Tuesday, May 24, 2011

[CPoA] 2 : The fifth prince


Hero Bladel berjalan memasuki sebuah kafe di sudut bangunan bernama Parfee Cafe sambil menggalas beg komputer ribanya. Dia memilih meja bulat paling tersorok dan paling jauh lalu terus mengeluarkan komputer ribanya yang berwarna hijau tua itu lalu terus menekan butang boot. Seorang pelayan berpakaian seragam kafe itu berjalan menghampirinya.

"Encik nak pesan apa?" Vince menyoal.

"Espresso." Hero membalas terburu-buru namun matanya masih tertancap pada skrin komputernya tanpa memandang ke arah Vince langsung. Lelaki berbadan sasa itu hanya mengangguk sebelum berjalan menghampiri Wing dan memberitahu pesanan Hero itu. Wing terus menyediakan minuman yang dipesan lalu diserahkan kepada Vince yang kemudiannya menghantar espresso itu kepada Hero.

"Tak ramai pelanggan kita hari ni, Zarique." Wing memberi komen kepada Zarique yang sedang memeriksa kek-kek yang terpamer di dalam cermin kaca di kaunter.

"Waktu ramai pelanggan, korang komen penat. Tak ramai pelanggan pun komen jugak." Zarique membalas tanpa memandang wajah kawan karibnya itu. Wing hanya tertawa. Faham benar dia dengan perangai Zarique itu. Hari itu dia lebih kerap duduk kerana sedari pagi tadi, hanya beberapa orang pelanggan sahaja yang berkunjung. Hari itu bukanlah hari minggu, jadi memang Wing sedia maklum yang kafe itu tidak akan dikunjungi ramai sebelum waktu tengah hari. Sekali-sekala sahaja pekerja-pekerja pejabat akan datang untuk bersarapan pagi di situ.

Mata Wing memandang Hero yang masih khusyuk bermain komputernya. "Hei, Zarique. Kau tengok budak dekat belakang tu. Kau rasa dia ponteng sekolah ke? Muka dia macam budak sekolah tinggi saja walaupun tak pakai baju seragam sekolah."

Zarique memanjangkan leher memandang ke arah budak yang dimaksudkan. Dia merenung hero dengan tajam sebelum tunduk memandang kek-kek semula. "Dia bukan budak sekolah." Kata Zarique pendek.

"Macam mana kau tahu?" Shun yang pada ketika itu sedang mendengar perbualan mereka menyoal hairan. Tukang tilik ke Zarique ni?

"Sebab dia pakai laptop mahal." Zarique menjawab malas.

Shun menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. "Habis tu, manalah tahu keluarga dia yang belikan untuk dia ke." Dia menyoal tidak berpuas hati dengan jawapan Zarique. Zaman sekarang ni, budak-budak sekolah pun dah pandai bergaya dengan gadget-gadget mahal tau!

Zarique memandang tepat ke arah Shun. "Cuba kau tengok kasut dia. Kasut yang dia pakai memang bersih tapi dah lusuh dan buruk. Baju dia pun sama. Bukan setakat tak berjenama, malah dah koyak sedikit dan dia jahit semula. Kalau dia anak orang kaya, dia takkan pakai pakaian macam tu. Aku rasa dia ni budak miskin je. Tapi, disebabkan dia pakai laptop yang mahal, maknanya dia memang jenis yang berminat dengan komputer ataupun dia bekerja dalam bidang komputer. Aku tak rasa dia beli laptop tu dengan duit keluarga dia kalau dia tu budak miskin. Jadi, mesti dia beli pakai duit sendiri. Kalau dia budak sekolah, dia tak akan dapat duit sebanyak tu untuk beli komputer mahal melainkan dia pergi merompak."

"Lagipun, budak tu cuma pesan secawan espresso, minuman paling murah di sini. Maknanya, dia datang ke kafe kita ni bukan untuk berseronok tapi sebab kafe kita ni tak ramai pelanggan sekarang." Wing menyampuk sambil tersenyum.

Shun kelihatan terangguk-angguk kecil sambil merenung dua jejaka di hadapannya dengan kagum. "Macam Sherlock Holmes dan Watson lah korang berdua ni."

Zarique mencebik. "Kalau benda macam ni pun tak tahu nak fikir, aku rasa malu nak mengaku diri aku sebagai manusia." Katanya pedas tanpa menghiraukan perasaan Shun. Wing pula hanya mampu mengerling lelaki itu sambil cuba memerhatikan sebarang perubahan di riak wajah Shun. Takut pula dia jika Shun berkecil hati, namun dia mengeluh lega kerana melihat Shun tersengih saja. Fikiran Shun memang ringkas namun dia tahu yang Zarique amat menyenangi Shun. Sebab itulah dia menerima Shun bekerja di Parfee Cafe walaupun Shun selalu dimarahinya.

Loceng di pintu kedengaran menandakan adanya pelanggan. Shun terus bergegas menghampiri pelanggan itu yang merupakan dua orang gadis sambil tersenyum ceria. Wing pula terus memandang ke arah Zarique yang mula mengelap kaunter. "Berlembutlah sikit bila cakap dengan dia. Bukan semua orang bijak macam kau, Zarique." Wing menegur.

Zarique mendengus kasar. Dalam ramai-ramai manusia, dia hanya akan mendengar cakap Wing seorang sahaja. Walaupun Wing lebih muda darinya, namun kadang-kadang Wing kelihatan lebih matang darinya dari segi pergaulan. Zarique memang tidak punya ramai kawan. Dia mempunyai masalah besar dalam komunikasi. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya pastinya berunsur sinis dan ejekan. Mempunyai teman rapat seperti Wing memang amat menyenangkannya. Zarique bersyukur.

Keadaan yang hampir senyap sunyi di dalam kafe itu dikejutkan dengan bunyi ringtone yang kedengaran sayup-sayup. "Helo?" Hero menjawab malas. Dia terdiam seketika mendengar kata-kata pemanggil dari hujung talian sebelum dia mula bangkit berdiri dengan cepat. Wajahnya berubah sedikit. "Apa? Mak pengsan lagi?" Dia hampir menjerit menyebabkan hampir kesemua mata di dalam Parfee Cafe merenungnya. Namun Hero tidak peduli. "Baik, saya datang sekarang."

Hero tergesa-gesa menutup laptopnya dan menyimpannya di dalam beg. Dia berjalan ke kaunter. "Maaf encik. Boleh tak saya bayar lain kali? Saya perlu guna duit ni untuk tambang teksi ke hospital. Ada kecemasan."

Zarique merenung wajahnya tajam. "Tak boleh!" Katanya pantas. Serentak itu Wing terus memandangnya seolah-olah tidak percaya. Hero pula kelihatan kaget dan terkedu.

"Saya janji saya bayarlah nanti." Kata Hero.

"Kau ingat aku peduli dengan janji-janji kau tu?" Zarique menyoal lagi. Nada suaranya tegas namun tidak meninggi.

Wing yang sedang memerhatikan segala-galanya terus berjalan laju keluar dari sebalik akunter minuman. "Err, tak apalah. Kami belanja je awak hari ni. Pergilah. Mak awak sakit kan?" Katanya cuba tersenyum. Hero mengangguk sedikit sebelum membalas jelingan tajam Zarique dengan jelingan tajamnya juga. Masing-masing kelihatan setara. Hero mengucapkan terima kasih kepada Wing sebelum mengatur langkah keluar dari kafe.

"Zarique, kenapa kau buat macam tu? Kesian budak tu. Kau sendiri juga cakap dia miskin." Wing seperti tidak berpuas hati.

"Habis tu aku patut belanja semua orang miskin yang datang ke sini? Sini bukan rumah kebajikanlah. Dalam dunia ni bukan semua orang baik macam kau, Wing. Budak tu patut sedar diri sikit." Zarique berkata dengan nada yang cukup serius. Wing hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum dia kembali ke kaunter minuman.

****

"Tak guna punya orang!" Hero menyumpah kuat ketika di dalam teksi. Wajahnya merah menahan marah yang teramat hinggakan pak cik pemandu teksi yang mengerlingnya dari cermin pandang belakang kelihatan takut melihatnya. Apabila teksi itu berhenti betul-betul di hadapan hospital, Hero terus membayar tambang lalu berlari laju masuk ke dalam hospital. Jantungnya berdetak kencang mencari-cari bilik ibunya.

"Mak!" Dia menegur. Kelihatan ibunya sedang terbaring lemah namun sudah sedar dari pengsan. "Kan saya dah cakap, jangan buat kerja berat."

Emaknya tersenyum lemah. "Jangan risaukan mak. Mak akan cari duit untuk perbelanjaan universiti kau. Kau jangan fikir banyak. Kau belajar saja."

Hero mengetap bibirnya. Geram bercampur marah. Dia tidak berpuas hati. "Kenapa mak beria-ia sangat nak susahkan diri mak? Saya dah besar. Saya boleh jaga diri sendiri dan cari kerja. Mak jaga badan mak sudahlah. Kalau mak sakit dan masuk hospital macam ni, kita terpaksa belanja duit untuk bayar kos perubatan." Katanya.

"Maafkan mak, Hero." 

Hero terduduk. Mendengar ayat-ayat meminta maaf dari ibunya membuatkan hatinya tersentak. Tanpa disedari emaknya, Hero mengesat air mata yang mula hendak tumpah ke pipi. "Kenapa mak namakan saya Hero? Saya bukan hero. Saya cuma budak tak guna yang tak boleh jaga ibunya sendiri!" Dia bergumam perlahan.

Hero keluar dari perkarangan hospital dengan hati yang rawan. Ibunya tidak dibenarkan keluar dari hospital lagi dan ditahan selama semalam di wad. Dia berjalan perlahan-lahan hingga tiba di deretan kedai-kedai di bandar. Dia kemudian menarik beg komputer ribanya sambil merenungnya dengan sayu. Tangannya menggenggam erat beg itu sebelum dia mula berjalan dengan pantas.

Jangan menyesal, Hero. Ini adalah tindakan yang tepat. Aku perlukan duit. Cuma ini saja caranya.

Hero memandang sebuah bangunan tinggi dengan sebuah papan tanda bertulis 'Computer House'. Hatinya mulai bolak-balik. Kakinya lemah namun hatinya kuat. Wajah ibunya bermain-main di mata. Hero mulai terfikir hendak menjual komputer ribanya yang dibeli dengan harga yang mahal yang lengkap dengan program-program terbaru bagi memudahkan kerjanya menghasilkan program software yang paling digemarinya. Hero ialah seorang programmer. Dia banyak menghabiskan masa menghasilkan program komputer dan bercita-cita ingin memasarkannya kelak. Dikenali ramai sebagai pelajar genius di universitinya namun tiada sesiapa tahu tentang kedaifan keluarganya yang terpaksa menanggung hutang ayahnya yang banyak.

"Aku nak jual laptop ni." Kata Hero kepada seorang jurujual di kaunter. Jurujual itu memandang laptop itu lama-lama sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Hero dengan ragu-ragu.

"Betul ke kau nak jual laptop ni? Ini model terbaru malah lengkap dengan software terkini."

"Aku kata aku nak jual, aku nak juallah. Bayar sajalah berapa harganya." Hero mula membentak kasar. Suaranya kelihatan terdesak. Dia takut dia akan menyesal. Dia takut dia akan mula menyalahkan emaknya pula kerana telah emnghancurkan impiannya selama ini. Wnag yang dikumpulnya sejak sekolah itu digunakan untuk membeli laptop keluaran terbaru itu.

"Okey bro. Relakslah." Jurujual itu cuba memujuk. Dalam hatinya dia tersenyum. Budak ni nampaknya boleh ditipu. Emosi dia tengah tak stabil. "Saya jual dengan harga 2000 Repso."

Tanpa berfikir banyak, Hero hanya mengangguk. Dia langsung tidak pernah terfikir yang harga ketika membeli laptop itu bersama-sama dengan fungsi yang dinaik taraf adalah tiga kali ganda dari harga yang ditawarkan. Hero meletakkan laptopnya di kaunter sambil menunggu wang diserahkan kepadanya. Dia terus merampas wang itu apabila jurujual kedai itu menghalurkan wang sejumlah 2000 Repso.

"Terima kasih, sila datang lagi!" Jurujual itu tersengih lebar. Baru saja dia hendak meletakkan tangannya ke atas komputer itu, dia berasa tangannya dicengkam kuat seseorang menyebabkan dia terkejut besar.

Zarique sedang memegang tangan jurujual itu sambil memandangnya serius. "Kau nak kenakan budak naif ni sampai macam ni sekali?" Zarique menyoal. Hero yang pada ketika itu masih berada di dalam kedai turut berasa terperanjat.

"Apa kau buat di sini?" Dia menyoal dengan rasa benci dan terkejut.

"Aku cuma lalu di sini dan ternampak sorang budak bodoh ditipu oleh jurujual tamak ni. Memang betul kata orang-orang tua. Orang bodoh memang senang ditipu. Kau tak tahu ke harga laptop kau tu lebih bernilai dari apa yang dia bayar pada kau?" Zarique berkata sinis.

"Aku tak peduli. Aku cuma nak jual benda tu saja. Laptop tu tak ada gunanya untuk aku lagi kalau kami tak ada duit dan keluarga aku terpaksa merempat dan mengemis." Hero membalas kasar. Wajah kacak Zarique ditenungnya tajam.

"Apa jenis lelakilah kau ni. Baru kena sikit dah nak mengalah. Jangan menipulah, budak! Laptop ni macam nyawa kau, kan?"

"Habis tu, takkan aku nak biarkan emak aku terus sakit sebab kami tak mampu nak bayar kos rawatan?" Kali ini Hero menjerit. Air mata mulai merembes ke pipinya.

Zarique mencebik. "Ratu air mata rupanya kau ni. Memang tak guna!" Kata Zarique sambil tersenyum sinis. Seketika kemudain dia memandang jurujual itu pula. "Hei, lebih baik kau bayar harga yang setimpal dengan nilai laptop tu. Kalau tak, kami laporkan pada polis yang kau ni penipu." Zarique mengarah.

"Tak boleh. Aku dah keluarkan resit. Lagipun, dia dah setuju dengan harga tadi. Aku tanya dia dua kali." Jurujual itu membalas, tidak gentar dnegan ugutan Zarique itu.

Zarique mengeluh. "Itu sebab kau bercakap dengan budak bodoh yang bertindak ikut emosi. Berapa kau nak jual laptop ni?" Zarique menyoal.

"Hah?" Jurujual itu dan Hero menyoal serentak dengan terkejut.

"Aku tanya berapa harga kau nak jual laptop ni?" Suara Zarique mulai meninggi.

"Errr... 7500 Repso." Kata jurujual itu teragak-agak emmbuatkan Hero merenungnya tajam seperti tidak percaya. Dia hanya menerima 2000 Repso saja dan jurujual itu akan menjual laptopnya dengan harga yang lebih tinggi? Hero mulai bengang.

"Aku beli." Zarique memuntahkan kata-kata yang membuatkan Hero lebih terperanjat.

"Kenapa kau nak beli?" Hero menyoal.

"Untuk pulangkan semula pada kau. Tapi, bukan aku belanja. Kau kena bayar semula harga yang aku beli tu menggunakan badan dan wajah kau yang ada rupa ni." Zarique berkata. Jurujual komputer itu mula memandang Zarique dengan pandangan aneh. Dia ni bapak ayam ke?

"Bekerja dengan aku di Parfee Cafe sebagai pekerja sambilan sampailah hutang kau dilunaskan. Kau boleh simpan duit 2000 Repso tu dengan laptop kau ni."

Rahang Hero terbuka luas, tidak menjangka dia mendapat tawaran yang agak menguntungkan. Dia ditawarkan bekerja sambilan dan dia dapat menyimpan komputer kesayangannya juga. Lelaki di hadapannya itu memang mengejutkan. "Baiklah, aku setuju." Hero membalas. 
Zarique tersenyum. "Nama aku Zarique Aidan. Pemilik Parfee Cafe."

"Aku Hero Bladel, mahasiswa tahun kedua Universiti X."

4 comments:

nur lina mohd yasin said...

wow.. nk lg.. nk lg... hehehe

OkiE a.k.a WitcH said...

sukanya...masti mcm2 ragam watak heroinnya, kan?
cant't wait!

oya..bercakap psl programmer ni, tiba2 saya teringat kurosaki dlm daisy..hehe

akira_bita said...

hahahahah! mulut je jahat tp hati baik si zarique tu.. hehee

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

nur lina: orait!! ^_^

okie: kurosaki hacker la okie. hahaaa... sy dh mula terfikir wtk2 heroinnya. ada cter yg sedih, dan ada yg happy. kesimpulannya, cter ni ada byk kisah dlm satu cerita. bukan kisah cinta sj, tp ada psl life dan friendship jugak. Enjoy...

akira: hahaa... actually, dlm cter ni watak yg agak cunning senarnya ialah Wing walaupun dia nampak baik je. oopss... spoiler.