Monday, February 14, 2011

[HMDC] 04 - Pedang vs Senapang

Telefon bimbitku memekik di tepi telingaku pagi itu membuatkan aku terjaga dari tidur dengan terpinga-pinga. Suara TAKUYA menyanyikan lagu Shamrock tiba-tiba kedengaran bingit pula. Benci betul kalau aku terpaksa bangun macam ini. Siapa pulak yang telefon pagi-pagi buta ketika cuti musim panas ni?

Aku sempat mengerling skrin telefon. Terpampang nombor telefon pejabat pengurusan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sendai di skrin menyebabkan aku terduduk tegak. Kenapa agaknya mereka menelefonku pagi-pagi ni? Janganlah ada masalah dengan kerja kursusku kali ni, dikala-kala aku bakal graduate pada musim luruh nanti.

"Helo, Ishimoto Kagari bercakap." ucapku lembut cuba bersikap sesopan dan seformal yang boleh. Suaraku yang serak sebab baru bangun tidur itu, aku cuba sembunyikan dengan batuk-batuk kecil.

"Cik Ishimoto, saya dari pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Sendai. Adakah cik ni pelajar Jurusan Linguistik?" soal satu suara garau lelaki di hujung talian. Aku yakin lelaki ini ialah telefonis di pejabat yang digelar 'pakcik suara besar'.

"Ya, saya." jawabku.

"Ada seseorang menghantar dompet cik ke pejabat pagi ini. Katanya dia terjumpa dompet cik di tepi jalan berhampiran Jalan Tori Utara." balas Pakcik Suara Besar.

Jalan Tori Utara memang sebuah jalan yang aku lalui semalam. Jadi, memang ada orang di dunia ni yang begitu baik hati untuk memulangkan semula dompetku walaupun aku tak begitu yakin yang wang 75,000 yen yang aku simpan di dalam dompetku itu masih berbaki. 

Barangkali orang ini terlihat kad pelajar aku agaknya, sebab itu dia tahu di mana hendak memulangkan dompetku itu. Untuk seketika, aku hampir melompat kegembiraan.

"Baiklah. Saya akan datang ambil dalam tengah hari ini. Encik tolong simpankan sekejap, ya." kataku. Jantungku menendang-nendang dada menandakan kegembiraan yang tidak terkata.

"Tapi, encik ini mahu berjumpa dengan cik. Katanya dia hendak memulangkan dompet cik sendiri." 

Sekarang baru aku tahu yang orang yang menjumpai dompetku itu ialah seorang lelaki. Kenapalah agaknya dia nak berjumpa denganku? Mesti nak minta balasanlah ni. Aku ni pun, bukannya kaya sangat. Tapi, tak apalah kalau setakat belanja minum.

"Baiklah. Beritahu dia untuk tunggu saya. Saya akan cuba datang secepat yang mungkin." 

"Ah... dia suruh cik cepat. Katanya dia beri masa cuma 30 minit untuk cik datang, kalau tidak dia akan balik. Dia tak mahu serahkan dompet cik untuk simpanan kami."

Mataku terbeliak. Setengah jam? Gila ni. Aku segera melompat turun dari katil dan berlari-lari anak ke bilik air. Bersiap-siap ala kadar dengan memakai seluar jeans gelap dengan kemeja nipis putih sebelum mengetuk pintu bilik Hotaru.

Aku meminjam pas bas Hotaru dan beberapa ribu yen daripadanya sebelum bergegas keluar dari rumah. Walaupun Hotaru menawarkan diri ingin mengikutku, namun aku tolak dengan baik. Takut pula tak sempat sampai dalam masa setengah jam. Aku mengerling jam. Ada lagi 20 minit.

Dengan lagak seorang atlet aku memecut ke perhentian bas di jalan besar. Dari jauh kelihatan bas sedang berhenti di perhentian bas itu, dan seorang nenek tua dengan kakinya yang terhincut-hincut berjalan perlahan-lahan ke arah bas. Baik betul pemandu bas ni sebab sanggup tunggu nenek ni. 

Aku memecut laju. Beberapa mata yang memandangku berlari tidak kuhiraukan. Sangkaku aku akan sempat tiba di perhentian bas sebelum nenek tua itu, tapi nampaknya nenek itu berjalan lebih laju dari yang aku sangka. Dia menaiki bas ketika aku sedang berada di belakang bas itu. Pemandu bas itu tidak pula nampak aku. Bas itu sudah mahu bergerak, namun sempat aku menjerit dan menepuk kuat dinding bas itu.

Pandainya aku ni! Macamlah pemandu bas tu akan dengar, kan? Yang sakit nanti, tangan aku jugak.

Mujurlah nenek tua itu ternampak aku yang sedang berlari mengejar bas macam orang gila melalui tingkap. Dia menyuruh pemandu bas berhenti dan aku sempat juga menaikinya. Terima kasih ya, nenek!

Beberapa orang di dalam bas tersenyum-senyum simpul memandangku yang termengah-mengah dengan rambut mengerbang seperti tidak bersikat. Aku mengambil tempat di belakang bas dan menarik nafas panjang. Rambut panjangku itu kulurutkan supaya kelihatan lebih rapi. Memang aku tak sempat berbedak dan bersikat tadi.

Aku tiba di perkarangan universiti tepat jam 9 pagi. Tepat-tepat 30 minit. Nasib baik bas aku ni betul-betul melalui hadapan universitiku. 

Aku berlari memasuki kampus ke arah pejabat Hal Ehwal Pelajar. Mujurlah Universiti Sendai ni kecil saja, dan kesemua bangunannya rapat-rapat. Aku termengah-mengah menaiki tangga ke pejabat yang terletak di tingkat tiga bangunan utama. 

"Saya Ishimoto Kagari." kataku di kaunter. Aku memandang sekeliling. Walaupun sekarang ialah waktu cuti musim panas, namun pihak pengurusan universiti tidak akan bercuti. Malah ada juga pelajar akan datang ke kampus untuk menyiapkan kerja-kerja kursus mereka ataupun datang belajar di perpustakaan.

"Awak dah terlambat. Dia dah pun balik." Pakcik Suara Besar memberitahuku menyebabkan aku hampir terduduk di lantai. Memang aku penat betul pagi ini. Aku hanya terlewat 5 minit dan dia dah balik? Biar betul orang ni! 

Air mataku hampir terkeluar. Macam mana aku hendak dapatkan semula dompetku itu. Aku mengucapkan terima kasih kepada Pakcik Suara Besar yang berjanji akan menelefonku jika orang itu datang semula. Aku berjalan menuruni tangga dengan langkah longlai. Terasa seperti perasaanku dilambung-lambung tinggi di udara dan akhirnya dibiarkan jatuh terhempas di lantai.

"Seronok berlari?" suara seseorang menyebabkanku menoleh. Aku sedang berdiri di hadapan pintu bangunan utama dan terpandang seorang lelaki sedang berdiri bersandar di dinding bangunan. Dia tersenyum sinis memandangku dan kemudian berjalan perlahan-lahan menghampiriku.

Siapa dia ni? Aku kenal ke?

Aku merenung wajah lelaki itu dengan khusyuk. Kenapa agaknya terasa macam pernah berjumpa. Dia kelihatan muda, comel jugak. Macam budak sekolah. Eh, budak sekolah..? 

Aku terus-terus merenung muka budak lelaki itu. Ah ya, aku dah ingat siapa dia. Rupa-rupanya memang dia tak mati dipukulku semalam. Syukurlah... Tapi, apa dia buat di sini? Adakah dia yang terjumpa dompet aku?

Walaupun dia nampak lebih muda dariku, tetapi dia ternyata lebih tinggi. Terasa kependekkan aku apabila dia berdiri beberapa inci sahaja di dihadapanku hingga menyebabkan aku terpaksa mendongak. Takut la pulak... Budak ni memandangku dengan wajah sinis yang nampak garang sambil memeluk tubuh sehingga membuatkan aku tidak berani bertentang mata dengannya.

"Dah ingat siapa aku?" tanyanya.

Aku mengangguk perlahan-lahan. Perasaan bersalah menebal, teringat pula kejadian aku membelasahnya dengan dahan yang sebesar lenganku itu.

"Sorry pasal hal semalam. Nasib baik awak tak apa-apa." kataku sambil tersenyum manis. Konon-kononnya cubaan untuk mencairkan hati dia. 

Dia menjegil ke arahku, jelasnya dia langsung tidak 'tercair'. Muka dia memang garang betul. Dirapatkan wajahnya ke mukaku tanpa segan silu, macamlah aku ni girlfriend dia. Aku cuba berundur, bukan sebab malu. Namun dia mencekak lenganku dan menolakku ke dinding. Dirapatkan badannya ke badanku. Okey, ini memang menakutkan. 

"Tak apa-apa kau cakap? Kau tengok muka aku dah jadi apa. Badan aku ni dah lebam-lebam tau tak." katanya dengan keras sambil menunjukkan lebam di pipinya.

Aku kemudian memandang badannya pula. Budak ni tinggi orangnya, kurus tapi tidak melidi. Dia mengenakan T-shirt hijau muda dan seluar panjang coklat gelap longgar. Sekali pandang macam badan model. Eh, apa aku merepek ni?

"Motor aku pulak rosak teruk. Tercalar. Tak boleh hidupkan enjin. Kau nak ganti ke, hah? Hah? Hah?" dia hampir menjerit. Tersembur setitik dua air liur ke mukaku. Ini dah melebih ni.

Aku menolak budak ini ke tepi, bersedia untuk membidas kata-katanya. "Yalah, aku memang salah. Minta maaf pasal hal semalam. Tapi kau pun salah jugak. Siapa suruh kau ikut aku malam-malam macam tu? Mestilah aku takut." 

Dia merenungku tajam. "Bila masa pulak aku ikut kau? Aku cuma nak bertanya jalan. Yang kau tu lari, kenapa?"

Oh.. rupa-rupanya aku yang tersalah faham. Dia cuma nak bertanya jalan rupanya. Tapi, takkanlah aku nak mengaku kalah kepada budak hingusan ni, kan?

"Siapa suruh kau pakai baju hitam gelap macam tu, mestilah aku ingat kau ni yakuza." marahku pula. Macam tak masuk akal pula argument aku ni. 

"Gila. Suka hati akulah nak pakai apa-apa pun. Takkanlah kau ingat semua orang yang pakai baju hitam tu yakuza?" macam machine gun pula dia membidas. Perkataan 'gila' yang diluahkannya itu bagaikan bilah pedang yang membuatkan aku semakin naik angin.

Untuk seketika, aku yang kaki berangan ini terfikirkan satu scene anime di mana seorang lelaki berpedang sedang berlawanan dengan seorang gadis bersenapang. Aku bayangkan budak ni sedang cuba mencantas kepalaku dengan katana nya dan aku pulak membalas dengan tembakan bertubi-tubi dari M-16 aku.




"Hei budak, kau ni sedar tak aku ni tua dari kau. Berani betul kau bercakap macam tu dengan orang yang lebih tua." 

Budak itu mencebik. "Aku tahulah aku bercakap dengan makcik perasan tak sedar diri." 

Aku membulatkan mata memandangnya. How dare he called me makcik? Serentak itu, ringan kakiku menyepak betis kering budak lelaki itu. Biarlah kalau orang nak tuduh aku mencederakan budak bawah umur pun, aku tak peduli. Dia melompat-lompat kesakitan. Walaupun aku sedikit kasihan melihat dia begitu memandangkan aku juga bersalah, tetapi benteng egoku memang tinggi. Perkataan makcik tu memang melampau.

"Sakitlah. Kau ni memang gila." Dia menengkingku kuat. Kalau hatiku tidak kuat, mahu saja aku menangis kerana disergah begitu oleh suara lelakinya yang kuat bagaikan halilintar itu. Tak pernah aku ditengking begitu. Aku cuba buat tidak peduli dan berjalan meninggalkannya. 

"Ishimoto Kagari, 23 tahun, pelajar jurusan Linguistik dan Bahasa." katanya tiba-tiba membuatkanku berkalih. Budak itu sedang memegang dompetku. Dia memandangku, cuba tersenyum sinis walaupun masih berasa perit di betis.

Terlupa pula aku tentang dompetku itu. Shit!

"Taknak ke?" tanyanya sambil menggoyang-goyangkan dompetku di tangannya. 

Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. "Pulangkan dompet aku." kataku walaupun aku yakin dia tidak akan menyerahkannya kepadaku dengan mudah.

Budak itu ketawa kuat. Menyampahnya rasa.

"Mula-mula aku memang nak pulangkan lepas kau minta maaf je. Tapi memandangkan kau dah sepak aku tadi, dan aku ni bukannya baik sangat terpaksalah aku minta pampasan. Motor aku di kedai mekanik tu kenalah ada orang bayarkan, kan?" katanya membuatkan aku risau. Aku ni pun sudahlah miskin. Mana aku nak cekau duit untuk bayar dekat budak ni? Kalau dia report polis dan saman aku, lagilah susah. Tambahan pula aku bakal graduate tak lama lagi.

"Aku rasa kau ni mesti tak banyak duit kan, sebab tulah dalam beg kau ni cuma ada 75,000 yen je." Amboi, lancang betul mulut budak ni.

"Jadi, aku bersedia  untuk negotiate dengan kau.  Motor tu perlukan kira-kira 300,000 yen untuk dibaiki. Lepas tu, lebam-lebam aku ni semua aku kira dalam 200,000 yen dan yang kau sepak aku tadi tu dalam 50,000 yen, cukuplah." dia kelihatan mencongak-congak di dalam kepala. "Kalau sehari bersamaan dengan hmmm... 20,000 yen, jadi, kira-kira sebulanlah. Okey, kalau kau jadi hamba abdi aku selama sebulan, aku takkan berkira sangat." katanya sambil tersengih.

Aku membeliakkan mata. Apa maksud dia dengan hamba abdi? Fikiranku mula terfikir yang bukan-bukan. 

Budak ni seperti memahami fikiranku. "Kau tak payah fikir yang bukan-bukan, pervert! Aku tak ingin pun dengan kau ni. Kau cuma perlu buat apa yang aku suruh dan datang bila aku panggil saja. Sekarang ni pun aku memang tengah banyak kerja. Jadi, aku akan tolak duit pampasan tu berdasarkan berapa hari kau jadi hamba aku. Setuju?" 

Gila! Siapa nak jadi hamba budak sekolah? Lagipun, kerja apa sangatlah yang dia ni buat? Takkanlah mengedar dadah, kot? Fikiranku bermonolog sendiri menyebabkan aku mula naik takut.

"Berani betul kau ni ya. Budak sekolah nak ugut aku." kataku.

Dia ketawa kecil. "Okey, kalau tak mahu, kita jumpalah di mahkamah nanti. Tak tahulah berapa banyak peguam aku boleh claim dari kau nanti, ya? Motorsikal aku tu, Ducati tau!"

Perkataan 'mahkamah' telah melemahkan lututku. Apa kata keluargaku nanti? Nampaknya terpaksalah aku beralah. Egoku terpaksa ditendang jauh-jauh demi kedudukan kewanganku yang tak mengizinkan dan yang paling penting, perkara ini mesti tidak sampai ke telinga keluargaku.

"Yalah-yalah." terpaksa aku bersetuju. "Tapi kau jangan cuba nak suruh aku buat yang bukan-bukan."

Budak itu tersenyum. Senyuman sinis yang menakutkan. Terasa seperti aku sedang berurusan dengan setan. Dia mengambil nombor telefon bimbitku dan berjanji akan menelefonku apabila 'khidmatku' diperlukan. Dia memulangkan dompetku namun sempat mengugutku yang dia telah membuat salinan fotostat kad pelajarku.

Sebelum dia pergi, sempat dia memperkenalkan diri. "Nama aku Natsume Hyuuga, dan aku bukan budak sekolah. Aku mahasiswa tahun kedua jurusan Seni di Universiti Sendai. 21 tahun." 

4 comments:

sanaa montana said...

chomelnyer...... (wink)

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

hahaa.... keep reading Sanaa. panjang cter ni..
(wink2)

CI_ said...

Over tau sampai air liur tersembur-sembur...hahaha hahaha sepuk je mamat tu!

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

DK: hahaaa....