menegur Asran dan dia membalas.

"Petang ni jangan lupa ya." kata Asran kepada Lex dan dia mengangguk. 

Lex turut memandang Henrietta yang begitu asyik merenung wajahnya. Dia tersenyum dan mengangguk sedikit kepada Henrietta menyebabkan gadis itu tertunduk malu. Kemudian lelaki itu berjalan ke belakang ke tempat duduk biasanya.

Tanpa disedarinya, Asran sedang memerhatikannya dengan seulas senyuman nakal. 
"Awak suka dia, ya?" tanyanya berbisik memastikan Joan tidak mendengar.

Wajah Henrietta merona merah. "Mana ada!" dia separuh memekik menyebabkan hampir seluruh kelas memandangnya. Dia tunduk memandang meja.

"Sudah terang lagi bersuluh, cik Henrietta. Saya dah tahu rahsia kedua awak." kata Asran lagi. Dia ketawa. "Jangan risau. Saya tak akan beritahu sesiapa."

Henrietta mengeluh lega. Dia mempercayai kata-kata Asran walaupun dia menuturkannya dengan nada sinis dan nakal. 

"Saya boleh tolong awak mendekati Lex, kalau awak mahu." pelawa Asran yang ketika itu begitu seronok melihat perubahan wajah Henrietta. Gadis itu sepantas kilat memandangnya. Wajahnya jelas tertulis perkataan, 'bagaimana?'

"Saya dan dia berkawan dan setiap petang dia akan ajar saya main bola sepak. Awak boleh datang ke padang kalau awak nak." sambung Asran lagi. "Saya boleh ceritakan tentang awak kepada dia untuk menarik minat dia terhadap awak."

"Tak semudah tu." tingkah Henrietta cepat.

"Betul tu! Memang bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu tanpa usaha. Kalau awak mahu merubah sesuatu dalam hidup awak, awak juga perlu bersedia untuk berubah." balas Asran. Dia memandang pakaian gadis itu lalu mengerutkan wajah. Henrietta segera memeluk tubuhnya.

"Tapi, bukan ke kita pelu jadi diri sendiri? Apa gunanya orang sukakan kita kalau kita bukannya kita yang sebenarnya." tanya Henrietta lagi. Begitulah pendiriannya sejak dulu lagi.

Asran tersenyum. "Tapi tak salah berubah ke arah kebaikan, bukan? Asalkan awak masih kekalkan identiti diri sendiri tapi naik tarafkan diri, tak salah. Tak ada apa yang berubah dalam diri awak." dia menjawab secara bijak menyebabkan Henrietta terdiam. Terfikir betapa betulnya apa yang dikatakan lelaki itu.

"Lagipun, kan saya dah cakap semalam. Kalau awak cuba cari kebolehan diri, perkara baik akan berlaku." Asran tersenyum penuh makna.

3 comments:

suehana said...

like!

She's Lazy Gurlz said...

thumbs up..
huhuhu

Aniki said...

saya rasa macam Henrietta mula ada perasaan pada asran.. hmmm :3