Monday, May 23, 2011

[CPoA] 1 : The princes of Parfee


Lelaki berbaju merah itu berjalan perlahan-lahan sambil memutar-mutarkan segugus kunci di tangannya. Sekali-sekala dia bersiul perlahan sambil melontarkan pandangannya ke sekeliling. Beberapa orang pejalan kaki wanita mengerling ke arahnya sambil tersenyum-senyum simpul. Lelaki tinggi lampai itu menarik senyum lebar membalas setiap senyuman yang dilontarkan ke arahnya. Dia kelihatan teruja apabila menjadi perhatian ramai. Terus dia menarik nafas sambil menyebak rambutnya ke belakang, menampakkan dahinya sedikit. Lagak yang cukup bergaya.

Dia berhenti apabila tiba di hadapan sebuah kedai di sudut bangunan. Kedai yang kelihatan cukup comel dengan hiasan berbentuk gelas ais krim dan piring-piring kecil tersusun di sebalik cermin di dalam kedai itu. Kedai yang dicat dengan warna coklat tua dicampur dengan lining krim itu benar-benar memukai pandangan ramai, apatah lagi ia terletak di sudut bangunan berhampiran jalan besar. Setiap orang yang melintasi, pasti akan memandangnya dua kali. Lelaki itu menolak pintu hadapan yang merupakan sebuah pintu kaca yang tidak berkunci. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi dan ia masih tidak beroperasi.

"Kau lewat lagi, Shun!" Seseorang menjerkahnya dari dalam.

Shun Takeda tersengih. "Sorry. Aku lewat bangun." Dia tertawa kecil sebelum berjalan menghampiri lelaki yang menegurnya tadi dan menepuk-nepuk bahunya. Lelaki itu sedang bercekak pinggang sambil memegang sebatang mop. Namun tawanya mati apabila dia terpandang seulas wajah serius seorang lagi lelaki yang sedang berdiri di belakang kaunter. Shun mengangkat tangan membuat cara meminta maaf sebelum bergegas ke bilik pekerja untuk menukar ke uniformnya.

Shun membelek uniformnya seketika sebelum mula menukar ke seluar panjang hitamnya dan menyarungkan kemeja putih berlengan panjang. Kemudian, Shun memakai ves berwarna hitam di luar kemeja putihnya sebelum berjalan keluar ke ruang hadapan kedai. "Mana Vince?" Dia menyoal lelaki yang awal-awal menegurnya tadi yang nampaknya masih belum selesai mengemop lantai.

"Kat belakang, tengah keluarkan biji kopi dari van. Alang-alang kau tak ada kerja ni, apa kata kau pergi tolong dia." Lelaki itu yang bernama Wing, membalas sambil mengerling ke arah belakang kedai.

"Shun, kau pergi lap tingkap dan sapu dekat kaki lima. Edarkan risalah sekali sebelum kita buka kafe." Lelaki yang berdiri di belakang kaunter menyampuk dan memberi arahan. Serentak Shun dan Wing memandang ke arah lelaki itu yang jelasnya ialah bos kepada mereka.

"Okeylah." Shun membalas malas lalu mencapai kain dan mula mengelap cermin tingkap yang jernih itu. Sekali-sekala dia melambai ke arah gadis-gadis yang lalu-lalang di luar kedai sambil tersenyum, namun apabila mendengar suara deheman bosnya itu, dia mula mengelap dengan serius. Selesai mengelap cermin, dia mengambil penyapu dan mula keluar dan menghayun penyapunya di kaki lima di hadapan kedai. Matanya tertancap pada papan menu istimewa di hadapan kedainya. Matanya melirik ke arah nama kedai itu.

Parfee Cafe. Gabungan dari perkataan Parfait dan Coffee. Sebuah kafe yang menghidangkan pelbagai jenis minuman kopi dan coklat. Malah, kafe itu turut menjual parfait dan kek-kek kecil sebagai hidangan sampingan. Pemiliknya ialah Zarique Aidan, seorang lelaki yang berwajah agak serius dan dalam usia yang masih belum sampai 30 tahun, telah berjaya membuka sebuah kafe mewah yang begitu terkenal di bandar Gemme.

Tiga anak muda lain yang bekerja di bawahnya ialah Shun Takeda, lelaki berketurunan Jepun yang pernah menjadi model sambilan berusia 24 tahun dan brtugas sebagai pelayan, Wing Hughes yang berusia 25 tahun yang merupakan seorang barista dan Vince Dunne, lelaki berbadan sasa yang berusia 28 tahun yang juga seorang pelayan. Sememangnya Parfee Cafe menjadi tumpuan gadis-gadis memandangkan kafe itu mendapat jolokan 'syurga putera' kerana kesemua pekerja di situ kacak-kacak dan tampan-tampan belaka. 

"Pukul berapa kafe ni buka encik?" Kedengaran suara seorang gadis menegur Shun yang begitu asyik menyapu daun-daun kering dan debu di hadapan pintu kafe. Pantas lelaki itu menoleh memandang tiga orang gadis berseragam sekolah yang pada ketika itu sedang memandangnya dengan mata yang bersinar-sinar.

"Pukul 9 pagi, cik." Shun membalas sambil tersenyum. Lesung pipitnya telah berjaya mencairkan hati ketiga-tiga gadis tersebut. Wajah masing-masing kelihatan kemerah-merahan.

"Aku nak singgah sinilah sekejap." kata salah seorang daripada mereka dibalas dengan anggukan dan persetujuan daripada rakan-rakannya.

Shun tersengih. "Kalau macam tu, cik bertiga ni akan jadi pelanggan pertama kamilah. Saya akan pastikan cik dapat layanan istimewa." Katanya disambut dengan gelak tawa ketiga-tiga gadis itu. Namun, gelak tawa mereka mati tiba-tiba apabila wajah serius Zarique terpacul di muka pintu. Shun sendiri terkejut melihat bosnya yang muncul secara tiba-tiba itu.

Zarique walaubagaimanapun mula mengukir senyum kepada ketiga-tiga gadis itu juga. Senyumannya cukup membuatkan wajahnya kelihatan manis dan tenang. "Maafkan saya, tapi rasanya elok cik bertiga datang lepas sekolah saja. Kafe ni bukannya tempat budak-budak melepak untuk ponteng sekolah." Dia berkata sambil masih mengukir senyuman.

Kali ini, wajah ketiga-tiga gadis itu mulai berubah, terkedu, terkejut bercampur malu. Mereka terus membuka langkah meninggalkan Zarique dan Shun yang hanya memandang bosnya dengan rahang yang terbuka. Rahangnya kembali tertutup rapat apabila Zarique mula bersikap serius semula dan menjelingnya tajam. 

"Buat kerja tu elok-elok. Jangan ingat nak mengurat budak-budak sekolah saja." Zarique menegur sebelum masuk kembali ke dalam kafe.

"Baik bos." bisik Shun lalu kembali tunduk dan menyapu lantai semula.

Tepat jam 9 pagi, Zarique mula mengalihkan papan di pintu supaya perkataan 'BUKA' dipamerkan di luar kedai. Dia bergerak ke kaunter, selaku seorang cashier dan dia juga yang akan menyediakan kek dan brownies. Matanya memandang tepat ke arah pekerja-pekerjanya seorang demi seorang. "Mari kita hidupkan Parfee untuk hari ini."

Shun, Wing dan Vince mengangguk sebelum mula bergerak ke tempat masing-masing. Shun sebagai penyambut pelanggan merangkap pelayan, Wing di belakang kaunter minuman terbuka sebagai seorang barista dan Vince di ruang hadapan sebagai pelayan. Setiap kali pelanggan mula melangkah ke dalam Parfee, masing-masing akan tersenyum ceria sambil berkata, "Selamat datang ke Parfee Cafe."


4 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

saya dah tertarik ni...nak baca bab 2 pula..hehe

akira_bita said...

oh ya, sis, barista tu apa ye? heheh... sy tak tau pulak?

ruki27 said...

hahaha.....pesal sume dari gintama ni....(sesat smpai kat sini...>,<)

Virtual Writer said...

hehehhh... saya demam gintama.